Saya melalui ruangan Cuit ini banyak kali juga menulis mengenai teksi ini, sama ada gelagat pemandunya, keadaan teksinya mahupun teksi dari lapangan terbang di Sepang.

Semuanya berbunyi negatif. Belum ada yang positif. Terbaharu, kelmarin saya mendengar radio Bernama 24. Seorang pemanggil mengadu: “Saya dan keluarga serta anak-anak naik teksi dari KLCC untuk ke Jalan Bukit Bintang. Apabila tiba di destinasi yang tidak jauh itu, pemandu meminta tambang RM50. Saya tanya kenapa mahal sangat.”

Juruhebah bertanya pemanggil itu, pemandu tak pakai meterkah? Pemanggil menjawab: “Tak.” Katanya lagi; “Oleh kerana saya takut dengan pemandu itu yang lagaknya agak ganas maka saya pun bayar.”

“Saya memanggil ke radio ini kerana semua aduan saya di KLCC, DBKL, JPJ dan SPAD tidak membantu...” Habis di situ perbualan tersebut.

Tiba-tiba semalam Teksi KL me­lancarkan mogok.

Kononnya mereka tak berpuas hati dengan kerajaan kerana membenarkan perkhidmatan teksi Uber yang dikatakan menyekat rezeki mereka.

Saya tak salahkan mereka. Memang benar sejak Uber dilancarkan mata pencarian mereka semakin merosot.

Tapi mengapa ramai pengguna teksi kini beralih angin? Tanyalah diri sendiri? Jika Teksi KL baik perkhidmatannya, keadaan teksinya selesa, elok, maka masalah itu tidak akan berlaku.

Pernah berlaku kepada saya seorang pemandu teksi cuba membawa cerita politik. Akhirnya dia naik “sheikh” sehingga mengangkat kedua-dua belah tangannya daripada stereng.

Saya jerit kepadanya; “Encik kalau nak bawa teksi bawa elok-elok ya. Nanti kereta masuk longkang...”

Itu tidak kira lagi Teksi KL yang tidak mahu menggunakan meter atau enggan mengambil penum­pang ke sesuatu destinasi.

Saya berharap SPAD boleh mencari langkah bagi menyelesaikan isu Teksi KL lwn. UBER ini. Cari penyelesaiannya.

Dalam beberapa tulisan me­ngenai teksi, saya sering memberi contoh teksi di kota raya New York atau NYC Taxi.

Mengapa New York? Pertama, kerana saya ada banyak pengalaman menggunakan teksi di situ dan kedua, adalah kerana model perkhid­matannya yang sudah mantap dan boleh digunakan oleh SPAD untuk model perkhidmatan Teksi KL.

Oleh kerana mahu tahu lebih, saya membaca mengenai sejarah NYC Taxi yang bermula pada tahun 1887. Sejarahnya amat menarik sehingga kepada soal mengapa teksinya menggunakan warna kuning, dan jenis-jenis kereta yang digunakan.

Pendek kata, NYC Taxi telah menjadi ikon kepada bandar raya hebat itu selain perkhidmatannya yang menjadi buah mulut.

NYC Taxi dikawal selia oleh sebuah suruhanjaya, New York City Taxi and Limousine Commission (TLC) dan diberi perhatian khusus oleh Datuk Bandar New York. Baca: https://en.m.wikipedia.org/wiki/Taxicabs of New York City

Baca juga kisah NYC Taxi: Taxi Confidential: Life, Death and 3 am. Revelations in New York City Cabs, oleh Amy Braunschweiger, Austin, TX: Octane Press, 2009; A Social History of the New York City Cabdriver, Graham Russell Gao Hodges, Baltimore, MD: The Johns Hopkins University Press, 2007[90] King Lear of the Taxi: Musings of a New York City Actor/Taxi Driver, Davidson Garrett, New York: Advent Purple Press, 2006.

Saya meminta SPAD dan DBKL atau dewan-dewan bandar raya sekitar Lembah Klang mencari satu pendekatan kepada permasalahan perkhidmatan teksi masing-masing.

Kita simpati dengan nasib pemandu Teksi KL dan kita juga mengalu-alukan kedatangan per­khid­matan teksi Uber. Kita pasti gabungan ini akan memberi sesuatu yang positif kepada pengguna. Namun konflik ini perlu diselesaikan segera.

Jom jadikan Teksi KL sebagai ikon bandar raya ini dan bukannya sebagai pengalaman yang mengerikan!