Terdapat beberapa keistimewaan di Pulau Borneo iaitu Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter di Sabah ialah titik, puncak dan gunung tertinggi di Borneo serta ketiga tertinggi di Asia Tenggara, sekali gus menjadikan pulau ini ketiga ter­tinggi di dunia.

Sistem sungai terbesar di Kapuas, Kalimantan Barat, Indonesia sepanjang 1,143 kilometer (km) pula merupakan sungai terpanjang di Indonesia, manakala Sungai Rajang di Sarawak sepanjang 562.5 km direkodkan sebagai sungai terpanjang di Malaysia.

Sementara itu, Simpang Mengayung di Kudat, Sabah ter­kenal sebagai The Tip Of Borneo atau tanah hujung Borneo manakala Kota Pontianak di Kalimantan Barat merupakan titik pertemuan garis Khatulistiwa yang membahagikan bumi menjadi dua bahagian iaitu belahan bumi utara dan selatan.

Apabila mendiami kepulauan sama, tidak dinafikan wujud banyak persamaan kaum dan sumber ekonomi yang dapat dikongsi antara rakyat Malaysia yang menetap di Sarawak dan Indonesia di Kalimantan.

Sebagai contoh jika di Kalimantan terdapat suku kaum Orang Ulu, Bidayuh, Iban dan Melayu, bangsa sama juga boleh ditemukan di Sarawak. Malah ada dalam kalangan penduduk dari kedua-dua negara ini mempunyai pertalian saudara terutama yang mendiami kawasan perbatasan.

Mengikut cerita, punca suku kaum bersaudara ini berbeza warganegara adalah disebabkan persempadanan dibuat oleh kerajaan Indonesia dan Malaysia pada suatu ketika dahulu yang menyaksikan terbahaginya tanah kepada dua negara.

Justeru, bukan perkara pelik melihat hubungan penduduk di kawasan sempadan kedua-dua negara ini terjalin baik termasuk saling bergantung ekonomi antara satu sama lain.

Keadaan ini boleh dilihat apabila wujudnya pasar minggu di sempadan Tebedu, Serian-Entingkong, Kalimantan yang popular pada sekitar 1980-an hingga 1990-an sebelum ditutup dan pasar Serikin di Bau yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia berbelanja ketika ini.

Bagi penduduk Indonesia pula, bandar Serian dan Kuching juga bukan asing kerana menjadi lokasi mereka untuk membeli barangan keperluan asas yang menawarkan harga lebih murah berbanding negara mereka.

Mengikut laporan portal berita, detik.news, hampir setiap hari berbaris kenderaan rakyat Indonesia yang sarat dengan muatan barangan dari Malaysia menunggu untuk menjalami pemeriksaan di Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Tebedu-Entikong.

Warga Indonesia yang ditemui mengakui, mereka sanggup memandu sejauh tiga jam ke Malaysia untuk membeli bara­ngan keperluan asas seperti beras, gula, bawang, minyak masak dan lain-lain kerana harganya jauh lebih murah berban­ding dijual di negara sendiri.

Pihak kerajaan republik itu membenarkan rakyatnya membawa masuk barangan Malaysia maksimum RM600 sebulan manakala pihak kerajaan Malaysia membenarkan penduduk negara jiran itu membeli barangan tempatan daripada pemborong berlesen dalam kuantiti dibenarkan.

Hubungan baik antara rakyat Sarawak dan Kalimantan ini mendapat perhatian pemerintah kedua-dua negara, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pre­siden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi bersetuju untuk membuka semula aktiviti perdagangan rentas sempadan di Tebedu dan Entikong bagi menjana pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut.

Persetujuan yang dicapai menerusi perbincangan semasa Majlis Perundingan Tahunan MalaysiaIndonesia Ke-12 antara Najib dan Jokowi di Kuching pada November tahun lalu itu dijangka dilaksanakan selepas Perjanjian Perdagangan Sempadan (BTA) dan Perjanjian Rentas Sempadan (BCA) dikemas kini dalam masa terdekat.