Sebenarnya dalam kita bising-bising memperkatakan tentang lambakan pekerja asing, mahu atau tidak, kita perlu juga mengakui sumbangan warga asing dalam beberapa sektor pekerjaan di negara ini. Sekiranya tiada mereka, kata golongan majikan kepada kerja-kerja 3D (kotor, sukar dan bahaya) terutamanya, segala urusan dan kerja yang berkaitannya boleh terbengkalai.

Dan kelmarin semasa menyampaikan amanat Hari Pekerja di Perhimpunan Hari Pekerja 2017 di Putrajaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menyeru majikan di negara ini memberi keutamaan kepada pekerja tempatan dalam mengisi kekosongan jawatan dan tidak hanya mengambil jalan mudah dengan menggaji pekerja asing.

Persoalan utamanya, berapa ramai majikan yang ­betul-betul mahu menyahut seruan ini? Isu pengambilan pekerja asing memang tidak pernah padam daripada senarai isu-isu terpenting yang sering diperkatakan di negara ini. Setiap kali timbul hal-hal membabitkan jenayah dan masalah sosial dalam kalangan warga asing, mulalah isu ini dikorek dan diangkat ke atas semula.

Ramai yang menyifatkan golongan majikan sengaja mahu mengambil keuntungan kerana membayar gaji rendah kepada pekerja asing dan menuduh mereka tidak patriotik, tidak prihatin dengan warga tempatan dan macam-macam lagi. Benarkah begitu?

Kawan saya seorang pengusaha hotel di Tapah, Perak memberitahu, dia mengambil pekerja tempatan dan pekerja asing bekerja dengannya. Memang, katanya, ba­nyak perbezaan terutama dari segi sikap pekerja tempatan dan asing dalam bekerja.

Katanya, bukan murah mengambil pekerja asing dan gaji mereka juga bukan sedikit kerana sanggup bekerja lebih masa yang sudah tentunya perlu dibayar kerja lebih masa itu manakala pekerja tempatan pula hanya mahukan gaji besar tetapi malas bekerja.

Kata kawan saya itu, pada permulaan pengambilan pekerja asing, dia perlu mengeluarkan wang yang banyak tetapi dalam tempoh 3 hingga 5 tahun operasi hotel itu berjalan lancar dan tiada masalah dari segi tenaga kerja.

Tambahnya, pekerja tempatan pula sering ponteng, tidak mahu bekerja lebih masa, tidak mahu bekerja pada hari cuti umum dan berhenti kerja sesuka hati. Dalam pada itu, ada juga yang sudah berhenti kerja, datang ke hotel itu merayu untuk diterima bekerja semula.

Dia memberitahu, disebabkan pekerja asing di situ sudah bekerja lama atau ‘senior’, ada dalam kalangan mereka yang menjadi penyelia dan boleh ‘mengarahkan’ pekerja tempatan. Ini biasa, katanya.

Berlainan pula senarionya dengan seorang lagi rakan yang membuka perniagaan mencuci kenderaan. Katanya, pada permulaannya, dia menggaji 12 orang pekerja tempatan. Bagaimanapun, kesemuanya selalu ponteng dan malas bekerja. Setelah jumlah pekerja dikurangkan kepada lima orang dan mereka dibayar dengan gaji yang tinggi, barulah pekerja-pekerja tempatan ini dilihat begitu bersemangat dan rajin bekerja.

Jika dilihat isu utamanya di sini adalah gaji. Pekerja tempatan mahukan gaji yang tinggi selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kemudahan perubatan dan mungkin inisiatif-inisiatif lain yang menarik mereka untuk bekerja lebih rajin dan tidak bertukar-tukar kerja.

Memang kita tidak menafikan, ada pekerja tempatan yang malas dan memilih kerja tetapi pada masa sama mahu hidup senang. Sikap inilah yang perlu diubah untuk membuatkan golongan majikan di negara ini tidak serik mengambil pekerja tempatan atau mempunyai persepsi buruk terhadap mereka.

Tetapi perlu difikirkan juga kebanjiran warga asing di negara ini boleh memberi banyak kesan dari segi sosial dan penguasaan ekonomi. Sudahlah kerja kita mereka ambil, yang mengemis pun warga asing juga, beberapa ­penempatan dan perniagaan turut dikuasai mereka, lama-lama nanti kita pula menagih kerja dengan mereka!