Hal ini amat baik untuk per­ingatan dan penghayatan tentang hikmah berpuasa, terutamanya untuk menjadi satu latihan kepada umat Islam bagi membersihkan jiwa dan menguruskan amalannya supaya diterima oleh Allah dan diberikan ganjaran amat besar seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW.

Namun begitu, kita yang saban tahun berpuasa dan melatih diri dengan segala kebaikan yang terkandung dalam ibadat ini haruslah sedar bahawa semakin hari semakin banyak penyeleweng­an moral dan akhlak berlaku dalam kalangan umat Islam.

Pada masa ini terdapat banyak gajet dan saluran yang mengimport budaya Barat dan Timur yang mencabar nilai-nilai moral dan akhlak generasi baharu, termasuk kanak-kanak sekolah. Kalau dulu saluran itu hanya melalui televisyen, tetapi sekarang banyak peralatan teknologi lain yang amat mudah digunakan untuk tujuan itu.

Rokok, dadah dan minuman keras amat banyak sekali berada dalam pasaran kini yang merupakan bahan “orang-orang dewasa” yang menarik minat anak-anak kita untuk mencubanya. Daya imaginasi kanak-kanak dan remaja kini berkembang amat pantas daripada yang dapat dibayangkan oleh orang dewasa, termasuk ibu bapa sendiri. Oleh itu gaya hidup para watak dewasa dan cara hidup mewah lainnya yang mereka idam-idamkan melalui tontonan mereka, akan segera mempengaruhi minda dan pemikiran mereka, yang kemudiannya menjadi ikutan yang amat cepat.

Satu laporan akhbar mendedahkan bahawa di ibu kota pada Jumaat 9 Jun lalu, 12 orang pelajar sekolah menengah telah terlibat dalam satu pesta dadah. Pihak polis menyatakan bahawa pesta itu berlangsung pada pukul 9 pagi.

Berita seperti ini sebenarnya banyak sekali dilaporkan di negara kita, di samping peristiwa penyelewengan akhlak lain yang berlaku di sana sini, sehingga berlaku kes pukul dan bunuh juga.

Pengkaji sosial dan pakar ilmu jiwa Australia, Antony Kidman, menamakan gejala ini sebagai “teknostres”, kerana hal ini amat menimbulkan kegelisahan jiwa atau stres dalam masyarakat, khususnya ibu bapa, iaitu gejala penyelewengan jiwa dan tingkah laku generasi muda akibat cara hidup dan peri laku manusia moden yang ditonjolkan di dalam media teknologi baharu atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada masa kini.

Para ulama mungkin tidak berminat untuk membicarakan isu ini dalam tazkirah Ramadan, kerana segala syarahan dan ce­ramah pada umumnya berkisar di sekitar ritual, dosa pahala bulan ibadat ini, yang juga menjadi pengisian kerohanian yang amat sesuai dengan para pendengar dewasa, walaupun hal ini sering diulang-ulang sejak begitu lama.

Memang kita akui akan kepentingan ritual, solat, doa, zikir dan ibadat lain seperti puasa yang sedang kita lakukan dalam membangunkan watak dan peri­badi serta tingkah laku anak-anak kita. Namun kita juga seharusnya mengkaji beberapa unsur penting dalam pembangunan insan yang bernama manusia ini, termasuk keberkesanan didikan ibu bapa dan para pendidik yang seharus­nya memahami psikologi dan bisikan hati nurani generasi baharu dan kanak-kanak, akal dan roh, fizikal dan spiritual mereka yang sentiasa dahagakan kepada penawar.

Maka apakah pengisian penawar dan ubat-ubatan jiwa dan rohani serta jasmani, minda dan hati mereka yang seharusnya kita bicarakan dalam ceramah dan tazkirah yang banyak kita hamburkan itu. Apakah dengan hanya membicarakan dosa pahala dan ritual serta fardu ain itu sudah cukup bagi kita untuk membina akhlak dan moral anak-anak muda kita pada hari ini, sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab terhadap diri dan masyarakatnya.

Zaman ini berubah dengan begitu cepat, jadi apakah kerangka dakwah dan pengolahannya yang telah dilakukan dua tiga dekad yang lalu masih relevan dan berkesan pada masa ini, ketika jiwa dan minda anak-anak sekarang telah berubah dengan mendadak sekali?

Kita boleh mempelajari kaedah dan pendekatan menyampaikan ilmu yang dilakukan oleh para rasul dari awal sehingga ke zaman Nabi Besar kita Muhammad SAW. Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun bagi manusia zamannya, itu pun amat sukar, sehingga ­Allah menurunkan bala bencana menghancurkan pengikutnya yang degil.

Namun Nabi kita Muhammad SAW hanya menyampaikan ajaran Allah SWT secara aktif ketika baginda menerima wahyu pada umurnya 40 tahun sehingga baginda wafat pada umur 63 tahun, dengan penuh bijaksana, contoh teladan, hikmah dan perwatakan serta peribadi yang menawan jasmani dan rohani, akal dan roh pengikutnya seperti yang di­amanahkan kepada baginda melalu kitab suci al-Quran, maka umat Muhammad mendapat kesan yang baik.

Doa Nabi Ibrahim supaya ­Allah mengutuskan seorang Rasul kepada umat Arab jahiliah dalam kalangan bangsa mereka sendiri, yang dapat membaca dan menerangkan ayat-ayat kebesaran Allah, mengajar kandungan dan rahsia al-Quran dan akhlak serta berhikmat, dan membersihkan hati nurani dalaman mereka, telah dimakbulkan Allah dengan mengutus Nabi Muhammad SAW berbekalkan ajaran lengkap daripada al-Quran.

Ternyata di sini bahawa perkembangan akal dan roh manusia menjadi semakin matang dan maju dengan peredaran zaman dan perubahan masa, maka kaedah dakwah para rasul dan nabi sebelum Nabi Muhammad SAW adalah berbeza dengan manusia umat Muhammad.

Oleh itu usaha bersepadu dalam menangani krisis akhlak dan kegawatan peri laku serta hati nurani generasi sekarang haruslah diorientasikan semula terutamanya dalam membawa mereka kembali kepada latihan dan ajaran agama kita sendiri, lebih-lebih lagi dalam merawat masalah teknostres ini yang melibatkan para ahli psikologi, antropologi, kesihatan dan para pendakwah serta pendidik umum­nya.

PROFESOR DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).