Ini adalah salah senario yang lazim berlaku dalam masyarakat pada hari ini. Kadangkala tahap kepercayaan masyarakat terhadap sesuatu produk suplemen ­melampaui kadar sepatutnya, lalu membawa kepada keengganan mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya.

Penyakit tidak berjangkit adalah antara 10 sebab utama kepada beban penyakit di Malaysia. Kajian terkini NHMS 2015 (National Health and Morbidity Survey) menunjukkan seramai 3.5 juta penduduk Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas menghidapi diabetes dan 6.1 juta orang mengalami hipertensi. Statistik juga menunjukkan separuh daripadanya adalah pesakit yang tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai penyakit-penyakit tidak berjangkit tersebut.

Kemungkinan angka tersebut juga termasuk golo­ngan yang tidak peduli dan peka terhadap penyakit yang dihidapi sehingga mengabaikan pemeriksaan kesihatan. Malah statistik kajian juga menunjukkan empat daripada lima orang masyarakat Malaysia tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai aras kolesterol yang tinggi.

Hakikat peningkatan produk makanan tambahan berasaskan sunnah di pasaran pada hari ini menunjukkan terdapat permintaan yang tinggi. Walau bagaimanapun, kadar penyakit tidak berjangkit dalam masyarakat Malaysia mutakhir ini terus mengalami peningkatan.

Melihat kepada perkembangan situasi ini, umat Islam perlu mempunyai kesedaran dan prihatin untuk mencari maklumat yang betul serta membuat pemilihan mengikut kesesuaian kesihatan tubuh badan masing-ma­sing. Seharusnya masyarakat tidak hanya meletakkan sandaran ‘sunnah’ tetapi mengabaikan penjagaan kesihatan yang digalakkan dalam Islam khususnya dalam aspek pencegahan.

Umum mengetahui, campuran pelbagai jenis bahan makanan, tidak memberi kesan yang sama seperti bahan asal. Pencampuran tersebut mempunyai komposisi kimia dan nilai zat berbeza serta tahap keberkesanan yang berlainan. Reaksi tubuh badan setiap individu terhadap sesuatu produk juga berbeza sama ada positif, negatif atau tiada kesan langsung. Kekhuatiran timbul sekiranya mudarat jauh lebih banyak daripada manfaat yang diperlukan. Dalam konteks ini, dos pengambilan dan kesesuaian tubuh badan terhadap sesuatu produk juga perlu diambil kira.

Justeru, amat penting untuk dikaji, dibuktikan dan dijelaskan secara terperinci agar produk-produk yang diusahakan tidak menjadi sekadar lantunan promosi semata-mata. Pelaksanaan langkah pembuktian saintifik dan kajian klinikal bukan untuk menyekat penerokaan inovasi idea umat Islam pada hari ini tetapi untuk menggalak­kan budaya penyelidikan dan pembangunan terhadap apa jua produk yang hendak diusahakan. Malah ia mampu meningkatkan kepercayaan dan kredibiliti produk-produk Muslim di mata pengguna. Tanggungjawab ini perlu menjadi keutamaan pengeluar khususnya. Secara tidak langsung, aspek pendidikan kepada pengguna dapat diterapkan menerusi budaya penyelidikan tersebut.

Peranan yang ditunaikan dengan penuh rasa tanggungjawab akan memberi manfaat kepada umat Islam itu sendiri. Masyarakat pengguna mahupun pihak pengeluar perlu berlapang dada dalam hal ini. Pelabelan dan dakwaan pelbagai manfaat penyembuhan dalam sesuatu produk perlu mempunyai pembuktian kukuh untuk disandarkan sebagai satu bentuk ketelusan pe­ngusaha kepada masyarakat.

Namun yang penting, masyarakat harus peka agar tidak hanya menjadikan label “sunnah” sebagai satu asas yang melegakan dalam pemilihan produk-produk sedemikian. Di samping itu, perlu mengambil kira aspek keilmuan dan sandaran berdasarkan kitab dan penemuan sains. Amalan sunnah tidak hanya berkisar tentang jenis makanan sahaja tetapi juga dalam konteks pemeliharaan kesihatan. Walaupun telah meletakkan kepercayaan kepada sesuatu produk, pemeriksaan kesihatan secara berkala tidak wajar diketepikan. Saranan dan nasihat daripada profesional kesihatan tidak boleh dikesampingkan.

Sebagai satu langkah ke hadapan untuk mengelakkan kekeliruan dan konotasi negatif terhadap makanan sunnah, satu garis panduan dalam menetapkan penggunaan istilah tersebut perlu dibangunkan. Ia boleh dimantapkan sebagai satu bidang penyelidikan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat dan mencegah salah faham yang berterusan. Dengan langkah ini juga, dapat memupuk sifat bertanggungjawab sesama umat Islam dalam memainkan peranan memartabatkan Islam itu sendiri.

Bahkan, penggunaan istilah makanan sunnah juga harus mengambil kira dan merungkai khasiat serta keistimewaan khazanah alam tempatan dalam meningkatkan kualiti kesihatan ummah. Masih banyak ruang penyelidikan tentang khasiat dan keistimewaan tumbuhan tempatan yang belum diterokai dan wajar dirintis oleh umat Islam khususnya dalam gabungan dengan makanan yang disebut dalam al-Quran mahupun hadis Nabi SAW. Ini adalah satu cabaran dan tanggungjawab yang harus digalas oleh pengusaha muslim pada hari ini.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) amat peka dalam melihat keseimbangan pengamalan makanan sunnah. Dari satu sudut, kesungguhan masyarakat dalam memartabatkan amalan sunnah khususnya makanan sunnah wajar dipuji. Namun, kita perlu sedar ia adalah salah satu bidang ilmu yang harus diterokai dan didalami sama ada di pihak pengusaha mahupun pengguna dengan harapan yang tinggi agar industri tersebut maju tanpa sebarang kemudaratan.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).