Secara umumnya, muzik diperakui menambah baik kadar degupan jantung, mengurangkan keresahan, merangsang otak dan meningkatkan daya pembelajaran. Saintis dan pakar perubatan menggunakan muzik untuk mencari penawar kepada penyakit Alzheimer.

Perenggan di atas saya petik daripada sebuah jurnal semasa menelaah perihal fungsi muzik dalam mengurangkan tekanan kerja. Sebenarnya, tidak perlu mengkaji pun kita secara automatik akan memasang lagu bila mahu menenangkan jiwa kacau.

Cuba anda tidak pasang radio ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Atau memandu jauh ditemani orang sebelah yang kuat membebel.

Atas faktor serupa, kita lihat ada orang sanggup berbelanja besar untuk meningkatkan sistem audio di dalam kereta atau sistem teater rumah di kediaman. Sistem yang bagus memang memuaskan halwa telinga dan juga hati. Misalnya persembahan orkestra, sistem audio premium akan jelas memperdengarkan bunyi trompet solo.

Menelaah ilmu mengenai terapi muzik ini berkait rapat dengan cuaca panas sekarang. Bahang matahari terik terutama dari pukul 11 pagi hingga 1 petang jika tidak diambil langkah berjaga-jaga boleh mengakibatkan migraine.

Migrain juga boleh disebabkan penyakit jiwa kacau yang berkait rapat dengan tekanan hidup semasa. Antara isu yang sering membelenggu warga kerja ialah janji-janji yang tidak dipenuhi, taasub dengan menghukum, dividen rendah, ekonomi negara yang lemah, gaji lewat dibayar dan surat lantikan tugas tidak dikeluarkan sejak Disember lepas.

Di samping itu, migrain juga dikaitkan dengan situasi pejabat seperti rakan sekerja yang sambung menyambung cuti, menambah tempoh cuti sesuka hati dengan alasan bos besar sudah tahu dan keengganan menjelaskan hutang-piutang.

Jadi inilah intipati Merrepak hari ini, berkait terapi muzik agar boleh menenangkan jiwa kacau. Bahan hari ini juga bukan khusus kajian saintifik atau `kopipes’ mana-mana jurnal. Sebaliknya menggunakan kaedah Merrepak menye­na­raikan genre muzik sesuai mengikut suasana anda pada satu-satu masa seperti berikut:

1 Heavy Metal

Rentak deram dan petikan gitar muzik Heavy Metal adalah tinggi, pantas dan lirik sukar difahami. Acapkali pendengar akan terangsang dan berkobar-kobar, berapi-api dan meruap-ruap perasaan. Muzik ini sesuai anda pasang sebelum memasuki mesyuarat pembentangan bajet, bertemu juruaudit atau lembaga disiplin.

* Saranan: Fight Fire With Fire (Metallica), Psychosocial (Slipnot), Chop Suey! (System of A Down).

2 Pop Rock

Definisi pop rock ialah lagu berentak rock yang iramanya mencuit telinga, jadi mudah dijual. Tidak mengapa. Yang penting, lagu ini mencuit, sedap didengar dan mudah dihafal irama dan lirik.

Sesuai untuk anda yang hendak pergi jumpa kekasih, hari terima gaji atau menuju ke resort percutian.

Saranan: Numb (Linkin Park), Creep (Radiohead), With or Without You (U2), Come Out And Play (The Offspring), Under Pressure (The Queen & David Bowie).

3 Golden Oldies

Jauh daripada irama keras dan kencang, pilihlah irama malar segar (evergreen) yang mungkin anda pernah dengar dipasang oleh ibu bapa atau datuk nenek anda. Tidak salah, malah anda pasti terkesima bahawa betapa lagu old skul ini banyak yang sedap-sedap dan menenangkan jiwa.

* Saranan: I Work Hard For The Money (Donna Summers), Grease (Frankie Valli), It’s Not Unusual (Tom Jones), You’ll Never Walk Alone (Gerry & The Pacemakers).
 

4 Classic Rock

Sejak filem Bohemian Rhapsody mengisahkan penyanyi Freddie Mercury minat terhadap muzik The Queen meningkat, terutama generasi milenials yang ada antaranya terkejut lagu We Are The Champions yang digunakan dalam UEFA Champions League rupa-rupanya lagu band terkenal itu.

* Saranan: Selain koleksi lagu The Queens, dengarlah Highway to Hell (ACDC), Holy Diver (Dio), Can’t Get No Satisfaction (The Rolling Stones), Piece of My Heart (Janis Joplin).

5 80-an

Inilah zaman lagu-lagu New Wave yang mengimbau kembali zaman remaja bagi generasi berusia 45 tahun ke atas. Dan ternyata era inilah terbitnya lagu-lagu yang malar segar hingga ke hari ini.

* Saranan: Hungry Like The Wolf (Duran Duran), Money For Nothing (Dire Straits), Don’t You Forget About Me (Simple Minds), Here Comes The Rain Again (Eurythmics), She Drives Me Crazy (Fine Young Cannibals).

Rumusannya, anda mung­kin ada pilihan lagu sendiri untuk menenangkan jiwa. Cubalah. Tak perlu pasang kuat. Memadai anda dapat menyelami iramanya dan turunkan tekanan darah, itu adalah matlamat utamanya.