Kadar yang dikenakan sebanyak enam peratus. Jumlahnya mungkin tidak besar tetapi disebabkan namanya GST, itu yang menimbulkan keresahan. Pendek kata, jika dulu tiada caj tambahan seumpama itu, bulan April nanti akan ada. Maka mulalah timbul persoalan dalam kalangan pemandu teksi apakah kebaikan GST kepada mereka? Memang su­kar untuk menjelaskannya. Mungkin Suruhanjaya Pe­ngangkutan Awam Darat (SPAD) boleh memberi penerangan atau pencerahan isu ini.

Ceritakanlah realiti sebenar cukai itu dikenakan terhadap ken­deraan awam seperti teksi dan bas. Setiap enam bulan, teksi perlu melakukan pemeriksaan di Puspakom. Di situ pelbagai aspek fizikal kenderaan akan diperiksa se­perti keadaan tayar, brek, kelengkap­an dalam kenderaan (termasuk alat pemadam api), kebersihan dan kea­daan fizikal kenderaan. Cermin retak perlu diganti, badan kende­raan yang kemik juga perlu dibaiki. Dulu bantuan Tayar 1Malaysia (TR1Ma) dapat juga meringankan beban walaupun tidak sepenuhnya, Kos pemeriksaan ialah sebanyak RM55, jika gagal kehadiran kali ke­dua dikenakan RM25.

Pemeriksaan ini perlu diberi perhatian dan pemandu hendaklah memastikan kenderaan mereka dalam keadaan terbaik. Kos sampingan bagi menyediakan teksi terbaik inilah yang dianggap membebankan dan kehadiran enam peratus walaupun kecil amat besar bagi mereka. Sudah lumrah, sesuatu yang baharu lebih-lebih lagi jika melibatkan tambahan kos atau kenaikan akan menimbulkan persoalan. Contohnya, harga petrol. Jika naik ia menimbulkan keresahan kepada pemilik kende­raan. Kumpulan peniaga pula awal-awal lagi membayangkan kenaikan harga barang disebabkan pelbagai kos yang akan ditanggung.

Apabila harga petrol turun, pemilik kenderaan bersyukur dan mereka sebagai pengguna juga awal-awal lagi tertanya-tanya kenapa tidak ada penurunan harga barang. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan terpaksa memanggil pengeluar, pengedar, pemborong barangan membincangkan soal harga. Hakikatnya ramai peniaga yang tidak peduli untuk menurunkan harga, seolah-olah mereka masih menggunakan petrol yang dijual pada harga lama. Jika dulu ada peniaga yang mengecilkan saiz roti canai, kuih-muih dan sebagainya kerana mahu mengekalkan harga lama tetapi selepas penurunan harga petrol, saiz yang sama kekal.

Berbalik kepada isu teksi. Adakah penurunan harga diesel/petrol akan membantu SPAD mengkaji semula kadar tambang? Setakat ini tidak ada cadangan seumpama itu. Sejak tahun lalu, pemandu ternanti-nanti tambang baharu. Kenaikan tambang itu khabarnya tidak dapat dielakkan disebabkan kos-kos lain termasuk penyelenggaraan dan alat ganti kenderaan. Walaupun kebanyakan pemilik teksi menggunakan gas yang harganya lebih murah tetapi masih ramai yang mengeluh mengenai pendapatan harian mereka. Isunya adakah kenaikan tambang akan menyelesaikan masalah? Bagaimana pula dengan pengguna? Adakah kenaikan itu akan disokong dengan sistem pe­ngangkutan awam lain yang lebih cekap? Pengguna juga berhak memilih pengangkutan yang murah dan cekap. Apa yang diharap­kan kenaikan tambang tidak membebankan pengguna dan pemandu juga terbeban disebabkan kurang penumpang.

Semalam, seorang pemandu teksi memberitahu, walaupun jalan raya lengang dan memudahkan perja­lanan sempena cuti Tahun Baharu Cina tetapi penumpang kurang. Katanya, pendatang asing juga sudah bijak memilih pengangkutan awam lain seperti bas, LRT, monorel dan komuter. Cuma dalam keadaan ter­desak, mereka menggunakan teksi. Ada juga pengguna yang serik kerana tambang yang dikenakan melampau. Isu teksi bermeter tidak menggunakan meter merupakan masalah yang tidak pernah selesai. Berselerak teksi bermeter tidak guna meter terutama di luar Kuala Lumpur seperti Serdang, Kajang dan Bangi. Itu belum diambil kira meter diubahsuai. Sejak di bawah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sehinggalah ditukar kepada SPAD, masalah yang dihadapi adalah sama.

Walaupun bukan semua yang bersikap demikian tetapi kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit. Pihak berkuasa telah mengambil pelbagai langkah untuk mendisiplinkan pemandu teksi. Contohnya ‘mewajibkan’ pemandu mengeluarkan resit, melekatkan pe­ngumuman mengenai teksi bermeter dan mempamerkan risalah berkaitan pelbagai perkara yang perlu dilakukan pemandu. Adakah semua peraturan itu masih dikuat kuasakan atau hilang ditelan masa? Berapa banyak teksi yang tidak mampu mengeluarkan resit apabila diminta. Alasannya mesin resit rosak atau kertas habis.

Kelmarin, seorang sahabat yang ingin ke Hospital Serdang mengambil teksi di seberang jalan berhadapan Stesen Komuter Serdang menghala ke Putrajaya. Dia sepatutnya mengambil kupon di stesen KTM Serdang. Tidak pasti berapa harga ikut kupon. Disebabkan tidak mahu menyeberang jalan menaiki jejantas yang panjang dan berpusing itu, dia terus masuk ke dalam teksi yang ada di depan matanya. Masuk sahaja, pemandu teksi itu berkata: “Bang RM12 boleh?’’. Sahabat itu bertanya, “Tak pakai meter?”. Pemandu itu menjawab: “Memang di sini itu harga bang, tak ada guna meter, pergi sana, pusing balik kosong, tak ada orang,”. Maknanya pemandu cuba mengambil tambang pergi balik.

Disebabkan keadaan terdesak, sahabat itu tidak ada pilihan lain. Dia meminta pemandu itu menggunakan juga meter untuk rekod resit. Sampai di hospital, sahabat itu terkejut kerana bacaan meter hanya menunjukkan RM4.80. Sampai di sana, pemandu teksi itu berkata: ``Resit biasa boleh bang?’’ Sahabat berkeras mahukan resit berdasarkan bacaan meter. Pemandu itu cuba menekan alat di meter berkali-kali tetapi tidak ada resit yang keluar. Akhirnya, sahabat itu yang ‘terkena’ kerana menerima resit biasa tanpa nombor kenderaan dan jam perjalanan. Begitulah ceritanya teksi bermeter tidak menggunakan meter. Persoalannya jika itu sudah menjadi kebiasaan kepada pemandu di kawasan berkenaan, apakah tindakan SPAD? Khabarnya, memang SPAD melakukan operasi tetapi selalunya tidak berjaya. Mereka seperti sudah menghidu kedatangan SPAD. Di mana silapnya SPAD? Maka berleluasalah, pemandu teksi di situ mengambil penumpang tanpa menggunakan meter. SPAD tidak mampu melakukan operasi setiap hari. Hakikatnya di seberang jalan (stesen KTM) menggunakan kupon tetapi di sebelah jalan melakukan aktiviti yang menyalahi peraturan. Khabarnya, pemandu teksi yang jujur mencari rezeki menggunakan meter tidak berani berhenti mengambil penumpang di situ. Mereka hanya boleh menurunkan penumpang. Apakah kesudahannya?

Pemandu yang ‘bersalah’ cuba mencari pelbagai alasan. Ada yang berkata, hasil belum cukup untuk membayar sewa. Ada juga yang berkata, berlaku lambakan teksi di Lembah Klang. Pihak berkuasa perlu mencari jalan bagaimana mahu membantu kehidupan pemandu teksi yang benar-benar jujur (tidak menipu) supaya tidak tertekan. Bagi pemilik teksi individu (bukan syarikat) boleh menarik nafas lega kerana kos bayaran balik yang dianggap tidak membebankan berbanding pemandu yang terlibat dalam skim sewa beli. Kerajaan perlu melihat keperluan pemandu teksi yang kerjanya memandu. Pada masa yang sama, ramai tertanya-tanya adakah sudah tidak ada lagi bantuan Tayar1Malaysa (TR1M)?