PERIHAL Tanah Rizab Melayu merupakan satu perkara besar kepada Raja-Raja Melayu dan pemimpin terdahulu tetapi seolah-olah semakin diabaikan generasi sekarang sehinggakan jumlah tanah rizab kini didakwa tinggal antara 20 hingga 30 peratus sahaja.
Begitu pentingnya usaha melindungi tanah rizab ini sehinggakan peruntukan mengenainya dimasukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Wasiat Raja-Raja Melayu juga telah menetapkan angka khusus 50 peratus bagi menjamin generasi akan datang terus dilindungi.

Malangnya, selepas 59 tahun merdeka, penguatkuasaan undang-undang Tanah Rizab Melayu tersangat lemah sehinggakan ada pemimpin dan pegawai yang bertanggungjawab tidak memahami peruntukan undang-undang yang ditinggalkan sejak zaman penjajah British lagi bagi menjamin hak pemilikan tanah penduduk asal negara ini.
Tanah menjadi tapak kepada semua bentuk kedaulatan, dan kehilangan hak ke atas tanah mungkin menjadikan penduduk bumiputera umpama rakyat Palestin yang ‘menumpang’ di bumi sendiri.

Menyedari betapa pentingnya pemilikan tanah untuk generasi akan datang,  Majlis Perundingan Melayu (MPM) perbincangan meja bulat yang disertai tokoh-tokoh Melayu, bekas wakil rakyat serta pegawai tinggi pihak berkuasa tempatan dan usahawan bumiputera di Desa Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Perbincangan tersebut turut disertai wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN ANUAR, Amizul Tunizar Ahmad Termizi, Abdul Aziz Itar, Nizam Yatim, Safina Ramli dan Nurul Anuar Kari.

Dalam perbincangan tersebut, mereka cuba merungkai kelemahan yang berlaku sehingga Tanah Rizab Melayu terhakis dan nilainya lebih rendah daripada tanah lain.
Mereka turut membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan Tanah Rizab Melayu yang ada tidak dipertahankan dan yang telah diambil untuk pembangunan digantikan .
Wawancara ini tertumpu kepada Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad; bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Abd. Aziz Abdul Rahman; bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar; bekas wakil rakyat Selangor, Datuk Salamon Selamat dan che ibrahim che idris.

"Sekarang ramai orang tidak tahu. Orang yang memegang kuasa pun tidak tahu undang-undang Mereka hanya mementingkan duit," kata Tan Sri Abu Zahar Ujang.

AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG

MINGGUAN: Isu penghakisan Tanah Rizab Melayu sudah  banyak kali dibangkitkan tetapi masih tidak selesai. Apakah Tan Sri yakin tanah rizab yang terhakis masih dapat diselamatkan?
Abu Zahar:  Kehakisan Tanah Rizab Melayu bukan hanya berlaku sekarang tetapi semenjak dahulu lagi, sudah begitu lama.
Undang-undang yang berkaitan mempertahankan Tanah Rizab Melayu memang ada. Waktu zaman British pun ada dan dalam Perlembagaan Persekutuan pun ada.Antaranya Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan dan beberapa enakmen lain.
Kita juga ada Kanun Tanah Negara tetapi urusan melibatkan tanah kebiasaannya tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri.
Yang kita tahu Tanah Rizah Melayu ada lebih kurang 12 peratus. Kalau dicampur dengan penglibatan tanah Majlis Amanah Rakyat, Permodalan Nasional Berhad dan sebagainya, mungkin ada sekitar 20 peratus.
Adakah untuk pembangunan negara kita perlu gadaikan masa depan dan politik Melayu?
Sudah sampai masa kita bertindak dengan tegas dan berkesan untuk menyedarkan semua yang terlibat.
Ini satu perjuangan untuk masa depan generasi anak Melayu akan datang.

Undang-undang sudah ada, tapi  Tanah Rizab Melayu semakin terhakis. Di mana silapnya?
ABU ZAHAR:
Undang-undang tentang tanah rizab sudah ada dan cukup tapi penguatkuasaan dan pelaksanaannya lemah.
Selagi orang kita sanggup menggadai kuasa (tanah) yang ada, memang menyedihkan untuk bangsa kita.
Undang-undang sudah tetapkan mesti ganti serta-merta. Contohnya diambil 50 ekar (20.2 hektar) untuk pembangunan. Ada yang diganti tetapi ada juga bahagian yang senyap terus, tidak diganti langsung.
Inilah cara-cara hak kita terhakis dan menjadi perangkap kepada orang Melayu.

Apakah tindakan boleh dibuat supaya kerajaan memberi perhatian kepada isu Tanah Rizab Melayu?
ABU ZAHAR:
Telah sampai satu ketika saya rasa semua orang Melayu mesti mengambil berat perkara ini kerana tanah ini adalah kuasa sama ada dari segi ekonomi, politik atau segala-galanya.
Kita yang tahu boleh maklumkan kepada mereka yang bertanggung­jawab melindungi tanah rizab tentang perundangan terbabit. Jika tidak dibetulkan juga, kita ambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.
 Saya berpendapat kita mesti lihat kembali dari segi perundangan di mana kelemahan dan kesilapan yang dilakukan menyebabkan perkara ini berlaku.
Sekarang ramai orang tidak tahu. Orang yang memegang kuasa pun tidak tahu undang-undang. Mereka hanya mementingkan duit.
 Kita mesti tengok kembali undang-undang dan apa sahaja kelemahan, kita perlu bangkitkan.

SALAH KITA

MINGGUAN: Bagaimana pula pandangan dan pengalaman Tan Sri tentang penguatkuasaan dan pelaksanaan peruntukan undang-undang untuk Tanah Rizab Melayu?
Abd. Aziz:
Saya juga ingin tegaskan perkara pokok yang sama, bukannya kita tiada undang-undang tetapi kita sendiri tidak buat kerja dan tidak laksanakan apa yang termaktub dalam peruntukan sedia ada.
Rizab Melayu bukan perkara baharu, saya dahulu menjadi pegawai tadbir sebelum merdeka lagi.
Penasihat British ketika itu panggil semua pegawai sekali setiap bulan untuk berikan panduan.
Dia kata, ‘Kami sudah berikan semua hak kepada kamu (orang Melayu), jika kamu tidak buat apa-apa jangan salahkan kami (British)’.
Mereka berikan kuasa agama Islam melalui Sultan-Sultan, hal-hal tanah pula ada peruntukan sendiri di setiap negeri.
Enakmen Tanah Rizab Melayu di negeri-negeri sudah diwujudkan sejak 1930-an lagi.
British pun tahu jika tiada tanah rizab, orang Melayu tidak boleh bersaing dengan bangsa lain dan kerana itu mereka sediakan peruntukan undang-undang terbabit. Masalahnya kita yang tidak buat apa-apa.

Apa maksud Tan Sri dengan ‘tidak buat apa-apa’?
Abd. Aziz:
Saya beri contoh di Kelantan, ada undang-undang menetapkan seluruh negeri itu sebagai Tanah Rizab Melayu tetapi dalam perundangan itu ada juga Seksyen 13a yang memberi kuasa kepada exco negeri untuk membenarkan orang Melayu melepaskan tanah mereka kepada orang lain.
Saya bawa perkara ini kepada kerajaan Pas yang memerintah, saya tegaskan Seksyen 13a itu bahaya dan jika dapat kepada orang yang korup, habis satu negeri akan terjual.
Saya nasihatkan Seksyen 13a dibuang tetapi mereka marah dan tidak buat apa-apa.
Lihat sekarang, banyak tanah sudah diberi kepada bukan Melayu dengan pajakan 40 tahun atas alasan kerajaan negeri boleh dapat kembali tanah itu selepas tamat tempoh pajakan.
Tidak semudah itu, bila orang sudah duduk di situ, siapa yang boleh persoal kedudukan mereka? Bukan mudah untuk minta mereka berpindah dan kembalikan tanah.

Bagaimana pula dengan hujah sesetengah pihak yang mempertikai usaha meningkatkan keluasan Tanah Rizab Melayu sedangkan banyak daripada tanah sedia ada terbiar dan tidak dibangunkan?
Abd. Aziz:
Orang Melayu juga ramai yang tidak mampu bangunkan tanah mereka.
Dahulu kami bincang bagaimana nak bantu mereka bangunkan tanah-tanah rizab ini, perlu ada strategi dan jika orang Melayu tidak mampu maka kerajaan perlu bantu.
Ketika itu ada cadangan penubuhan satu panel penasihat yang boleh buat keputusan di peringkat persekutuan dan ada panel sama di peringkat negeri.
Panel ini akan memperincikan setiap keping tanah rizab yang ada dan merancang cara untuk membangunkannya.
Namun, badan itu tidak ditubuhkan, jika pernah ditubuhkan pun sudah mati.
Satu lagi contoh perancangan yang tidak berjalan adalah Akta Mara 1966.
Dahulu inilah harapan orang Melayu, harapan pemimpin-pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak Hussein.
Kita mahu buat sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ditinggalkan British untuk orang Melayu dan dimasukkan dua peruntukan khas dalam Akta Mara.
Mara boleh membentuk koperasi Melayu untuk membolehkan kerajaan campur tangan dalam membangunkan tanah rizab.
Mara juga diberi kuasa untuk bentuk syarikat-syarikat.
Dari 1966 hingga sekarang tidak wujud koperasi ini. Kita perlu bangkit semula dan jumpa kerajaan untuk maklumkan kepada mereka di peringkat persekutuan dan negeri.
Kita sebenarnya boleh isytihar Tanah Rizab Melayu yang baharu tapi kita tidak buat, banyak sebenarnya kita boleh buat dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada.
Sekarang kita perlu ambil inisiatif dan tingkatkan pengetahuan orang Melayu dan pemimpin-pemimpin Melayu.

DEMOGRAFI, GEOPOLITIK & KUASA POLITIK

MINGGUAN: Banyak Tanah Rizab Melayu tidak dibangunkan untuk manfaat orang Melayu. Bagaimana tuan melihat perkara ini?
CHE IBRAHIM:
Yang kita hendak lihat sekarang ini bukan lagi masalah-masalah Melayu yang ada Tanah Rizab Melayu. Yang ada tanah rizab ini mungkin bilangannya 1,000 atau 2,000 orang tetapi yang beratus-ratus ribu orang Melayu di sekeliling yang tidak ada tempat hendak beli di mana.
Kalau kita tengok bangunan tinggi contohnya, saya ingat ada 40 tingkat. Tanah kecil sahaja tetapi boleh muatkan ramai penduduk.
 Saya cadangkan perlu ada satu badan untuk mem­bangunkan kawasan untuk orang Melayu ini dan diagih-agihkan untuk polisi Melayu seperti rumah mampu milik.
 Kita ini sudah tersepit seperti Singapura. Oleh sebab itu, mereka serang kita dan kita tidak ada kemampuan. Kita mesti tubuh satu jawatankuasa untuk melihat bagaimana hendak membangunkan Tanah Rizab Melayu.

MINGGUAN: Bagaimana Tun melihat demografi orang Melayu di bandar sekarang?
MOHAMMED HANIF: 
Kita perlu memikirkan demografi.Kalau dahulu, kita fikirkan demografi penduduk dalam perancangan pembangunan yang dibuat. Sekarang, ia telah diabaikan.
Kawasan yang dahulunya kawasan orang Melayu pun sudah penuh dengan orang luar. Mereka cuma perlu bina kondominium mahal sahaja kerana orang Melayu tidak mampu membelinya.
Rumah Melayu tanahnya besar tapi orang yang tinggal di situ sedikit sahaja.
Tetapi orang lain dapat tanah kecil, mereka bina kondominium dan duduk beramai-ramai dalam satu kelompok.
Habis semua demografi dan politik Melayu. Kita tidak fikirkan langsung tentang perkara itu.
Kita perlu sebarkan melalui media dan medium-medium lain bagi memberi kesedaran kepada semua orang Melayu.
Dalam pada itu, orang bukan Melayu yang memiliki tanah bukan rizab, mereka boleh wartakan sebagai Tanah Rizab Melayu bagi menambah keluasan Tanah Rizab Melayu.
Ini boleh dilakukan jika takut anak atau waris jual kepada orang luar demi kepentingan bangsa.

MINGGUAN: Pernahkah pihak MPM bangkitkan tentang masalah demografi dan geopolitik ini kepada kerajaan?
HASSAN:
Walaupun kita menjerit di sini dan sejak 2014 kita sudah timbulkan perkara ini, sehingga sekarang petunjuk prestasi utama (KPI) kerajaan cuma satu sahaja iaitu memaksimumkan keuntungan. Dia tidak kira pasal demografi, geopolitik dan biarlah kita cerita pasal seorang pemimpin yang menjadi mangsa buatannya sendiri (membangunkan kawasannya), kita cakap pun mereka tidak akan dengar sebab mereka cuma fikirkan pengkomersialan.

Mingguan : Apakah yang perlu dilakukan untuk mengimbangi demografi Melayu dan bukan Melayu di bandar?
SALAMON:
Apa sahaja perancangan, mesti lihat kepentingan demografi dan geopolitik. Itu yang lebih penting untuk masa hadapan.
 Lihat macam mana perancangan semasa kita buka Shah Alam. Lebih 70 peratus penduduk adalah orang Melayu. Harganya (unit kediaman) pula mesti dijual di bawah harga pasaran.
 Jadi, sekarang MPM perlu lihat kawasan pusat seperti Johor Bahru, Melaka dan pusat-pusat bandar lain tentang geopolitik dan demografi.
Kita dapati bahawa di kawasan-kawasan bandar ini sekarang, banyak tanah dimiliki oleh syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Sime Darby.
 Mereka perlu berkorban. Kalau ada 3,000 ekar (1,214 hektar), mestilah sekurang-kurangnya 100 ekar (40.4 hektar) itu untuk rumah mampu milik.
 Tetapi dalam keadaan sekarang, tidak ada lagi “roh” itu. Itu semua hartanah milik kerajaan dan GLC. Kita lihat di Wilayah Persekutuan, berapa banyak tanah termasuk kuarters milik kerajaan. Sebab tidak ada roh dalam politik, kita swastakan semua ini.