Melihat kepada apa yang terjadi kepada negara-negara ini, 10 tahun lalu dan sekarang, ini pemandangan amat menyedihkan. Gambar media sosial

Minggu ini, penuh wall Facebook, Twitter dan Instagram saya dengan gambar kawan-kawan. Mula-mula pelik juga. Dah kenapa ni? Ramai betul yang memuat naik wajah ketika muda dan sekarang. Rupa-rupanya, mereka menyahut cabaran #10 years challenge.

Melihat cabaran 10 tahun yang begitu berleluasa dalam media sosial , sekali lagi saya bertanya, mana cabarannya? Entahlah, tak nampak apa-apa pun yang mencabar. Kecuali tunjuk gambar 10 tahun lalu, bandingkan dengan sekarang. Itu saja.

Agaknya, cabaran ini lebih kepada menayang gambar pemilik akaun media sosial. Sebenarnya inilah yang dinanti-nantikan oleh ‘kaki swafoto.’ Yang perempuan, akan cari gambar 10 tahun lalu yang paling cantik atau tak berapa cantik, untuk dibandingkan dengan sekarang. Yang lelaki pun sama. Kesimpulannya, hendak tunjuk lawa dan kacak. Adakah ini mencabar?

Dan dalam keterujaan itu, ada juga wanita tidak bertudung pada 10 tahun lalu, kini memaparkan semula gambar itu dengan selamba. Memanglah ada perbezaan. Berlaku penghijrahan yang dituntut agama. Tetapi sepatutnya gambar free hair itu simpan untuk fail peribadi. Yang sudah berlalu, sudahlah, cerita lama yang tak perlu diungkit kembali.

Ini tidak, sudah 10 tahun menyimpan rapi gambar itu, disebabkan hanya mahu menyahut cabaran 10 tahun dan inginkan perhatian, dicari semula untuk tatapan ramai. Teruja tak pasal-pasal.

Banyak cabaran yang dibuat dalam media sosial. Sebelum ini, teringat saya pada Tik Tok dan Keke Challenge. Keke Challenge, cabaran menari semasa kenderaan bergerak. Ketika itu cukup ramai menyahut cabaran berkenaan. Memang betul, dalam hidup ini kita perlukan hiburan. Tak akan hendak buat muka ketat 24 jam. Tak salah berhibur, berjenaka untuk diri sendiri dan rakan-rakan, tetapi semua ini memerlukan juga penggunaan pertimbangan akal dan ada batasan.

Pun begitu, bukan semua gambar dalam cabaran 10 tahun ini hanya menayang wajah sendiri. Saya tersentuh melihat beberapa gambar. Bagaimana seekor beruang kutub yang duduk di atas kawasan ais luas di Lautan Artik pada 10 tahun dulu, kini duduk di atas bongkah ais yang kecil, gambar bangunan di Syria pada 10 tahun dulu, sekarang ranap akibat bedilan bom, kawasan hutan tebal 10 tahun dahulu, kini ditarah gondol untuk pembangunan. Ini semua amat menginsafkan.

Lihatlah gambar-gambar yang menyedarkan kita tentang kehidupan ini. Bagaimana masa berlalu 10 tahun itu begitu mencabar kita menjadi lebih baik atau tidak. Ini lebih berfaedah.

Ada yang dulu bekerja menyapu sampah di jalan raya, tetapi kini sudah berniaga kedai makan. Ada juga seorang penghibur katanya dulu, leka mengejar keduniaan, kini berubah menjadi seorang yang warak. Ini semua boleh menjadi inspirasi kepada semua orang, bahawa manusia boleh berubah, kalau mahu.

Saya ada juga melihat challenge yang dibuat oleh beberapa orang ustaz. Cabaran membaca beberapa surah dalam al-Quran dengan betul. Ramai juga anak muda menyahut cabaran itu, tetapi tidaklah seramai Keke Challenge. Yang ini tidak pula ditularkan dalam media sosial. Yang terkinja-kinja itulah jadi ikutan ramai.

Dan ada juga yang menarik perhatian saya, Momo Challenge yang diubah suai oleh Pencetus Ummah, Azman Syah Alias (PU Azman) dalam instagramnya dulu. Apa maksud m o m o? Jawabnya, mana orang? mana orang? Mana orang tak sembahyang di masjid ni? Masjid On, Masjid On, katanya.

Perasan tak, dalam hal-hal sebegini, selalunya yang lebih-lebih menyahut cabaran adalah golongan agak berusia yang nampak tidak sesuai dengan mainan sebegitu, sementara yang muda-muda pula, lebih steady dan tidak terpengaruh sangat dengan segala macam cabaran dalam media sosial. Kalau buat pun, mereka memang nampak comel!