Tindakan Pemangku Sultan Pahang itu sejajar dengan kuasa perlembagaan Di Raja Pahang. Kuasa menganugerah dan menarik balik mana-mana ABK juga ada pada Raja-Raja Melayu yang lain.

Seseorang Raja, termasuk Yang Di-Pertuan Agong berhak menitahkan supaya mana-mana Anugerah Bintang Kebesaran yang dianugerahkan kepada mana-mana individu ditarik balik atas alasan-alasan tertentu termasuk salah-laku, sabitan jenayah atau perbuatan tidak sopan yang menghina Raja, negeri atau msyarakat amnya.

Pemberian ABK adalah fungsi mutlak pihak Di Raja masing-masing sepertimana halnya semenjak zaman kesultanan Melayu berkuasa di negeri atau wilayah masing-masing.

Hal ini lebih-lebih lagi ditekankan semenjak Akta Kesalahan Berhubung Dengan Anugerah 2017 (AKBDA 2017) berkuatkuasa pada Februari tahun lalu. AKBDA 2017 diperundangkan kerana terdapat banyak kes penyelewengan dan penipuan dilakukan oleh pelbagai pihak yang berlagak sebagai penganugerah dalam dan luar Malaysia tanpa status sahih.

Di bawah AKBDA 2017 mereka yang menggunakan gelaran kebesaran terbitan dari punca-punca yang tidak diiktiraf boleh di denda RM10,000 atau dipenjara tiga tahun. Walaupun akta ini tidak menyentuh kuasa mana-mana Sultan di peringkat negeri, ia amat ketara sebagai instrumen pencegah kepada sindiket-sindiket 'menjual atau mewujudkan ABK'.

ABK oleh Yang Di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja Melayu atau para Gabenor bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak adalah pada prinsipnya sebagai pengiktirafan terhadap jasa, khidmat, kecemerlangan, sumbangan kepakaran kepada negara dan negeri. ABK juga bagi tanda setia Di Raja.


Mematuhi

Kuasa sebagai "punca anugerah" atau fountain of honours sedia ada pada setiap orang Raja Melayu. Dalam kes yang melibatkan Yang Di-Pertuan Agong, Kerajaan Persekutuan berfungsi sebagai penentu kepada semua anugerah Persekutuan. Walau bagaimana pun Tuanku Yang Di-Petuan Agong tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai pemberi darjah kebesaran mutlak seperti mana halnya di negeri-negeri bersultan.

Di Negeri Sembilan pula kuasa tersebut juga wujud sekalipun baginda Yang Di-Pertuan Besar dinasihati oleh Undang Yang Empat serta Menteri Besar.

Penentuan Pemangku Sultan Pahang supaya AKB dipulangkan oleh pelakon berkenaan wajib dipatuhi demi semangat mematuhi ketinggian maruah, luak-lambang dan konvensyen Di Raja.

Sekiranya seseorang Raja Melayu berpendapat bahawa mana-mana penerima pingat atau ABK yang telah mencabul atau mencemar nama baik anugerahan itu, "titah pulangkan" yang dikeluarkan hendaklah dipatuhi.

Bila pemulangan dititahkan ABK itu tiada nilai lagi dan gelaran yang berkaitan tidak boleh digunakan lagi invidu berkenaan. Penerima ABK tidak ada pilihan sebab sesuatu ABK itu adalah "cucuran daulat" Di Raja seseorang Sultan.

Pihak-pihak penganugerah negeri dan persekutuan juga sayugia supaya tidak keterlaluan menyampaikan ABK kepada yang tidak berkelayakan atau yang mencurigai bilangannya.

Ini adalah kerana apabila bilangan penerima ABK begitu besar apatah lagi dari golongan muda komersial, ia akan menimbulkan syak wasangka.

Ini akan menimbul prasangka ada udang disebalik batu lantaran antara anugerah dan penerima tidak setimpal. Keadaan ini menurunkan imej penganugerahan.

Soal jasa cemerlang biasanya menjadi tumpuan kriteria kenapa seseorang itu dianugerahi dengan bintang kebesaran. Kriteria ‘jasa dan khidmat’ seseorang Datuk atau Datuk Seri amat perlu dihalusi.

Panel penilai dan penyiasat harus mengasaskan kepada sahsiah yang baik dan cemerlang. Sebaik sahaja penerima menjadi penjenayah atau sabit kelakuan curang atau hina-dina yang terang, proses menarik balik anugerah mesti dilakukan.

Walaupun Raja atau Gabenor yang menganugerahkan sesuatu gelaran Datuk atau Datuk Seri, sebenarnya imej negeri berkenaan juga terlibat secara langsung dengan anugerah berkenaan.

Dalam senarai-senarai penerima ABK yang lampau pernah terdapat ramai penerima Datuk atau Datuk Seri yang jasa dan kecemerlangan mereka dipersoalkan. Dalam kalangan itu ada juga mereka yang berusia bawah 30 tahun.

Imej Datuk bayar atau Datuk sogok mesti dihapuskan. Menyogok wang atau barangan bagi mendapatkan sesuatu ABK boleh disabitkan jenayah korupsi. Ia juga boleh ditakrif sebagai suatu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah serta seksyen 17 AKBDA 2017.

Memang tidak ada undang-undang negara yang boleh menghalang seseorang Raja daripada menganugerahkan ABK kepada mana-mana individu.

Namun demi menjaga kewibawaan institusi Raja masa depan, sikap "berpada-pada" harus diamalkan sebelum gelaran Datuk dan Datuk Seri dipandang sinis dan rendah oleh rakyat.

Amat dialu-alukan jika Sultan Melayu bersekutu menarik balik semua darjah kebesaran individu-individu yang telah sabit jenayah Kanun Keseksaan atau mana-mana undang-undang lain demi kewibawaan negeri dan negara.

Tan Sri Dr. Rais Yatim ialah Penasihat Hal Ehwal Sosiobudaya Kerajaan Malaysia.