Bagi individu berkenaan b­anyak perkara perlu dibuat, sedangkan masa mereka ada sangat sedikit.

Untuk memastikan tempoh berkenaan mencukupi, seseorang itu perlu membezakan antara aktiviti segera boleh diabaikan dan perkara penting yang perlu diberikan keutamaan. Menurut penulis, setiap individu sentiasa berusaha untuk melakukan perkara dianggap penting dalam hidup mereka.

Setiap orang mempunyai matlamat penting yang berbeza tetapi sebagai panduan penulis me­minta pembaca membayangkan apabila mereka menyambut hari jadi pada usia 80 tahun.

Di saat-saat akhir sebelum menutup mata apakah kenangan yang mereka mahu ingati dan legasi yang ingin ditinggalkan? Segala impian itu seharusnya menjadi matlamat penting bermula dari sekarang.

Antara matlamat itu terma­suk mendidik anak-anak sebaik mungkin, menjadi pasangan terbaik kepada isteri atau suami, bersenam, melancong ke luar negara dan meningkatkan kemahiran bagi meraih lebih pendapatan.

Malangnya, matlamat itu se­ring diganggu oleh perkara bersifat segera yang kebanyakannya tidak membantu seseorang itu mencapai matlamat penting yang telah ditetapkan.

Antara perkara segera yang sebenarnya tidak penting adalah menyemak status dimuat naik oleh rakan-rakan mengenai tempat percutian dan makanan enak dinikmati oleh mereka dalam Facebook serta pelbagai komen dan ucapan selamat hari jadi dipaparkan dalam kumpulan WhatsApp.

Namun begitu, ada perkara segera yang tidak boleh diabaikan seperti membancuh susu untuk anak dan menjawab panggilan daripada saudara mara. Persoalannya bagaimana untuk menyeimbangkan antara perkara segera dan penting bagi membolehkan tempoh 24 jam sehari mencukupi? Itu adalah matlamat utama buku ini ditulis.

Penulis menjelaskan, berdasarkan teori pengurusan masa tradisional, seseorang itu boleh melakukan kedua-dua perkara segera dan penting jika bekerja lebih keras dan melakukan sebanyak mungkin tugas setiap hari.

Sebab itu kita lihat ada yang terus bekerja dan bekerja sehingga lewat malam tetapi pada masa sama merungut: “Saya mahu menikmati hidup ini dengan sebaik-baiknya.”

“Saya selalu sibuk ke sana sini. Saya tidak pernah ada masa untuk diri sendiri dan keluarga.”

Penulis menggelar individu sedemikian sebagai mereka yang ketagih dengan kesibukan. Golongan itu sentiasa inginkan kenaikan pangkat dan mahu diberikan pelbagai tugas. Mereka akan merasakan diri tidak bernilai jika tiada perkara segera harus dibuat.

Ungkapan menarik penulis dalam buku ini adalah seseorang itu perlu sentiasa melihat kompas bagi mengetahui segala yang mereka lakukan selaras dengan matlamat hidup dan bukannya sering melihat jam untuk menge­tahui adakah mereka akan dapat melakukan semua perkara dalam tempoh ditetapkan.

Antara kaedah disarankan dalam buku ini adalah untuk memberi keutamaan kepada perkara penting terlebih dahulu manakala aktiviti bersifat segera hanya dibuat jika ada masa terluang untuk melakukannya.

Antara perkara segera boleh diabaikan jika seseorang itu tidak cukup masa termasuk menjawab panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali.

Aktiviti lain yang boleh ditinggalkan adalah menghadiri mesyu­arat sekadar untuk menunjukkan muka walaupun tiada sebarang idea untuk disumbangkan, menyi­apkan kertas kerja dan menghadiri temu janji dengan pelanggan yang sebenarnya boleh diserahkan kepada orang lain.

Jangan terlalu sibuk melakukan segala tugas diberikan oleh majikan sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai suami atau isteri kepada pasangan kita serta tidak dapat menghabiskan lebih banyak masa dengan anak-anak.

Menurut penulis, tindakan itu bertujuan mengelak terjadi kes-kes seperti seorang bapa akhirnya mendapat tahu anak terlibat dengan penagihan dadah.

Dia menyesal kerana tidak menghabiskan lebih banyak masa untuk bersama anak-anak bagi mengelak mereka kesunyian dan beralih untuk menagih dadah.

Berdasarkan kaedah pengurusan dicadangkan oleh penulis, seseorang itu sanggup berhenti kerja yang memerlukan mereka sibuk sepanjang masa jika kerjaya itu menyebabkan mereka tidak dapat menghabiskan banyak masa bersama keluarga.

Satu lagi kaedah menjimatkan masa yang dicadangkan penulis adalah untuk menggabungkan dua tugas pada satu masa. Mi­salnya, jika seseorang itu berminat untuk melakukan kerja-kerja kebajikan pada waktu cuti.

Bawalah anak-anak untuk turut serta dalam kerja-kerja kebajikan berkenaan. Ini membolehkan seseorang itu mencapai dua matlamat serentak iaitu melakukan kerja kebajikan dan pada masa sama dapat menghabiskan masa dengan anak-anak.

Kaedah lain, adalah melaksanakan segala matlamat penting dalam hidup secara berkumpul­an. Banyak perkara boleh dilaksanakan dengan lebih pantas jika dibuat secara beramai-ramai.