Dalam wawancara dengan Naib Canselor UPNM, JENERAL TAN SRI ZULKIFLI ZAINAL ABIDIN, beliau menjelaskan pihaknya telah menjalin kerjasama strategik dengan institusi pendidikan serta pihak industri antarabangsa bagi memastikan pelajar universiti itu dilengkapi ilmu pengetahuan terkini.

Matlamatnya satu iaitu untuk melahirkan graduan yang akan berkhidmat dalam agensi pertahanan dan keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, yang bersahsiah mulia dan berpengetahuan tinggi, selaras hasrat pemegang taruh iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pertahanan.
 

Kenapakah ilmu akademik dan ketenteraan sama penting untuk anggota tentera?

Kedua-dua ilmu aka­demik dan ketenteraan amat penting kerana saling melengkapi untuk melahirkan khususnya anggota tentera yang bersahsiah mulia dan berpengetahuan tinggi. Ilmu akademik dilihat sebagai perkara asas yang amat diperlukan bagi membentuk fikrah atau pemikiran anggota tentera de­ngan teori-teori akademik yang kontemporari.

Manakala latihan dan ilmu ketenteraan pula dilihat sebagai perkara khusus untuk membentuk disiplin, membina sahsiah diri dan melengkapkan kemahir­an ketenteraan bagi anggota tentera. Selain itu, melihat kepada teknologi ketenteraan yang semakin canggih serta isu-isu kese­lamatan yang kompleks, maka amatlah mustahak bagi seorang anggota tentera untuk menguasai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang berkaitan.

Seiring dengan arus pemo­denan yang sedang berlaku, pepe­rangan berkemungkinan tidak lagi menjurus kepada penggunaan persenjataan konvensional semata-mata, malahan boleh berlaku dari pelbagai dimensi. Justeru, negara memerlukan cendekiawan profesional yang berupaya mengaplikasikan ilmu pengetahuan untuk mempertahankan tanah air.

Selain itu, ilmu akademik khususnya bidang strategi, kepimpin­an dan pengurusan juga sangat penting terutamanya dalam menyelesaikan isu-isu keselamatan melalui pendekatan diplomasi dan seterusnya mengelakkan risiko terjadinya peperangan.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam memberikan pendidikan ilmu akademik dan ketenteraan secara serentak?

Tidak semua golongan belia boleh mengharungi segala dugaan terutamanya untuk ber­gelar seorang pegawai tentera dan graduan UPNM. Antara cabaran yang perlu dilalui ialah mereka perlu melalui kehidupan kampus di mana aktiviti seharian telah pun ditetapkan berdasarkan rutin ketenteraan yang amat mementingkan kerjasama berpasukan dan ketepatan masa.

Aktiviti akademik dan latihan ketenteraan di universiti ini amat menitikberatkan aspek disiplin, keperibadian, kerohanian, kecergasan fizikal dan kepimpinan yang akhirnya membolehkan mereka bergraduat sebagai seorang pegawai tentera dan captain of industry yang memenuhi ciri-ciri Intellectual Leaders of Character.

Dalam aspek akademik pula, barisan pensyarah pakar telah dilantik oleh UPNM dalam kalangan pegawai tentera dan awam berdasarkan keperluan semasa.

Dari segi kemudahan infrastruktur pula, UPNM amat berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pertahanan yang sentiasa memberikan bantuan dan kerjasama erat dalam membantu universiti terutamanya demi memastikan keperluan untuk pengajaran dan pembelajaran sentiasa diutamakan.

Bagaimanakah cabaran ini diatasi?

Universiti ini menyediakan barisan para pensyarah pakar dalam bidang pertahanan dan keselamatan, manakala Akademi Latihan Ketenteraan pula diberi tanggungjawab melatih para pelajar untuk menjadi seorang pegawai tentera.

Bagi pelajar awam, mereka diwajibkan untuk menganggotai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dan Askar Wataniah untuk memperkukuhkan disiplin serta membina potensi diri sebagai bakal pemimpin.

Secara umumnya, semua pelajar UPNM telah pun dilatih untuk menjalani kehidupan sebagai seorang tentera sejak dari Tahun Asasi lagi. Tempoh yang mereka lalui selama empat hingga enam tahun di UPNM amat berguna khususnya sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Apakah langkah yang telah dibuat bagi memastikan mutu pengajian di UPNM setaraf de­ngan akademi tentera asing?

UPNM yang baru berusia 10 tahun dikira masih muda dalam konteks sebuah institusi ilmu jika dibandingkan dengan institusi pendidikan tinggi lain khususnya yang berorientasikan ketenteraan. Pun begitu, untuk memastikan mutu pengajian di UPNM setanding dengan institusi pendidikan tinggi lain, sistem pengajian akademik dan latihan ketenteraan di UPNM amat menitikberatkan kualiti yang mana semua program akademik di UPNM mendapat pengiktirafan daripada badan akreditasi termasuklah Malaysian Qualifications Agency (MQA), Engineering Accreditation Council Malaysia (EAC) dan Malaysian Medical Council (MMC).

Dari aspek latihan ketente­raan, jurulatih-jurulatih Akademi Latihan Ketenteraan yang berkelayakan dan berpengalaman ditempatkan untuk melatih para pelajar. UPNM juga mempunyai para pensyarah yang pernah belajar di akademi ketenteraan terkemuka dunia antaranya Akademi Tentera Amerika Syarikat (USMA) di West Point, Royal Military Academy Sandhurst (UK), Royal Military College, Duntroon (Australia), dan Officer Cadet School (New Zealand).

Pengalaman mereka ini amat relevan dan boleh diterapkan kepada pelajar dalam usaha melahirkan graduan yang setaraf de­ngan akademi tentera terkemuka. UPNM juga menjalin kerjasama strategik dengan institusi pendidikan serta pihak industri antarabangsa sebagai salah satu usaha pemindahan teknologi kepada para pensyarah dan penyelidik di UPNM dan seterusnya dapat me­latih para pelajar dengan pelbagai teknologi terkini.

Sebagai rekod, kesungguhan UPNM dalam meningkatkan mutu juga dapat dilihat melalui pencapaian terkini UPNM dalam penerbitan bidang pertahanan apabila UPNM menduduki tempat ke-27 di dunia dalam senarai ranking yang dipantau oleh badan ranking antarabangsa Scopus.

Apakah yang diharapkan daripada program advokasi kali ini?

Kekuatan pertahanan dan keselamatan negara merupakan faktor utama yang menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kestabilan ekonomi negara. Oleh demikian, saya yakin bahawa program advokasi ilmuwan pada kali ini akan dapat menjadi platform dalam mengukuhkan lagi sokongan para cendekiawan serta para profesional daripada ATM untuk sama-sama berganding bahu dalam usaha memelihara kedaulatan tanah air melalui bidang kepakaran masing-masing.

Program ini juga diharap dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat umum bahawa tugas sebagai seorang anggota keselamatan khususnya anggota tentera bukanlah sesuatu yang mudah. Pengorbanan mereka dalam memastikan kemerdekaan, kestabilan dan keamanan negara sentiasa terpelihara haruslah dihargai.