Layari sahaja internet dengan komputer riba atau telefon bimbit dan tekan butang muat turun. Ubat sudah diperoleh (bergantung kepada kepantasan internetlah) dan boleh digunakan untuk mengubati penyakit.

Ibu bapa yang sering menghadapi masalah anak tidak mahu makan ubat, kaedah itu adalah ‘penyelamat’ yang anda tunggu-tunggu kerana ubat digital tidak mempunyai bau, warna dan rasa. Cukup diletak dalam air mineral dan berikannya kepada anak anda.

Menurut badan itu, ubat digital atau lebih dikenali dengan nama informational medicines (infoceuticals) telah menjalani proses kajian sejak 30 tahun lalu melibatkan lebih 100,000 pengamal perubatan. Bagaimanapun, hanya baru-baru ini diperkenalkan secara rasmi.

Teori ubat digital adalah berasaskan penemuan ahli sains Perancis, Jacques Benveniste pada 2004 bahawa ubat-ubatan menghasilkan isyarat elektromagnet yang boleh dipindahkan melalui talian internet dan memberi kesan sama pada tubuh manusia seperti mengambil ubat fizikal.

Sebelum dihantar, isyarat itu dirakamkan dengan menggunakan cahaya laser. Kajian sama oleh penerima Hadiah Nobel Perubatan 2008 dari Perancis, Luc Montagnier mengesahkan penemuan Benveniste itu.

Cukup dari segi teori! Kalau masih tidak percaya, cuba sendiri ubat digital yang ada antaranya boleh dimuat turun secara percuma.

Terdapat lebih 60 ubat yang sudah disediakan dalam bentuk digital antaranya Fosamax dan Glucosamine yang digunakan bagi merawat sakit lutut dan sendi, Allopurinol yang selalunya diberikan kepada pesakit gout dan Victoza bagi mengubati kencing manis.

Jika betul, itu adalah berita baik kepada orang ramai kerana mereka tidak perlu beratur panjang untuk mendapat ubat-ubatan di farmasi. Berita buruk, apakah nasib ahli farmasi? Adakah mereka akan hilang pekerjaan kerana ubat-ubatan konvensional tidak lagi mendapat sambutan?

Nampaknya, perkara itu tidak akan berlaku pada waktu terdekat ini kerana ubat digital hanya disyorkan sebagai tambahan kepada ubat-ubatan konvensional.

Maknanya, pil-pil konvensional masih perlu diambil tetapi dengan dos berkurangan dan selebihnya akan ditampung oleh ubat digital.

Berita baik untuk mereka yang mengambil ubat digital adalah ia tidak mempunyai kesan sampingan seperti ubat-ubatan konvensional. Pesakit yang mengambil ubat kencing manis yang kebiasaannya akan mengalami cirit-birit, tidak akan menghadapi masalah sama.

Ubat digital adalah disruptive technology (teknologi yang menimbulkan gangguan) yang kita semua perlu hadapi tidak lama lagi.