Malam yang dinamakan Lailatur Qadar tersebut me­ngandungi seribu rahmat dan pahala untuk umat Islam yang mementingkan kesejahteraan ummah dan keluarga.

Selepas pilihan raya baru-baru ini lebih afdal untuk kita semua mengimarahkan masjid dan surau atas semangat ukhwah sesama Islam.

Letakkan fahaman politik di luar pagar masjid apabila menunaikan ibadah. Pada saat ini kita lupakan soal dunia yang tidak akan habis dingobroli selagi oksigen boleh diproses oleh sistem pernafasan kita.

Cita-cita kita biar satu iaitu untuk memburu Lailatur Qadar dan Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal.

Sebaiknya tekadkan azam untuk memburu sebanyak mungkin pahala. Mungkin kita tidak mampu mencapai satu bilion pahala.

Jika dapat puluhan ribu pahala sudah dikira terbaik di saat setiap manusia mempunyai agenda masing-masing untuk memenuhi tuntutan peribadi.

Ibadah khusus seperti solat fardu lima waktu sebaik­nya dikerjakan secara berjemaah sepanjang Ramadan ini. Peliharalah saf dengan tersusun agar solat jemaah memberi hikmah bersatu padu dalam kalangan ahli kariah.

Kita seharusnya menjadi umat Islam yang profesional di dalam memasyarakatkan institusi surau dan masjid di dalam bulan puasa ini.

Langkah terbaik ahli kariah yang mempunyai fahaman politik untuk melakukan gencatan bicara politik sama ada dalam WhatsApp grup mahupun di dalam kawasan institusi ibadat itu sendiri.

Keadaan ini sewajarnya dilakukan demi memelihara kesucian bulan Ramadan yang mana umat Islam bukan sahaja diuji dengan lapar dan dahaga tetapi ‘kena­ngan’ pahit yang berlaku akibat pelbagai perkara.

Bulan Ramadan bagi seorang alim disambut de­ngan gembira yang tidak terhingga, namun apabila bulan Syawal tiba golo­ngan ini sudah mula terasa rindu untuk menemuinya semula.

Sewajarnya kita yang mempunyai Indeks Pres­tasi Utama (KPI) ibadah ibarat suam-suam kuku mempertingkatkan kualiti dan kuantiti amalan kita.

Nasihat kepada pemimpin-pemimpin yang baru-baru ini menang pada pilihan raya umum, inilah masa untuk anda mendampingi rakyat dan bertanya mereka segala permasalahan domestik.

Sebelum ini semasa kempen, surau dan masjid menjadi antara ‘transit’ kempen, namun selepas pilihan raya surau dan masjid hanya menjadi kenangan semata-mata.

Harus diingat, bulan Ramadan yang mulia bukan bulan khusus untuk ahli pertubuhan mahupun pihak tertentu tetapi untuk semua umat Islam.

Rakyat inginkan pemimpin yang buta warna kepada bendera parti dan meletakkan kepentingan ummah pada carta pertama.

Hadirlah ke surau dan masjid atas semangat kesatuan demi memastikan agenda ummah tidak digoyahkan oleh anasir-anasir dan isme-isme yang memecah-belah umat.

Sesungguhnya masjid dan surau bukan sekadar tempat ibadah. Ia adalah pusat sehenti umat Islam yang ingin beribadah kepada Yang Maha Esa dan Yang Mengasihi.

Siapalah kita insan kerdil di sisi-Nya. Sempena bulan puasa dan bulan rahmat ini kepada jiwa-jiwa yang bersedih akibat ditimpa musibah dan dugaan, bersabarlah dan berdoalah.

Sesungguhnya inilah bulan yang sesuai untuk melatih jiwa terus tabah menghadapi realiti hidup. Puasa memperkasa rohani dan jasmani. Justeru peliharalah Ramadan sebagai bulan penyatuan, bulan keampunan daripada-Nya.

Beribadatlah seolah-olah ini puasa terakhir. Yang pa­ling penting lupakan sengketa yang tidak membawa kebaikan kepada kita. Bulan Ramadan bulan yang mulia, pintu syurga dibuka pintu neraka terkunci rapat. Ambil iktibar dan maghfirah-Nya.