Apa yang menggegarkan negara itu, pasti memberi kesan pada Timur Tengah, rantau Arab, umat Islam dan seluruh dunia. Pergolakan sedang berlaku dan tidak dapat dijangka apa kesudahannya.

Ia bermula pada Ahad lalu apabila 11 anggota keluarga diraja Saud, menteri dan bekas menteri ditangkap dalam operasi anti-rasuah.

Paling terkemuka ialah ahli perniagaan terkenal yang juga mengetuai Pengawal Nasional, bilionair Putera Al-Waleed bin Talal yang memiliki firma pelaburan, Kingdom Holding. Beliau adalah juga pelabur dalam syarikat Citigroup dan Twitter.

Tangkapan-tangkapan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Raja Salman menitahkan penubuhan jawatankuasa anti-rasuah yang dipengerusikan oleh Putera Mahkota, Mohamed bin Salman. Baginda yang dikenali sebagai MBS itu adalah putera Salman yang berusia 32 tahun.

Tokoh-tokoh lain yang ditangkap termasuk bekas Menteri Kewangan Ibrahim al-Assaf yang juga ahli lembaga syarikat gergasi minyak Saudi, Aramco; Menteri Ekonomi Adel Fakieh yang memainkan peranan besar dalam merancang pembaharuan; bekas Gabenor Riyadh, Putera Turki bin Abdullah dan Khalid al-Tuwaijiri yang mengetuai Istana Diraja ketika di bawah Almarhum Raja Abdullah.

Ahli perniagaan lain ialah Bakr bin Laden yang merupakan pengerusi kumpulan pembinaan Binladen dan Alwaleed al-Ibrahim yang memiliki rangkaian televisyen MRC.

Mereka yang ditangkap itu ditahan di Hotel Ritz-Carlton, Riyadh untuk disiasat. Hotel itu adalah tempat yang sering digunakan untuk diadakan acara-acara menarik pelaburan dan projek-projek baharu di Arab Saudi.

Ketika rakyat Arab Saudi dan pemerhati antarabangsa masih terpinga-pinga dengan operasi tangkapan itu, keluar laporan bahawa satu serangan roket dari Yemen yang dikuasai oleh puak Houthi ke atas sebuah lapangan terbang berhampiran Riyadh telah dipatahkan.

Ekoran itu Arab Saudi menutup sempadannya dengan Yemen. Negara itu sedang terlibat dalam perang saudara di Yemen dengan menyokong usaha menentang puak Houthi yang dapat bantuan Iran.

Laporan ini pula diikuti dengan berita kemalangan sebuah helikopter jatuh terhempas berhampiran sempadan di Yemen. Dalam kemalangan itu, Timbalan Gabenor wilayah Asir, Putera Mansour bin Moqren terkorban. Beliau adalah putera kepada seorang bekas putera mahkota.

Kemudian, sebelum minggu ini berakhir, terdapat maklumat menyatakan bahawa bank pusat mengarahkan pembekuan akaun berpuluh-puluh mereka yang ditangkap dan ditahan.

Reaksi rasmi Amerika Syarikat terhadap tangkapan itu yang dikeluarkan pada Rabu lalu dari Jabatan Negara ialah menyeru supaya Riyadh bertindak dengan adil dan telus dalam mengendalikan kes rasuah itu. Bagaimanapun Washington menggalakkan usaha pembanterasan rasuah.

Pada Isnin lalu, Presiden Donald Trump yang juga menyokong tindakan itu menyatakan ada antara mereka yang ditangkap itu telah “memerah milik negara mereka bertahun-tahun lamanya.”

Namun, banyak pemerhati melihat perkembangan ini bukan semata-mata pembanterasan rasuah, walaupun usaha itu mungkin menjadi sebahagian gerakan pembaharuan Raja Salman dan Putera Mahkotanya.

Para pemerhati melihatnya lebih kepada usaha Putera Mohamed bin Salman untuk mengukuhkan kuasanya bagi persediaan untuk menaiki takhta.

Ayahandanya kini berusia 81 tahun dengan sistem pemerintahan beraja Saudi tidak menetapkan bahawa putera raja yang memerintah adalah secara automatik akan menaiki takhta.

Proses itu ditentu keluarga besar Saud yang mempunyai ramai putera berkelayakan untuk menaiki takhta.

Tetapi pada waktu yang sama Raja Salman dan Putera Mahkota telah memulakan proses pembaharuan terhadap Arab Saudi yang difikir adalah perlu dengan perubahan kedudukan ekonomi yang kian tercabar dengan kemerosotan pendapatan daripada minyak.


Tanggapan

Sebelum berlakunya tangkapan itu, pada September lalu, telah ditahan penentang-penentang politik kerajaan Arab Saudi yang antaranya ialah 30 agamawan, intelektual dan aktivis.

Kalau dilihat perkembangan ini, terdapat suatu tanggapan bahawa Raja Salman, terutamanya Putera Mahkota sedang meletakkan landasan baharu terhadap negaranya. Dalam keadaan ini pucuk pimpinan Riyadh mahu memastikan tidak ada gangguan daripada mana-mana pihak terhadap rancangannya.

Landasan baharu itu berupa usaha mahu menjadikan Arab Saudi sebagai negara normal, moderat dan moden yang mampu bukan saja memajukan diri dari segi ekonomi dalam perubahan keadaan dunia tetapi juga dapat menangkis sebarang kemaraan negara yang dianggap pencabarnya iaitu Iran.

Untuk itu sudah tentu fokus adalah diperlukan dengan kuasa dipegang kuat oleh pucuk pimpinan dan tidak terdedah kepada sebarang upaya yang melemahkan terutamanya dalam kalangan elit berpengaruh, iaitu dari dalam keluarga diraja sendiri.

Maknanya bukan saja keseluruhan keluarga diraja wajar bersatu menyokong pucuk pimpinan iaitu raja dan putera mahkota tetapi struktur politik negara perlu dirombak dan ciri penting pembaharuan ini ialah bebas rasuah di peringkat atas.

Sebelum operasi tangkapan itu, berita yang mengejutkan ialah peletakan jawatan Perdana Menteri Lebanon, Saad Hariri yang diumumkan di Riyadh. Saad adalah sekutu Arab Saudi dalam politik Lebanon. Kestabilan politik Lebanon bergantung kepada kerajaan Beirut disertai golongan Sunni, Syiah dan Kristian Maronit.

Orang Maronit memegang jawatan presiden sementara Syiah diperuntukkan jawatan Speaker. Syiah diwakili kumpulan Hezbollah yang bersekutu dengan Iran.Maronit juga disokong oleh Iran.

Jika golongan Sunni tarik diri, Hezbollah akan mendominasi dan ia menimbulkan ketidakstabilan pada Lebanon. Maka negara ini akan menjadi medan baharu persaingan Arab Saudi dan Iran.

Sebelum ini, medan tempur antara Arab Saudi dan Iran adalah Syria. Kerajaan Tehran dan Hezbollah membantu Damsyik yang mahu ditumbangkan oleh pemberontak-pemberontak yang antaranya disokong oleh Riyadh. Di Syria, dikira Iran telah menang.

Seperti mana juga di Iraq. Medan perang proksi antara Arab Saudi dan Iran yang sedang berlangsung ialah di Yemen. Kerajaan Sanaa disokong oleh Arab Saudi sementara golongan Houthi bermazhab Syiah didokong Tehran.

Persaingan antara Riyadh dan Iran akan terus berpanjangan di Timur Tengah dan kesannya akan turut dirasakan oleh negara-negara Arab, rantau Timur Tengah, umat Islam dan seluruh dunia juga.

Tetapi kestabilan dapat dicapai dengan salah satu daripada dua keadaan ini berlaku. Ia adalah sama ada satu pihak berjaya menjadi dominan dengan pihak yang satu lagi tidak berupaya mencabarnya.

Ataupun kedua-dua pihak mencapai pada satu kedudukan setaraf, atau sama-sama kuat yang menyebabkan mereka menerima keadaan sedia ada. Ini bererti kedua-duanya menghentikan persaingan.