Hospital atau klinik kesihatan kerajaan seringkali menjadi tumpuan warga asing kerana caj dikenakan jauh lebih murah dibandingkan dengan hospital atau klinik swasta. Selain itu ra­watan dan ubat-ubatannya juga bermutu tinggi. Para pekerja asing sektor kotor, sukar dan bahaya sebagai contoh seboleh-bolehnya mahu meminimumkan kos perubatan masing-masing apatah lagi jika mereka masuk ke negara ini secara tidak sah atau sudah tinggal melebihi tempoh masa. Mungkin kerana mahu berjimat-cermat mereka tidak kisah beratur panjang di hospital kerajaan asalkan tidak perlu mengeluarkan belanja besar.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, kebanyakan yang mengelak daripada membayar bil ini ialah kumpulan warga asing yang masuk secara tidak sah ke negara ini. Warga asing yang sah, biasanya dilindungi insurans atau dibiayai oleh majikan. Ada juga sebahagian majikan lepas tangan dan sengaja tidak mahu membayar kos rawatan perubatan pekerja, mereka dihantar ke klinik atau hospital kerajaan sahaja.

Walaupun kerajaan sedang melakukan pelbagai usaha untuk menjejaki warga asing menerusi alamat tempat tinggal dan majikan masing-masing, usaha masih tidak berjaya. Sebahagian mungkin sudah kembali ke tanah air masing-masing setelah sihat walafiat. Sebahagian lagi walaupun masih berada di Malaysia tidak ambil peduli tentang tunggakan bil rawatan di hospital kerajaan apatah lagi jika jumlah­nya mencecah ribuan ringgit.

Apa yang dialami oleh hospital-hospital kerajaan ini tidak ubah seperti apa yang pernah dan sedang dialami oleh beberapa agensi penguatkuasaan se­perti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam isu saman atau kompaun tertunggak kesalahan lalu lintas yang dilakukan rakyat dari sebuah negara jiran. Sehingga sekarang isu tersebut masih tidak dapat diatasi walaupun pelbagai cara dan pendekatan sudah diperkenalkan. Jumlah saman atau kompaun yang tidak dibayar juga mencecah jutaan ringgit.

Dengan jumlah hutang tertunggak terus naik setiap tahun, isu ini kelihatan seperti sukar untuk diselesaikan walaupun beberapa mekanisme telah diper­kenalkan. Tindakan terbaharu yang diambil oleh Kementerian Kesihatan mengenakan deposit lebih tinggi bagi rawatan hospital dilihat sebagai salah satu cara bagi mengurangkan kes-kes bil tertunggak.

Langkah ini sebagai salah satu ikatan atau jaminan agar pesakit menjelaskan segala kos rawatan yang dikenakan sebelum me­ninggalkan hospital . Sebelum ini pesakit warga asing ini boleh hilang secara diam-diam atau curi-curi tanpa perlu membayar caj. Dalam hal ini kerajaan tidak lagi boleh berkompromi dan perlu tegas. Sekiranya mereka tidak mampu menyediakan sejumlah wang deposit yang ditetapkan, mereka tidak boleh mendapatkan rawatan. Pergilah ke hospital atau klinik swasta sebagai satu pilihan lain. Kadar caj yang dikenakan sudah pasti berlipat kali ganda.

Kerajaan selama ini terlalu baik dan cukup berperikemanusiaan dalam bab-bab kebajikan insan tanpa mengenal warna kulit dan asal keturunan termasuk dalam aspek rawatan kesihatan. Pesakit warga asing menikmati faedah rawatan kesihatan dan perubatan yang lebih kurang setaraf dengan apa yang dinikmati oleh warga tempatan.

Bagaimanapun dalam kea­daan sedemikian ramai juga yang mahu mengambil kesempatan. Meskipun mampu membayar kos rawatan yang dikira amat berpatutan itu, masih banyak yang culas berbuat sedemikian. Kebanjiran mereka di hospital-hospital kerajaan selama ini pun tidak begitu menyenangkan. Rakyat tempatan banyak kali merungut kerana terpaksa bersesak-sesak dengan kumpulan pendatang asing ini setiap kali ke hospital atau klinik kerajaan.

Sebenarnya warga asing termasuk yang bekerja secara tidak sah di negara ini mampu membiayai kos rawatan kesihatan masing-masing. Mereka tekun bekerja dan memperoleh upah setimpal. Setiap bulan mereka berupaya mengirim wang ke kampung halaman masing-masing. Kalau mereka boleh mengirim beribu-ribu ringgit sebulan ke negara asal, maknanya mereka juga ada wang untuk persediaan sakit demam masing-masing. Peraturan ini mesti dikuatkuasakan tanpa sebarang tolak ansur lagi.