Kepada pengguna bas ekspres (jika ada), destinasi mereka sudah tentu berakhir di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan (TBS BTS). Jika singgah di situ, lihatlah kehebatan TBS yang bertaraf lapangan terbang. Mana tahu, jika pengalaman ini dapat dikongsi bersama dengan rakan-rakan semasa Perhimpunan Agung UMNO, sekurang-kurangnya apabila bercakap, anda ada pengalaman, bukan sekadar dengar cakap orang. Mengenai TBS BTS, saya berpeluang menghadiri taklimat khas pada Jumaat lalu. Terima kasih kepada Pengurus Komunikasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Hazimin Sulaiman yang mengatur taklimat khas ini berikutan tulisan Selak bertajuk TBS BTS: Tiket beli sejam tunggu bas tidak sampai (9 November 2015) dan Tingkat kualiti perkhidmatan tanpa bebankan pengguna (16 November 2015). Ini bermakna SPAD bersedia mendengar rungutan orang ramai mengenai isu-isu berkaitan pengangkutan awam yang menjadi bualan pengguna berpendapatan sederhana dan rendah. Taklimat disampaikan oleh pengendali TBS itu iaitu Pengarah Urusan Maju TMAS Sdn. Bhd., Roslan Shariff dan Pengurus Kanan Operasinya, Faizal Redza Redzuan. Pengendali terminal itu mengakui kehadiran orang ramai pada tarikh yang disebutkan dalam Selak pada 9 November lalu itu sebagai luar jangkaan. TBS telah mengambil pelbagai langkah pada hari berkenaan termasuk menambah kaunter jualan tiket dan menggalakkan penggunaan mesin layan diri. Jelaslah hasil taklimat itu, TBS sebagai Pengendali Terminal Pengangkutan Awam Terbaik sentiasa mengambil langkah untuk memperbaiki mutu perkhidmatan di terminal berkenaan khususnya berkaitan pembelian tiket. Rungutan lambat disebabkan perlu menunjukkan kad pengenalan atau menyatakan nombor telefon akan lebih mudah jika pengguna memahami sistem yang ada. Ketika tinjauan di kaunter Jumaat lalu, saya dapat melihat bagaimana seorang warga emas terus ke kaunter dan menunjukkan kad pengenalannya untuk membeli tiket sambil menyebut destinasi dan bas. Katanya, cukup mudah. Secara keseluruhan, jika semua lancar, pembelian tiket lebih pantas. Hulur kad pengenalan, nyatakan destinasi dan pilih syarikat bas. Sebanyak 77 syarikat bas beroperasi di situ dan 67 daripadanya menggunakan sistem tiket bersepadu (CTS) secara elektronik. Ini bermakna pengguna boleh memilih mana-mana syarikat bas yang dikehendaki.

Seperkara yang menarik perhatian, tindak tanduk pengguna dan petugas di kaunter tiket ‘diperhati dan didengari’ melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan rakaman suara. Kedua-dua pihak jangan sebarangan berkata-kata atau bertindak kerana jika berlaku aduan, buktinya sudah ada. Petugas kaunter juga tidak boleh berat sebelah untuk mencadangkan bas tertentu sebaliknya terserah kepada penumpang. Bagi pengguna terutama generasi muda, eloklah belajar membeli tiket atas talian dan mesin layan diri. Lebih banyak mesin layan diri akan diwujudkan di beberapa lokasi termasuk di universiti.

Kenapa perlu pengenalan diri semasa membeli tiket? Paling penting sebagai rekod penumpang yang menaiki sesebuah bas. Jika sesuatu berlaku, ada pengesahan nama penumpang. Langkah itu juga bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh peraih tiket atau ulat tiket. Hanya penumpang yang mempunyai pas berlepas dibenarkan ke balai pelepasan. Sebagai langkah menghadapi cuti berangkai yang melibatkan banyak cuti umum pada tahun 2016, TBS sudah merancang untuk menambah kaunter jualan, mesin tiket layan diri dan mendidik pengguna membuat tempahan awal sama ada di kaunter, mesin layan diri atau pembelian atas talian. Tempat letak kereta juga mencukupi, murah dan selamat jika pengguna mahu meninggalkan kereta untuk tempoh sehari dua di situ.

Secara keseluruhannya, TBS lebih selesa dan mudah kerana dihubungkan dengan jaringan pe­ngangkutan awam lain serta ruang lebih luas bagi menampung bas. Sistem yang ada juga menyebabkan tidak timbul suasana sesak di balai berlepas dan ketibaan. Walaupun perkhidmatan bertaraf la­pangan terbang, sama seperti pe­sawat yang kadang-kadang mengalami kelewatan, perkhidmatan bas juga berhadapan masalah yang sama. Kadang-kadang bas lewat disebabkan kesesakan di jalan raya menyebabkan penumpang lewat sampai di destinasi atau penum­pang ternanti-nanti bas berkenaan untuk berlepas. Mungkin sudah tiba masanya, kerajaan memper­kenalkan semula laluan khas bas dan teksi bagi memastikan pengguna pengangkutan awam mendapat kemudahan yang lebih baik, cepat dan selesa. Langkah ini juga dapat membantu menggalakkan pengguna memilih pengangkutan awam.