Terdapat beberapa perkampungan Orang Asli di pulau ini seperti Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Kampung Orang Asli Sungai Judah, Kampung Orang Asli Sungai Kurau dan Kampung Orang Asli Sungai Jugra. Dua lagi perkampungan terletak di Tanjung Sepat dan Bukit Bangkong, Sungai Pelek.

Etnik Mah Meri sangat popular dalam kalangan pelancong kerana kehalusan seni budayanya seperti ukiran kayu anak kera yang bergayut pada emaknya yang telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO). Kebanyakan ukiran mereka bertemakan dewa, manusia, alam flora dan fauna.

Selain itu, tarian topeng yang dipanggil Mayin Jo’oh juga terkenal dalam kalangan pelancong. Tarian itu dipersembahkan untuk menjemput roh nenek moyang untuk datang menyertai apa sahaja temasya yang diadakan.

Tarian itu dipersembahkan oleh dua penari lelaki yang memakai topeng. Kedua-duanya dikenali sebagai Tok Pongkola dan Tok Nania. Mereka akan menari dengan melakukan pergerakan tertentu dan gerak isyarat tersendiri.

Setiap pergerakan mempunyai kisah dan cerita tersendiri. Tarian Jo’oh pula dipersembahkan penari perempuan yang memakai pakaian khas, skirt dan hiasan kepala yang diperbuat daripada anyaman daun nipah dan daun mengkuang.

Penari wanita itu akan menari mengikut pergerakan lawan arah jam sambil mengelilingi sebuah bukit yang dipanggil Bukit Gilia atau Busua. Tarian ini disempurnakan dengan lagu yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi yang disampaikan dalam bahasa Bersisi iaitu bahasa etnik tersebut.

Nyanyian mereka diiringi pemuzik yang bermain muzik daripada peralatan tuntog (buluh), jule (viola), tambo (gendang dua muka) dan a-tawa (gong tembaga). Ketika tarian itu berlangsung, seorang pawang atau dalam bahasa mereka disebut poyang atau tok batin akan membaca jampi serapah bagi memohon kesejahteraan hidup dan keselamatan penduduk.

Kebiasaannya tarian dan nyanyian itu dipersembahkan pada sambutan Hari Moyang Mah Meri atau dalam bahasa mereka disebut Hari Ayik Moyang yang disambut selama empat hari, sebulan selepas sambutan Tahun Baru Cina. Ini kerana masyarakat Mah Meri menggunakan kalendar Cina sebagai rujukan mereka.

Selain Kampung Sungai Bumbun, masyarakat Mah Meri di Kampung Judah juga akan meraikan dan memperuntukkan sehari dalam setahun bagi mengadakan pemujaan khas untuk moyang laut yang dipanggil puja pantai.

Semasa temasya ini, masyarakat setempat akan menjamu moyang mereka dengan makanan istimewa yang dibawa.

Makanan lain akan dihidang dan dijamu secara kenduri termasuk menjamu pelancong yang hadir.