Pembabitan mereka secara beramai-ramai ini boleh dilihat sebagai operator, pengusaha dan peserta pelbagai program yang dilangsungkan di Serdang itu. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kaum wanita dan anak muda turut berminat dan mempunyai ilmu dalam penghasilan produk-produk yang berasaskan pertanian.

Golongan anak muda tersenarai sebagai kumpulan yang agak ramai terbabit dalam MAHA 2016. Sa­saran 30 peratus penglibatan golongan itu dalam pa­meran ini juga tercapai, apabila ia melepasi sasaran iaitu 40 peratus yang kebanyakan mereka terlibat dalam per­khemahan Agro Youth.

Pameran berlangsung selama 12 hari bermula 1 Disember lalu itu yang pada awalnya menyasarkan sejumlah tiga juta pengunjung ini juga, mencapai sasarannya apabila mencecah empat juta orang. Pe­ngunjung yang bertali arus, bukan sahaja datang dari negara ini tetapi turut menarik perhatian pelancong asing.

Catatan yang pa­ling baik juga dicapai oleh MAHA kali ini apabila nilai jual beli me­ningkat lebih 100 peratus berbanding MAHA 2014.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah peng­libatan golongan belia dalam bidang pertanian sangat penting untuk menjadi pelapis kepada generasi lama yang masih aktif dalam kegiatan pertanian yang membabitkan tanaman atau ternakan ini.

Penglibatan anak muda secara serius dalam bidang ini juga boleh mengubah persepsi orang ramai yang beranggapan bahawa sektor pertanian hanya dimonopoli oleh warga tua dan anak muda tidak berupaya untuk melaksanakan kerja-kerja bertani yang tidak selesa, tidak sama suasananya seperti bekerja di pejabat.

Oleh itu, MAHA 2016 ini boleh dijadikan sebagai satu galakan, rujukan dan penyuntik semangat untuk go­longan muda menceburi bidang pertanian. Ini kerana sektor bukan makan gaji ini sebenarnya mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusahanya jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh, menggunakan pendekatan yang baik dan strategi pemasaran yang ­betul.

Golongan muda yang berpendidikan dalam bidang pertanian sebenarnya ramai di negara ini. Ini kerana setiap tahun, negara ini mengeluarkan ramai siswazah dalam bidang pertanian. Oleh itu, di samping ilmu yang dimiliki, mereka boleh mempelajarinya menerusi golong­an yang sudah lama dalam bidang ini walaupun mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke menara ­gading untuk mempelajari kaedah-kaedah dalam pertanian. Jadikan pengalaman orang lama sebagai panduan di samping ilmu yang ditimba menerusi institusi pendidikan tinggi.

Justeru, ‘pertanian adalah perniagaan’ adalah satu slogan yang mesti diberi perhatian oleh generasi muda tidak kira lelaki mahupun wanita kerana pertanian turut menjadi sumber utama pendapatan negara.

MAHA bolehlah dijadikan sebagai pencetus semangat penggiat-penggiat pertanian agar dapat mengeluarkan produk yang lebih berkualiti dan berinovasi dari semasa ke semasa. Banyak produk baharu yang boleh dihasilkan daripada sektor pertanian, yang menarik perhatian orang ramai.

Perlu ditekankan, pembabitan golongan belia dalam bidang pertanian sangat penting kerana negara memerlukan hasil-hasil pertanian untuk kegunaan penduduk dan untuk eksport sebagai menjana ekonomi negara. Jika kita tidak mementingkan pertanian, bermakna banyak wang terpaksa dikeluarkan untuk keperluan mengimport makanan.

Tidak dapat dinafikan, MAHA 2016 membuatkan ramai anak muda bersemangat untuk menceburi sektor pertanian selepas menyaksikan hasil-hasil pertanian yang bermutu dari dalam dan luar negara. Ini adalah dorongan yang sangat penting kepada mereka.

Anak-anak muda yang tidak yakin dengan pertanian kerana menganggap sektor itu amat berisiko akan dapat mengubah persepsi mereka apabila menyaksikan MAHA. Dari sini mereka akan memahami bahawa pertanian adalah satu aktiviti yang menguntungkan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan sistematik.

Kini, tugas berat menanti golongan muda untuk mencorak warnakan bidang pertanian di negara ini. Di tangan merekalah terletak tugas untuk menentukan hala tuju bidang ini kelak. Diharap mereka dapat menjadikan bidang ini sebagai satu sektor yang amat berpotensi dan menjanjikan keuntungan kepada negara.