Ada beberapa kali saya berhenti dan bertanya harga buah-buahan tersebut. Harga buah durian sekarang mahal sangat, nak beli pun kena fikir tiga empat kali. Alasan biasa sebab belum musim buah durian dan bekalan kurang.

Dengan permintaan yang semakin meningkat, harga durian pun mahal. Bila difikir-fikirkan harga sebiji buah durian macam harga emas - mencecah puluhan ringgit sekilogram. Bayangkan sebiji durian harganya RM38, kalau ada yang beratnya sampai dua kilogram, sudah jadi RM76 sebiji. Niat nak beli boleh terbantut bila fikirkan berapa ulas ada di dalamnya. Kecuali kalau dah teringin sangat.

Pernah terkena bila beli mahal tapi isinya kematu. Adakalanya isinya sudah lembik sebab buah lama. Sebab itu sekarang banyak pembeli yang dilihat makan durian di bawah khemah gerai durian. Mereka tak mahu bawa pulang, sebab tak mahu ‘terkena’ tipu. Malah sikap orang kita jarang nak pulangkan balik buah yang tak elok – tambah lagi jarak rumah yang jauh dari gerai durian.

Ada segelintir pihak yang tularkan dalam media sosial mencadangkan supaya guna kuasa pengguna iaitu boikot buah durian. Raja buah ini bukan diimport dari luar negara, macam mana harganya boleh melambung tinggi dan mengarut. Buah durian Siam pun tak mahal macam buah durian kita. Memanglah kualitinya jauh berbeza tapi harga durian kahwin tempatan buatkan orang takut membelinya.

Kalau semua orang pakat boikot, mahu rugi besar tauke durian. Setahu saya harga durian mula naik pada akhir tahun 1980an- bila orang Cina tempatan mula syok makan durian. Mereka pun mula tanam dan jaga dengan baik pokok durian. Orang Cina pada masa itu tak peduli, biar harganya mahal mereka tetap membelinya. Biasalah apa yang orang Cina suka, barang itu sekejap sahaja akan naik harga. Macam rumah juga bila ia dijadikan pelaburan.

Kualiti

Sekarang Orang Melayu da­pat tengok sahaja, samalah dengan buah durian sekarang. Dapat cium bau sahaja. Pada saya walaupun buah durian kampung isinya nipis tapi bau­nya enak dan rasanya manis berlemak. Harganya baru antara RM10 higga RM20 sekilogram. Masih mampu beli. Berbeza dengan rasa buah durian kahwin atau baka Musang King (atau nama khususnya D197) yang harganya RM35 hingga RM65 sekilogram, Bukit Merah (D24) pula antara RM25 -38. Bila harga Musang King mahal, mulalah ada yang ambil kesempatan jual yang tiruan. Kena tipu sahaja pembeli durian.

Biasalah para pemborong dan peniaga durian menggunakan alasan bekalan buah tahun ini kurang atas faktor cuaca panas pertengahan tahun 2017, jadi harga durian tinggi sebab permintaannya tinggi.

Dulu bila kita nak beli durian dari pekebun, kita boleh tawar harga dan pilih pembekal yang bagi harga murah. Ada peniaga yang jual hanya RM2 hingga RM5 sekilogram, sebab durian tak boleh jual ke mana pun.

Sekarang berbeza, peniaga jual mahal, kalau tak mahu mereka boleh pelbagaikan dengan jadikan durian sejuk beku, pes untuk kek, ais krim dan sebagainya selain tempoyak.

Dulu durian boleh dijual secara longgok. Tiga biji baru RM10 atau penuhkan satu karung pelastik RM10 juga. Pernah durian dijual RM1 satu biji pada tahun 1998-1999. Tapi sekarang durian terpaksa jual ikut berat.

Kualiti buah durian semakin baik sebab kebun durian dijaga rapi. Kos baja dan racun serangga untuk kebun seluas kira-kira lima ekar diperuntukkan RM10,000 hingga RM20,000. Risiko tanam durian, walaupun pokoknya banyak tetapi kadang-kadang buah tidak berkualiti. Misalnya kerana busuk atau berulat.

Kadar keuntungan bagi setiap kilogram yang dijual biasanya antara RM7 hingga RM8. Kalau dijual RM45 sekilo, modal biasanya RM20 dan untung RM25, tapi itu belum ditolak dengan kos sewa tapak dan pengangkutan.

Jadi maknanya, dulu harga durian bergantung kepada musim. Tapi, kini rakyat Malaysia yang ingin makan duri kena bersaing dengan pembeli dari China. Durian Malaysia semakin diminati oleh rakyat China.

Malah, ramai pelancong China ni yang melawat Malaysia semata-mata nak makan durian. Petani tempatan pun nampaknya lebih berminat untuk eksport durian ke China sebab boleh dapat untung yang berlipat ganda, iaitu dua hingga tiga kali ganda daripada harga biasa.

Jika begini trend jualan buah durian, bila agaknya rakyat tempatan dapat beli durian gred terbaik pada harga munasabah. Barangkali satu kejiranan di kawasan perumahan, pakat-pakat tanam durian gred bagus di tanah kosong. Jaga dan baja secukupnya. Lepas beberapa tahun, bolehlah kongsi hasilnya dengan jiran tetangga. Semua orang dapat rasa durian.

Kalau semua orang berfikir dan berpakat menjayakan projek tanaman Raja Buah ini di kawasan rumah mereka, soal harga durian mahal pada masa akan datang, bukan lagi menjadi isu. Paling penting tiada lagi yang telan air liur bila lihat buah durian semakin mahal.