Terdapat wakil pihak berkuasa penerbangan United Kingdom, agensiagensi pelancongan, rakan-rakan niaga dan juga dua legenda kelab bola sepak Liverpool, Robbie Fowler dan Ian Rush yang mana Malaysia Airlines (MAS) merupakan syarikat penerbangan rasmi LFC sejak tahun lalu. Semuanya harus didahului dan dirai.

Begitu rumit untuk mendapatkan slot masa daripada Kapten Izham yang agak keberatan kerana baharu sahaja dilantik secara rasmi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa 1 Disember 2017. Maka ditakdirkan kami bertemu di London.

Ikuti wawancara eksklusif Mingguan Malaysia, Johardy Ibrahim bersama Kapten Izham Ismail yang menjawab soalan-soalan peribadi dan rasmi mengenai pengalaman lebih 38 tahunnya bersama MAS dan peranannya sebagai CEO sekarang untuk memulihkan syarikat penerbangan negara ini.
 

KAPTEN Izham Ismail, 57, berasal dari Alor Setar, Kedah telah berkhidmat lebih 38 tahun dengan MAS. Bermula sebagai juruterbang kadet dan seterusnya berkembang ke jawatan pengurusan.

Beliau merupakan juruterbang Melayu yang memecah rekod penerbangan dunia apabila mengemudi pesawat B777-200 pertama milik MAS dari Seattle, Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur dan terbang kembali ke Seattle.

Penerbangan itu mencatat rekod dunia baharu untuk penerbangan paling jauh dan terpantas mengelilingi dunia oleh pesawat komersial, dengan jumlah keseluruhan penerbangan 41 jam dan 59 minit merentasi 23,310 batu atau 37,514 kilometer.

"Tetapi sudah tujuh tahun saya tidak menerbangkan pesawat. Tugas pengurusan syarikat tidak membenarkan saya meneruskannya,’’ kata beliau yang telah memegang 21 jawatan sebelum menjadi CEO dengan jawatan terakhir Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan.

Situasi tersebut memastikan beliau belajar banyak selok-belok pengurusan daripada sejumlah CEO yang menerajui MAS. Pengalaman kerjaya itu, beserta hakikat beliau berasal daripada keluarga miskin, menjadikan beliau sentiasa insaf dan sedar tanggungjawabnya untuk memulihkan MAS.

Pelantikan beliau sebagai CEO Kumpulan MAS juga agak mendadak, ekoran peletakan sebelum tamat kontrak Peter Bellew yang mahu pulang menyertai Ryanair, Oktober lalu.

MAS menjadi tumpuan ramai kerana sebelum itu, Christoph Mueller juga melepaskan jawatan CEO Kumpulan sebelum tamat kontrak, dan Bellew mengambil alih. Kini kedua-dua CEO ‘mat salleh’ telah tiada, pemilihan Izham disambut positif oleh orang ramai yang mahukan anak tempatan kembali menerajui MAS.

Mingguan : Apakah terjadi ketika detik-detik pertama anda disahkan sebagai CEO syarikat penerbangan negara ini

IZHAM ISMAIL: 'Takut gila!’ sebenarnya. Begitu takut, gementar bila saya dihubungi Pengerusi MAS, Tan Sri Md. Nor Md. Yusof mengenainya. Beliau memberitahu 14 anggota Lembaga Pengarah MAS sebulat suara bersetuju memilih saya meneraju MAS.

'Takut gila’ kerana tidak rela atau bagaimana?

IZHAM ISMAIL: Sejujurnya setelah menempuh lebih 38 tahun kerjaya dan pada usia 57 tahun, saya sudah bersedia untuk bersara. Saya bukan jenis suka melobi atau mengejar jawatan. Apa yang saya telah nikmati sepanjang 38 tahun mencurah khidmat kepada MAS, saya bersyukur apatah lagi ia telah merubah nasib keluarga saya daripada kemiskinan.

Pastinya anda sudah menjangkakan setinggi mana harapan warga MAS dan rakyat Malaysia berikutan pelantikan anda sebagai CEO?

IZHAM ISMAIL: Saya ini orang MAS totok. Kalau ibarat potong tangan, darah biru memancut. Biru adalah warna rasmi MAS. Inilah kerjaya pertama saya sejak 1979 hingga sekarang.

Saya sedar harapan semua terhadap saya. Malah, dengan jawatan COO sebelum ini, saya rasa wujud keperluan mendesak untuk saya menyelesaikan perjuangan untuk memulihkan MAS yang sedang berlangsung. Jika saya gagal, saya tidak akan dapat memaafkan diri saya sendiri.

Namun di sebalik itu, saya menerima tanggungjawab besar dan berat ini, bukan didorong oleh pangkat, apa lagi wang. Sebaliknya, saya rasa perlu 'membalas balik’ apa yang MAS sudah berikan kepada saya sekeluarga.

Pada awal proses pemulihan syarikat, seramai 6,000 orang terpaksa meninggalkan MAS. Dan kini bersama saya ialah 14,000 kakitangan. Jika tidak sama-sama kukuhkan syarikat, pastinya tidak adil bagi semua mereka yang telah berkorban.

Bagaimana anda hendak lakukannya?

IZHAM ISMAIL: Setelah melalui tragedi MH370 dan MH17 serta proses pemulihan, warga MAS bagaikan kehilangan sesuatu dalam diri mereka. Saya mahu kembalikan kecintaan mereka kepada syarikat. Perteguhkan jati diri. Elemen ini penting untuk seluruh warga MAS miliki.

Untuk itu, saya perkenalkan aktiviti tugasan membersihkan kaunter periksa masuk serta kapal terbang, dengan melibatkan jabatan-jabatan lain melakukannya secara bergilir-gilir. Ia bertujuan untuk memupuk rasa kekitaan dan kasih sayang kepada aset dan perkhidmatan yang kita berikan.

Selain itu, sejak saya memulakan tugas, sebanyak tiga townhall telah diadakan dengan warga MAS di Kuala Lumpur serta serata dunia melalui Skype. Selain itu, saya mengadakan pertemuan dengan kumpulan kecil antara 15 hingga 20 orang. Mereka dipilih secara rawak, duduk dengan saya sambil minum teh tarik. Sesi tersebut adalah bagi warga MAS meluahkan apa sahaja secara terus kepada saya. Kaedah ini juga penting untuk saya menyelami apa yang warga MAS fikirkan. Ada idea yang bagus, kita laksanakan. Ada isu berbangkit, kita tanganinya.

Berat tugas bertemu dengan warga MAS yang sebegitu ramai!

IZHAM ISMAIL: Saya cuba sedaya-upaya. Kerana sebuah organisasi yang hebat, bermula daripada warga kerjanya. Bila warga kerjanya bagus, maka pelanggan akan puas hati. Mesej penting dalam sesi sedemikian yang saya sematkan ialah tidak kira sama ada anda warga kerja veteran atau baharu, semua perlu bekerja lebih keras dan tekun mulai sekarang. Hanya dengan cara ini MAS dapat kembali ke landasan kejayaan.

Anda rasa warga MAS ada jurang dengan syarikat?

IZHAM ISMAIL: Mungkin semasa pentadbiran dua CEO sebelum ini, tumpuan lebih diberikan kepada menutup luka atau pengaliran keluar wang menyebabkan warga MAS seakan-akan terbiar. Sekarang pun MAS masih luka tetapi usaha menerusi 12 perkara Pelan Pemulihan MAS (MRP), ia telah menunjukkan perubahan yang diharapkan.

Tentunya anda ada pelan tersendiri untuk mencapai matlamat yang ditetapkan dalam 12 perkara MRP itu?

IZHAM ISMAIL: Saya tahu dan jelas mengenai apa yang perlu dilakukan untuk memulihkan MAS, walaupun ia bukan tugas yang mudah. Ia perlu diperteguhkan dalam aspek struktur dan hanya selepas itu, akan ada keberkekalan dalam aspek keuntungan.

Saya menaruh harapan dan juga yakin untuk mencapai sasaran tahun 2018 iaitu meraih hasil balik modal atau break even. Ya, saya ada pelan sendiri dan ia sejajar dengan MRP.

Apakah pelan tersebut?

IZHAM ISMAIL: Saya merancang untuk menangani lima perkara iaitu kesejahteraan warga MAS, perkhidmatan pelanggan, perolehan dan keuntungan, kecekapan dan keselamatan operasi.

Daripada segi operasi, kita tidak boleh bertubi-tubi memperkenalkan destinasi baharu atau membeli pesawat baharu. MAS adalah syarikat penerbangan premium, bukan tambang murah seperti AirAsia atau mewah seperti Emirates.

Atas sebab itu, MAS tidak boleh semudah itu menurunkan harga tiket seperti yang kita lakukan pada suku pertama dan kedua tahun lalu, demi meraih hasil.

MAS perlu mengurus dan memacu kecekapan kos bagi memastikan jurang RASK (perolehan setiap kerusi per kilometer) dan CASK (kos setiap kerusi per km) dapat diluaskan.

Ini turut melibatkan kos lain-lain?

IZHAM ISMAIL: Ya. Saya hendak tegaskan bahawa MAS bukan lagi 'perigi emas’ atau cash cow. Kami berunding dengan vendor-vendor dan jika mereka berkeras tidak mahu membantu MAS menurunkan kos operasi, kita tamatkan hubungan dengan mereka.

Bukan hendak tunjukkan kami 'ganas’ tetapi ini perlu dilakukan bagi mengekang ketidakcekapan dan mengoptimumkan perkhidmatan.

Tahun 2018 tentunya sama mencabar seperti tahun lalu?

IZHAM ISMAIL: Mengikut MRP, kita berada di landasan betul. Benar, 2018 akan lebih mencabar kerana inilah fasa di mana wujud lebihan kapasiti, persaingan sengit dan tukaran mata wang asing yang runcing serta harga bahan api yang berubah-ubah. Inilah faktor yang menjejaskan kemajuan MAS tahun ini untuk break even atau mencatat keuntungan.

Mengenai destinasi baharu, anda sebut tidak akan perkenalkan laluan baharu?

IZHAM ISMAIL: Kenaikan 10 sen pada dolar AS sudah cukup mengakibatkan MAS menanggung RM100 juta dan kenaikan AS$1 dalam kos bahan api akan menyebabkan MAS membayar RM50 juta.

Atas faktor ini, kita tidak boleh menumpu kepada sesuatu pasaran atau meletakkan semua telur dalam satu raga, sebaliknya pergi ke mana lokasi yang wujud permintaan.

Kita telah belajar daripada pengalaman dulu bila menumpu kepada sektor Australia. Bila Emirates masuk, kita terkena impak daripadanya. Jadi kita lebih cermat dan memilih Brisbane sebagai destinasi untuk kembali, bermula Jun ini kerana wujud permintaan.

Dengan semua pelan ini dan MRP, bilakah jangkaan untuk MAS benar-benar pulih?

IZHAM ISMAIL: 2028! Ya, 10 tahun lagi. Inilah sasaran kita untuk MAS kembali ke mercu kejayaan. Berdasarkan unjuran, MAS harus distabilkan pada 2020 dengan keuntungan bersih RM1 bilion di sebalik perolehan antara RM10 bilion hingga RM12 bilion.

Itu dengan syarat persekitaran makro-ekonomi kekal bagus, permintaan untuk terbang terus meningkat, tukaran mata wang asing dan kos bahan api tidak berubah secara melampau dan kos operasi kekal dikawal.

Bagaimana anda gambarkan corak pentadbiran anda? Sebab saya dapati anda 'tidak garang’ dan 'bersuara lembut’.

IZHAM ISMAIL: (Ketawa). Buat masa awal-awal ini, saya guna cara pengurusan mikro. Ya saya senang bergaul dengan warga MAS supaya ada rasa kekitaan dan jati diri tetapi pada masa yang sama, saya menuntut setiap warga MAS untuk bekerja keras demi memulihkan syarikat.

Satu daripada langkah pemulihan ialah mengenal pasti warga MAS yang telah menjadi 'tunggul mati’ atau tidak berprestasi dalam kerja mereka. Bermula 1 Disember iaitu hari sama saya bermula, saya beri tempoh 100 hari. Jika tiada perubahan, mereka akan mendapat surat daripada saya.

Ia bermakna mereka tidak membantu MAS untuk mengotakan janjinya. Bila mereka tidak sepenuhnya menyumbang kepada anggota pasukan, mereka harus tinggalkan MAS.