Tujuan pertama untuk melihat suasana di terminal itu yang menjanjikan keselesaan kepada pengguna selepas perkhid­matan bas ke utara beroperasi di sana. Keduanya mahu mencari buku di kedai buku di situ tetapi dimaklumkan sudah tutup. Sebaik melangkah ke lobi utama TBS, saya terkejut melihat jumlah manusia yang begitu ramai sedang beratur untuk membeli tiket. Mengalahkan suasana beli tiket di Zoo Negara.

Beratur panjang sama ada di kaunter atau pun di mesin e-tiket. Apa sudah jadi? Esok nak hari raya? Tidak mungkin mereka mahu pulang awal untuk menyambut Hari Deepavali pada Selasa ini. Kemungkinan yang boleh dipercayai ialah pelajar institusi pengajian tinggi mula bercuti.

Mungkin juga akibat perpindah­an operasi bas ekspres bagi koridor utara. Pada peringkat awal, TBS hanya mengendalikan perkhidmat­an bas ke Selatan. Mulai 1 Disember 2014, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengarahkan semua perkhidmatan bas ekspres ke pantai timur dari Hentian Bas Putra juga dipindahkan ke TBS. Perpindahan itu disebabkan struktur bangunan Hentian Bas Putra yang digunakan selama ini tidak selamat. Faktor keselesaan penumpang juga diambil kira. Bagus! Keputusan yang baik demi keselamatan dan keselesaan penumpang. Mulai 1 November lalu, SPAD mengarahkan pula perpindahan operasi bas ekspres bagi koridor utara dari Pudu Sentral ke TBS. Akhirnya Pudu Sentral yang sebelum dinaik taraf dengan kos RM52 juta dikenali sebagai Puduraya ditinggalkan. Selepas naik taraf dengan keselesaan untuk penumpang, Puduraya dikenali sebagai Pudu Sentral pada Ogos 2011 yang juga menjadi Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Perpindahan operasi bas koridor utara itu dilakukan secara perbincangan bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) serta pihak pengendali bas ekspres yang terlibat. Selain menawarkan keselamatan dan keselesaan yang lebih baik, perpindahan operasi ke TBS akan dapat mengekang aktiviti ulat tiket yang berleluasa di Pudu Sentral. Langkah itu juga dikatakan bakal mengurangkan kesesakan di kawasan sekitar. Kini penumpang atau pengguna bas ekspres pula akan mengalami kesesakan di jalan raya sama ada ketika bas bergerak dari TBS menuju utara atau timur dan sebaliknya.

Tidak dinafikan dari satu sudut, perpindahan ini ada juga baiknya kerana TBS mempunyai hubungan yang lebih baik ke jaringan pengangkutan yang lain seperti LRT laluan Seri Petaling, KTM Komuter dan KLIA Transit. Cuma perjalanan ke utara dan timur mungkin lebih jauh dan terpaksa menempuh jalan bandar yang sudah semestinya sibuk. Paling perlu diberi perhatian ialah semua laluan bas ekspres –, selatan utara dan timur – kini tertumpu ke TBS BTS. Adakah SPAD dan juga pihak yang menyelia TBS, Maju TMAS Sdn. Bhd. sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi pelbagai suasana? Jangan sekadar beri arahan pindah, kemudian tinggalkan begitu sahaja? Difahamkan sebanyak 545 daripada 635 bas ekpres yang beroperasi bagi koridor utara di Pudu Sentral dialihkan ke TBS. SPAD memberi jaminan, TBS mempunyai kemampuan bagi menampung tambahan operasi ke utara secara cekap.

Apa yang membimbangkan kemudahan selesa itu tidak mencukupi akibat pertambahan jumlah operasi bas dan penumpang. Tandas, restoran, ruang solat, kerusi menunggu, kaunter dan pelbagai lagi perlu diberi perhatian. Bagaimana pula dengan LRT, KTM Komuter, KLIA Transit serta perkhidmatan teksi? Adakah kekerapan perkhidmatan di tahap sama? Mampukah LRT, Komuter, KLIA Transit memenuhi keperluan pengguna harian yang selama ini pun mengeluh?  Jangan kerana perpindahan bas ke TBS BTS itu mengganggu kemudahan penumpang yang menggunakannya sebagai pengangkutan harian.
Melihat suasana pada Sabtu lalu, saya percaya tidak akan beratur selama satu jam untuk membeli tiket sekiranya masih ada khidmat di Pudu Sentral. Memang ulat tiket tidak mampu beroperasi di TBS tetapi apabila melihat keadaan yang berlaku, terfikir pula ulat tiket dapat membantu mempercepatkan tempoh membeli tiket. Seorang remaja yang berada di TBS kira-kira pukul 11.15 pagi hanya mendapat tiket ke Butterworth pada pukul 12.30 tengah hari. Pengalamannya dicatatkan di sini.

Jika diselak kembali, perkhidmat­an penjualan tiket di TBS lumpuh selama lima jam pada musim pe­rayaan lalu. Ini berikutan gangguan sistem sehingga menyebabkan terminal ber­kenaan mengalami kesesak­an. Lebih 1,000 penumpang bersesak dan beratur panjang di kesemua kaunter tiket bas ekspres bagi membeli tiket untuk pulang ke destinasi masing-masing sejak pukul 11 pagi hari berkenaan dan sistem pulih pukul 4 petang. Adakah TBS sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada musim perayaan akan datang? Jangan sehingga pengguna merungut dan  menyalahkan kerajaan Barisan Nasional.

RUNGUTAN PENUMPANG

JIKA apa yang saya alami pada 7 November 2015 di TBS, sekiranya diberi pilihan, saya memilih Pudu Sentral. Saya sering menggunakan bas ke utara. Saya suka berita perpindahan itu tetapi hasrat itu lebur apabila menyaksikan jumlah penumpang yang beratur di kaunter tiket. Semua kaunter beratur panjang. Saya pilih kaunter 14 untuk membeli tiket ke Butterworth. Saya tidak pernah alami keadaan ini di Pudu Sentral. Selepas satu jam, pukul 12.33 tengah hari saya mendapat tiket untuk perjalanan pada pukul 12.45 tengah hari. Kata kerani kaunter tiket, itu paling awal. Beliau meminta supaya cepat-cepat turun ke terminal untuk mendapatkan bas.

Malangnya saya diberitahu, bas berkenaan akan bertolak pukul 2.45 petang. Saya terpaksa menunggu lagi apabila bas yang dikatakan itu hanya muncul 2.50 petang. Lebih mendukacitakan apabila tempat duduk yang nombornya tertera di tiket sudah ada orang. Pemandu pula hanya memberitahu, pilih sahaja mana-mana ‘seat’ kosong. Apakah hak penumpang apabila keadaan ini berlaku? Bas lewat, tempat duduk tidak ada. Tidak cukup di situ. Pengalaman menaiki bas di terminal yang hebat itu tidak membawa kepada ke­selesaan dalam perjalanan. Jika ikut tiket turun di Butterworth tetapi diminta tukar bas setiba­nya di hentian sebelah Juru. Ikut undang-undang tidak ada penumpang yang dibenarkan turun selain di terminal yang ditetapkan walaupun di tempat rehat. Dulu saya pernah alami perkara ini apabila hendak turun di Juru tetapi tidak dibenarkan kerana pemandu bim­bang didenda oleh pihak berkuasa. Akhir­nya terpaksalah saya bertukar bas. Ada penum­pang merungut kerana mereka mempunyai ba­nyak barang untuk dipindahkan. Malangnya, pemandu bas pula mengeluarkan kata-kata kesat. Lebih malang, apabila bertukar bas, saya dan ibu serta beberapa penumpang lain terpaksa berdiri sehingga ke stesen Butterworth. Itulah pe­ngalaman saya selepas membeli tiket di sebuah terminal yang menjamin keselesaan. Siapakah yang harus peduli dengan perkhid­matan sebegini rupa? Jangan selepas tiada ulat tiket, bas ulat pula muncul.

Penumpang Utara Tunggu 
Bas Sampai, Bas Tak Sampai.