Teknologi maklumat sepatutnya membantu manusia menjadi lebih efektif dan efisien dalam kerja harian dan juga pergaulan dalam masyarakat.

Ia juga boleh digunakan untuk menyebar kasih sayang dan saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Malangnya Brenton Tarrant seorang yang berfahaman supremasi kulit putih dengan bangganya memakai kamera GoPro dan telah menguar-uarkan dalam forum 8chan yang dia akan buat lintas langsung acara besar dalam Facebook.

Lintas langsung dalam akaun Brenton.Tarant.9 sepanjang 17 minit tidak pernah dilakukan begitu kejam dalam media sosial di era IR4.0.

Dengan kata-kata Let’s get this party started beliau memulakan perbuatan yang keji lagi hina. Senjata api penuh dengan nama-nama yang membenci kerajaan Uthmaniah. Diiringi lagu yang menyanjung Radovan Karadzic, Tarrant Teror melakukan kekejaman dan keganasan.

Dia merancang supaya dunia membenci Islam tetapi dengan kejadian itu timbul pula kasih sayang pada umat Islam. Dengan melakukan lintas langsung kononnya ia memberi impak yang besar kebencian pada umat Islam dalam media sosial dan menyeru orang lain melanggan saluran YouTube PewDiePie.

Sebaliknya kasih sayang dan perasaan ingin tahu lebih meningkat pada Islam dan umatnya.

PERMAINAN VIDEO

Dalam surah Al-Imran ayat 54 menyebut: “Dan orang-orang itupun merancangkan tipu daya dan Allah pula membalas tipu daya mereka dan ingatlah Allah sebijak-bijak yang membalas tipu daya.”

Selain didoktrinasikan oleh supremasi kulit putih dan kebencian kepada Islam, Brenton Tarrant juga dengan bangganya dalam 74 muka surat Manifesto Kebencian dalam bahagian soal jawab, mengaku dia belajar keganasan (violence and extremism) daripada permainan video.

Dia memberitahu belajar menjadi pembunuh dan floss on the corpes of my enemies daripada Fortnite permainan dalam talian yang popular.

Walaupun kemudiannya mengatakan tidak tetapi Prof. Mary A. Franks dari Miami University mencadangkan pemerhatian menyeluruh kepada platform sosial selepas serangan dan manifesto Tarrant. Prof. Mary A. Franks seterusnya menjelaskan yang Tarrant melakukan perbuatan radikal dalam talian.

Ibrah yang perlu kita ambil di Malaysia adalah kita perlu menilai dan mengkaji segala Permainan Ganas dalam Talian (Online Game) atau Sukan Elektronik (E-Sports).

Kita tidak boleh ambil apa yang dikatakan popular seperti Permainan Ganas dalam Talian atau (Violence E-Sports) terus diperkenalkan di Malaysia.

Usaha DNA23 (Digital Native Agenda 23) oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya diterjemahkan sebagai Agenda Negara yang bersifat dan berteraskan nilai murni rakyat Malaysia.

KETAGIHAN

Kesan negatif daripada permainan ganas dalam talian seperti Fortnite telah dirasai di negara Barat, malah ada seorang ibu di UK di siaran TV mengatakan beliau hilang anaknya kepada Fortnite.

Pakar kelakuan ketagihan, Lorraine Marer memberitahu Bloomberg yang This game is like heroin. Once you are hooked, it’s hard to get unhooked.

Dalam kata lain Fortnite seperti dadah jika sudah ketagih susah untuk melepaskannya.

Saranan Mufti Negeri Sembilan supaya Permainan Ganas dalam Talian seperti PUBG (Player Unknown Battle Ground) diharamkan perlu diambil perhatian.

Negeri Gujurat di India telah mengharamkan permainan dalam talian PUBG. Menurut akhbar The Verge, 10 orang sudah ditahan kerana bermain PUBG.

Walaupun Menteri Belia dan Sukan menolak kaitan PUBG dengan kejadian di Christchurch, perbincangan dan penyelidikan mengenai pengaruh permainan ganas dalam talian dan kesan kelakuan kepada pemainnya perlu dijalankan.

MAQASID SYARIAH

Dalam Maqasid Syariah terdapat lima prinsip iaitu pertama, memelihara agama; kedua, memelihara kehidupan; ketiga, memelihara akal dan intelektual; keempat, memelihara keturunan dan maruah dan kelima, memelihara harta dan ekonomi.

Imam As-Shatibi, Ulama Maqasid Syariah mengatakan Maqasid Syariah boleh dipakai pada pelbagai agama dan bangsa. Saya menambah Maqasid Syariah boleh dipakai pada setiap masa dan pelbagai teknologi.

Persoalannya adakah permainan dalam talian boleh mengikut prinsip Maqasid Syariah? Adakah permainan Fortnite boleh memelihara agama dan kehidupan? Adakah permainan PUBG dapat memelihara akal dan harta?

Tarrant mungkin merasakan telah menjadi Hero Supremasi Kulit Putih dengan menamatkan riwayat 50 orang Islam di New Zealand dengan senjata yang padat ditulis dengan nama idola supremasi kulit putih.

Sebenarnya beliau hanya menyebabkan kesemua para syuhada terus hidup selamanya. Yakinlah Islam semakin disayangi dengan ucapan aluan Hello Brother kepada seluruh umat Manusia.

Ternyata Islam adalah Rahmatan lil Alamin. Pihak berwajib perlu memastikan Agenda Digital Native 23 Negara punyai nilai kemanusiaan yang merealisasi Rahmatan lil Alamin.

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka adalah hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” (surah Ali -Imran ayat 169)


PROF. MOHAMAD FAUZAN NOORDIN ialah Ketua Kluster Penyelidikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Islam, Kulliyah ICT, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).