Dewan-dewan yang ada di PWTC tidak semuanya dimanfaatkan. Begitulah gambaran suasana PAU pada kali ini. Walaupun begitu, rata-rata perwakilan termasuk dalam kalangan pelapis iaitu anggota Pemuda dan Puteri terus menaruh keyakinan terhadap parti itu sekalipun masih terasa dengan kekalahan yang mengejutkan. Ditanya selama mana mereka mampu bertahan dengan pelbagai ‘tekanan dan umpanan’, kebanyakan mereka, berkata, biarlah apa juga yang dilakukan, UMNO tetap menjadi pilihan.

Bagi mereka tindakan lima orang wakil rakyat UMNO meninggalkan Barisan Nasional (BN) serta beberapa pemimpin meninggalkan parti itu sebagai lumrah politik. Ada yang tidak mampu menerima kehilangan tempat bergantung atau berhadapan dengan tekanan sehingga menggugat kesetiaan kepada parti. Jelaslah mereka tidak mudah berputus asa. Bak kata orang Sayap patah bertongkat paruh atau Patah dihubung hilang diganti. Lebih menyentuh perasaan apabila di akhir perhimpunan, mereka sama-sama menyanyikan Teman Sejati (Brothers), lagu mengenai teman seperjuangan, kesetiaan dan pengorbanan. Semoga lagu itu dapat mengukuhkan lagi perjuangan anggota parti.

Apa yang penting, semangat perhimpunan itu tidak berakhir di Dewan Merdeka atau sekitar PWTC sahaja sebaliknya perlu diterjemahkan di bahagian masing-masing. Selepas hampir lima bulan berlalu, seluruh anggota parti itu perlu berpijak di bumi nyata. Kuasa sudah hilang, parti dimalukan dan dicanang sedang menuju kehancuran. Paling membimbangkan sehingga menjurus kepada UMNO dibubar atau diharamkan. Dibubarkan bukan kerana pembentukan kerjasama politik dengan mana-mana pihak tetapi tindak tanduk ‘musuh politik’. UMNO boleh merencana hala tuju parti selepas PRU-14 tetapi pada pada masa yang sama perlu menghadapi pelbagai tekanan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Harus diingat UMNO bukan lagi sebuah kerajaan. Kuasa ada di tangan Pakatan Harapan. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku kepada UMNO.

Kekuatan semangat amat diperlukan. Anggota-anggota parti perlu menerima mesej yang disampaikan melalui ucapan dasar Presiden UMNO, Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Adakah perwakilan dapat menerima mesej yang menggariskan tujuh teras dan 21 langkah itu? Mereka faham dan mampu menterjemahkan dalam bentuk tindakan?

Ada yang berpandangan, hala tuju masih belum jelas. Timbul pelbagai persoalan mengenai kerjasama dengan parti pembangkang dan isu berkaitan kerajaan perpaduan. Ada juga yang risau dengan pelbagai ‘tekanan’ yang sedang dikenakan terhadap kepemimpinan parti dan juga parti. UMNO masih dalam gelora. Timbul persoalan kenapa beberapa pemimpin dikenakan tindakan dan siapa lagi yang akan menerima nasib yang sama? Kedengaran juga beberapa nama pemimpin akan menjadi sasaran bagi melemahkan UMNO. Masih timbul persoalan kenapa orang yang suatu masa dulu amat setia dengan parti tiba-tiba berubah haluan. Benarkah tekanan yang sedang dihadapi itu berpunca daripada pemerintah? Atau memang benar mereka terlibat dengan salah laku? Dalam situasi yang sedang dihadapi ini, tindakan reman dan siasatan sudah cukup memberi imej buruk kepada parti yang sedang cuba untuk bangkit. UMNO digambarkan sebagai korupsi dan rasuah. Adakah pemerintah sedang ‘membersihkan’ UMNO dan akhirnya satu barisan kepemimpinan yang benar-benar bersih akan wujud? Sampai bila ‘drama’ dipanggil SPRM, kemudian direman dan dihadapkan ke mahkamah akan selesai?

Tindakan tegas yang akan dikenakan terhadap wakil rakyat UMNO juga mendapat perhatian tetapi adakah perlembagaan membenarkan? Jika tidak ada sebarang peruntukan, jalan terbaik ialah wakil rakyat berkenaan perlu secara sukarela mengosongkan kerusi tersebut. Tindakan itu lebih baik dan bermoral daripada mengheret ke mahkamah yang mungkin menemui jalan buntu.

Jika mengikuti ucapan dasar Dr. Ahmad Zahid kelmarin, wakil rakyat UMNO akan diminta menandatangani akujanji dan jika mereka keluar parti, sama ada menjadi ahli bebas atau pun menyertai parti lain, status mereka sebagai wakil rakyat terlucut secara automatik dan parti akan menuntut mereka membayar penalti dan ganti rugi. Memang benar UMNO atau BN telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk berkempen. Adalah tidak adil jika kemenangan hasil usaha parti dan penyokong parti akhirnya menjadi milik individu atau parti lawan.

Tidak pasti juga sama ada akujanji itu sudah sedia wujud sebelum PRU lalu. Jika tidak, apakah tindakan susulan yang lain? Perlu juga diberi perhatian adakah melompat parti bagi membantu pembentukan sesebuah kerajaan juga perlu dihukum? Dalam hal ini, mengosongkan kerusi nampak lebih baik walaupun tindakan itu memaksa pilihan raya kecil (PRK) yang melibatkan kos yang tinggi. Tetapi tindakan itu lebih baik dan bermoral berbanding mengosongkan kerusi dengan tujuan bagi memenuhi ‘keperluan’ pihak tertentu untuk ke Dewan Rakyat.

Perwakilan telah menyatakan isi hati mereka terhadap wakil rakyat yang meninggalkan UMNO. Terserah kepada mereka untuk mempertahankan diri atau menebalkan muka. Kini, selepas PAU, keutamaan perlu diberi kepada usaha memulihkan imej parti, membina semula kekuatan, kepercayaan serta ‘menyelamatkan’ parti itu daripada sebarang bencana atau ‘tsunami’ yang boleh melenyapkan organisasi. Pemimpin dan anggota parti perlu bergerak seiring walaupun pada masa sama bebas berbeza pendapat.