Tayar celup biasanya digunakan oleh lori bersaiz besar. Mungkin harganya murah membuatkan pengusaha lori lebih cenderung menggunakan tayar celup berbanding tayar berjenama antarabangsa.

Harga seunit tayar lori celup yang bermutu dan mengikut piawaian Sirim Berhad dianggarkan RM1,150 seunit. Tayar jenis ini dihasilkan oleh syarikat-syarikat pengeluar tayar celup tulen termasuk lima syarikat terbaik di negara ini.

Malangnya, di Malaysia terdapat pula pengilang tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan tayar celup haram dan harga yang dijual adalah antara RM150 hingga RM400 seunit.

Memang murah harga celup haram berbanding tayar celup tulen. Murahnya berganda-ganda. Bayangkan daripada RM1,150 seunit jatuh kepada RM150 hingga RM400 seunit. Siapa tidak mahu? Sebab itu bagi menjimatkan kos pengusaha lori sanggup membeli tayar celup haram. Isu ini sengaja dibincangkan pada minggu kerana jumlah kemalangan disebabkan penggunaan tayar celup cukup membimbangkan.

Malah Menteri Kerja Raya, Baru Bian sebelum ini memaklumkan sebanyak 10,000 kes kemalangan dicatatkan setiap tahun berpunca daripada penggunaan tayar celup.

Penulis adalah pengguna tetap Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Seremban ke Kuala Lumpur dan pernah kereta yang dipandu melanggar serpihan tayar celup yang berada di lorong ketiga pada waktu malam.

Akibatnya, penulis terpaksa keluarkan duit untuk menukar bumper yang rosak. Orang kata boleh tuntut kepada PLUS. Penulis usahakan juga tetapi permohonan ditolak dengan pelbagai alasan. Tidak dinafikan keputusan yang dibuat oleh PLUS itu amat mengecewakan memandangkan kos penukaran bumper itu mencecah hampir RM2,000. Tak pasal-pasal keluarkan duit. Bukan salah penulis.

Pernah seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas akibat terlanggar serpihan tayar lori di lebuh raya PLUS berhampiran Kuala Kubu Bharu dalam satu kejadian pada 6 Mac 2017. Bayangkan jika lelaki ini adalah satu-satunya tempat ahli keluarganya bergantung. Semuanya disebabkan tayar celup.

Penulis ibaratkan serpihan tayar celup ini umpama 'jerangkap samar' yang boleh membunuh pengguna lebuh raya atau jalan raya pada bila-bila masa. Paling berisiko buat penunggang motosikal berbanding pemandu kereta. Untuk makluman serpihan tayar celup ini cukup keras lebih-lebih lagi di bahagian luarnya. Kerasnya boleh disamakan dengan plastik kon yang biasa digunakan sebagai penanda di jalan raya ketika kerja-kerja pembaikan dijalankan.

Dalam isu ini kerajaan perlu berbuat sesuatu. Jika perlu diharamkan penggunaan tayar celup, lakukan sahaja kerana nyawa lebih bernilai daripada segala-galanya. Jika tidak mahu menjejaskan industri tayar celup yang tulen, hapuskan segera kilang tayar celup haram yang dikatakan berjumlah 200 buah dan terletak di beberapa lokasi seperti Rawang, Klang, Batu Caves, Shah Alam dan Subang.

Jangan berkompromi lagi dengan mereka. Kerahkan semua agensi penguatkuasaan untuk membanteras industri tayar celup haram. Disebabkan tayar celup, banyak nyawa menjadi korban.