Walaupun Malaysia tidak beraksi, namun demam Piala Dunia menular ke seluruh dunia kerana setiap orang ada pasukan kegemaran masing-masing.

Sebut sahaja pasukan Brazil, Argentina, England, Sepanyol, Perancis, Portugal, Belgium dan Jerman, pasti ramai yang me­ngenali beberapa pemain hebat seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Neymar Jr, Eden Hazard, Harry Kane dan Mesut Ozil serta Diego Costa.

Mereka antara bintang yang menyinari saingan Piala Dunia 2018 walaupun berlaku banyak kejutan apabila beberapa pa­sukan pilihan ‘bungkus’ awal kerana tewas pada saingan kum­pulan dan pusingan kedua.

Walau apa pun, yang harus diberi tumpuan dan dijadikan motivasi kepada semua adalah sikap juang para pemain ini yang tidak kenal putus asa hingga ke wisel penamat.

Selagi masih ada masa permainan, mereka tetap bersungguh-sungguh berjuang dan memainkan peranan masing-ma­sing supaya pasukan berjaya menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan. Sikap seperti itu yang harus dijadikan panduan dan digunakan dalam semua perjuangan.

Selain semangat perjuangan yang sentiasa membara, sikap mementingkan kejayaan dan kemenangan pasukan menjadi pegangan utama mereka.

Ini kerana jelas bahawa dalam perjuangan dan persaingan secara berkumpulan, semangat berpasukan harus menjadi pe­gangan dan perjuangan semua ahli pasukan. Tanpa kerjasama berpasukan, amat sukar untuk meraih kejayaan dan kemenangan!

Itu cerita demam Piala Dunia. Namun, dari aspek perjuangan politik, semua Yang Berhormat (YB), cukup-cukuplah berpolitik sepanjang masa kerana musim Pilihan Raya Umum Ke-14 sudah berlalu.

Mungkin ada YB yang tidak bersetuju dengan pandangan ini, namun hentikan seketika berpolitik. Sekarang masa untuk melaksanakan tugas dan ama­nah yang telah diberikan rakyat.

Semua YB dan orang politik kena ingat, kalau asyik berpolitik, menabur janji yang tidak pasti dan hanya tahu menu­ding jari menyalahkan pihak lain, lama-kelamaan rakyat akan ‘muak’ dan menyampah de­ngan sikap seperti itu.

Lebih molek jika YB buat kerja, laksanakan amanah dan bantu selesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing serta di bawah portfolio mereka demi kepentingan, keselesaan dan kesejahteraan rakyat daripada terus ‘menjaja’ janji yang belum pasti mampu ditunaikan.

Sekarang adalah masa yang sesuai untuk membuka semula buku ‘catatan’ janji semasa kempen pada Mei lalu dan berusaha untuk menunaikan janji atau manifesto yang telah dicanang kepada pengundi dan rakyat.

Jika tidak mampu melakukannya secara bersendirian, dapatkan pandangan dan kerjasama daripada jabatan serta agensi yang berkaitan dan parti masing-masing.

Selain itu, setiap parti dan pakatan/gabungan politik di peringkat negeri dan pusat boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memandu kerajaan yang memerintah me­laksanakan setiap janji dan manifesto masing-masing supaya perjuangan mereka tidak tersasar daripada matlamat asal.

Jika janji dan manifesto mampu dilaksanakan, pasti pe­ngundi dan rakyat akan terus memberi kepercayaan kepada mereka dan parti untuk terus menerajui negeri dan negara pada pilihan raya akan datang.

Andai gagal, bersedialah untuk ‘dihukum’ oleh rakyat ke­rana pengundi bijak menilai berdasarkan prestasi setiap wa­kil rakyat dan parti yang bertanding.

Sekiranya ‘dihukum’, usah tuduh pengundi dan rakyat tidak mengenang jasa. Sebaliknya muhasabah diri, adakah wakil rakyat dan parti sudah tunaikan janji dan laksanakan tugas mereka dengan baik?

Justeru, semangat juang yang berterusan dan berpasukan seperti pasukan bola sepak dan gerak kerja YB dalam politik sebenarnya ada persamaan dalam mencapai kejayaan.

Yang penting, para pemain harus bijak melaksanakan peranan masing-masing demi mencapai kemenangan pasukan. Namun, awas jangan sampai dilayangkan kad ‘merah’ yang bertindak kasar kepada lawan masing-masing.