DALAM bidang kesihatan awam, isu lambakan sisa makanan akan mengundang
DALAM  bidang kesihatan awam, isu lambakan sisa makanan akan mengundang kehadiran vektor penyakit seperti tikus, lalat dan nyamuk.  GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Dengan peningkatan kadar makan di luar setinggi 40% dalam kalangan penduduk Malaysia, industri premis makanan negara ini mempunyai jumlah pelanggan yang tinggi, hampir 12 juta orang setiap hari. Tetapi amat menyedihkan apabila diketahui bahawa hampir 1,000 tan makanan yang belum terusik menjadi sisa makanan setiap hari seperti di bandar Kuala Lumpur.

Kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati satu daripada sembilan penduduk di dunia ini tidak mendapat makanan yang cukup dari segi jumlah isipadu atau kan­dungan nutrisi, ter­uta­ma­nya dari nega­ra yang sedang membangun.

Banyak pembaziran berlaku semasa penyimpanan, penyediaan dan penyajian makanan yang tidak sempurna. Ini mengakibatkan banyak makanan cepat rosak dan tidak boleh dimakan, lalu dibuang begitu sahaja. Didapati satu pertiga daripada makanan tersebut tidak sampai kepada pengguna. Ini berlaku di negara-negara yang sedang membangun dan yang sedang darurat akibat peperangan yang berlanjutan atau akibat bencana alam.

Lambakan sisa makanan di negara ini adalah akibat pengguna tidak bijak ketika membuat pilihan dan pesanan atau akibat penyimpanan makanan yang tidak betul. Makanan yang dipesan untuk sarapan, makan tengah hari, petang, malam dan lewat malam, tidak habis dimakan akibat sikap tamak dan gelojoh.

Banyak contoh yang boleh lihat seperti di kenduri perkahwinan atau sebarang majlis yang rata-rata banyak sisa makanan akan dihasilkan. Secara langsung, kos makanan yang agak besar dibazirkan begitu sahaja. Bukan itu sahaja, kos semasa penanaman atau penternakan, pemprosesan, dan pengangkutan turut disia-siakan begitu sahaja.

Bagi bidang kesihatan awam, isu lambakan sisa makanan ini melangkaui aspek tersebut. Selain dari segi kesihatan sosial, ia juga akan mengundang kehadiran vektor penyakit seperti tikus, lalat dan nyamuk. Tikus amat gemar kepada sisa makanan sebagai keperluan harian mereka untuk ­terus hidup dan membiak. Tikus boleh menyebabkan penularan penyakit seperti leptospirosis dan air ­kencingnya yang mencemari persekitaran dan sumber makanan.

Lalat juga amat menggemari sisa tersebut. Ia dikenalpasti menyebabkan penyakit gastroenteritis dan cirit-birit. Sisa makanan yang turut mengandungi plastik pembungkus mampu menjadi tempat pembiakan nyamuk bagi kes demam denggi dan zika.

Jika dikaji dengan lebih lanjut, hampir 40% hingga 50% sisa pepejal adalah terdiri dari sisa makanan. Keadaan sisa yang basah adalah antara penyebab pengasingan sisa gagal dilaksanakan di beberapa tempat di Malaysia.

Lantas, kebanyakan sisa tersebut dibuang di tapak pelupusan. Melalui proses kompos, banyak gas metana akan dihasilkan dan dilepaskan ke udara. Ia adalah salah satu gas utama untuk masalah perubahan iklim yang hangat dibincangkan di luar dan di dalam negara ini. Jika dulu, peningkatan 0.5oC berlaku dalam jangka masa 10 tahun, tetapi kini, dalam hanya empat ke lima tahun sahaja. Peningkatan suhu sering dikaitkan dengan kekerapan banjir atau kemarau di sesuatu negara.

Malaysia, pada empat tahun lalu menunjukkan kekerapan kejadian banjir yang terus meningkat. Dan kajian tempatan mendapati banjir telah mengurangkan bilangan kes demam denggi yang mungkin di­sebabkan oleh penghapusan tempat pembiakan ­nyamuk oleh air. Namun begitu, banjir menyebabkan kes leptospirosis pula meningkat. Secara tidak langsung, lambakan sisa makanan turut memainkan ­peranan dalam perubahan cuaca di negara ini.

Dari aspek tosikologi, pembaziran menyebabkan penggunaan racun perosak dan baja yang lebih tinggi untuk meningkatkan penghasilan sumber makanan di negara ini. Data jelas menunjukkan peningkatan penghasilan racun perosak dan baja di negara ini. Penggunaan racun perosak sedia maklum mencemari alam sekitar dengan bahan kimia mengganggu endokrin. Bahan ini mampu mengganggu sistem endokrin manusia yang berkaitan masalah diabetes, tiroid dan tumbesaran. Baja mengandungi nitrat yang menyebabkan methaemoglobin dan menyebabkan masalah pe­ngedaran oksigen dalam darah bayi.

Semasa pemprosesan makanan mentah, banyak air digunakan. Hampir 70% air yang digunakan itu berakhir pada lambakan sisa makanan. Dari hitungan kasar, ada yang berpendapat bahawa satu kilogram sisa daging telah menyebabkan pembaziran 50,000 liter air. Ini adalah pembaziran yang sangat signifikan.

Di peringkat dunia bermula pada 2016, satu pergerakan dalam memelihara kesihatan planet yang disokong oleh PBB telah menggariskan beberapa langkah segera termasuk bagaimana untuk mengatasi masalah lambakan sisa makanan di dunia ini.

Pengurangan penghasilan sisa makanan perlu bermula di pe­ringkat pengguna, sama ada di rumah atau di premis makanan. Pengguna di rumah perlu peka dan bijak di dalam penyediaan makanan agar semuanya dimakan sepenuhnya. Setidaknya, baki makanan itu disimpan baik, ­seperti di dalam peti sejuk agar boleh dimakan keesokan harinya. Penghancur (grinder) yang dipasang di sinki perlu dikaji kerana ia mempunyai potensi tinggi untuk menjayakan program pengasingan sisa di rumah.

Pengusaha premis makanan perlu menyediakan pilihan pelbagai saiz dan melatih pelayan dalam memberikan nasihat kepada pelanggan mereka agar tiada pembaziran makanan berlaku. Pemilihan jenis makanan dan kuantiti yang sesuai akan mengurangkan isu lambakan ini terus di sumbernya.

Rakyat Malaysia perlu bijak semasa memesan makanan dengan mengambil kira bilangan orang serta umur mereka di samping kepelbagaian selera yang ada. Membeli menu bersaiz besar nampak seperti lebih murah, tetapi sebenarnya sebahagian wang tersebut akan terbuang ke dalam tong sampah begitu sahaja setiap hari. Pintar membeli, bijak alam sekitar.

PROF. MADYA DR. MOHD. HASNI JAAFAR ialah Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi (VK7), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.