Pelbagai kempen sudah dilakukan, pelbagai saranan sudah dipasakkan kepada institusi keluarga, individu malah orang ramai untuk membendung kejadian dera tetapi kes-kes dera masih berlaku di mana-mana. Justeru, kita pun merasakan bahawa peruntukan undang-undang yang ada untuk menghukum pesalah jenayah ini masih tidak menggerunkan atau tidak dipedulikan.

Di Malaysia, sesiapa yang mendera kanak-kanak sama ada secara fizikal dan mental boleh disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. Akta ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dalam Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016, hukuman denda ini ditingkatkan kepada RM50,000 dan hukuman 20 tahun penjara bagi kesalahan mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak.

Ini memperlihatkan bahawa wujud ketegasan menangani kes dera di negara ini ­kerana kes-kes dera bukan hanya membabitkan kecederaan ringan atau teruk malah turut mengorbankan nyawa.

Hukuman yang dikenakan itu sudah cukup berat dan mustahil perkara ini tidak diketahui oleh mana-mana individu yang waras pemikirannya dan mampu membuat pertimbangan atas sesuatu yang dilakukan atau boleh menilai mana yang betul dan mana yang salah.

Paparan-paparan di media massa pun sudah cukup luas dan masyarakat sudah memahami apa itu dera, kesannya, malah tindakan undang-undang ke atas pendera. Jadi, kefahaman setiap individu yang waras tentang dera di negara ini sudah tidak boleh dipersoalkan. Maka, apabila seseorang itu disabitkan kesalahan mendera, hukuman sudah sedia menanti.

Apabila semua memahami tindakan yang dikenakan atas kesalahan mendera tetapi masih lagi berlaku kes-kes penderaan, kita dapat melihat bahawa kesedaran individu itu amat penting untuk mengelak seseorang itu daripada mendera. Tidak kira apa situasi sekalipun, seseorang itu mesti bersabar terutamanya pada kanak-kanak.

Jika geram atau marah sekalipun, fikirlah rasional atau tidak tindakan mendera tersebut, malah bayangkan hukuman yang menanti jika tersalah langkah. Atau tiada jalan lainkah selain mendera? Apakah tidak ada jalan penyelesaian atau individu yang boleh dibawa berunding dalam menangani masalah yang dihadapi dengan anak-anak kandung atau anak tiri yang dijaga?

Tindakan mengikut hati dan kemarahan ini akhirnya menyebabkan orang yang lemah seperti kanak-kanak yang tidak mampu melawan, menjadi mangsa dan akhir­nya tidak bernyawa kerana tidak tertanggung lagi kesakitan dan kecederaan teruk yang dialaminya.

Agama dan moral tetap menjadi benteng utama yang menjinakkan seseorang dan boleh mengelak daripada terlibat dalam kancah tidak sihat. Hadis riwayat Muslim antara lain menyebut bahawa dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika daging itu baik, baiklah manusia dan jika daging itu jahat, jahatlah manusia.

Dalam hal ini, pujangga Hamka ada menyebut bahawa yang menjinakkan hati itu bukannya sains, tetapi agama.

Dalam pada itu, kita turut berharap hubungan kejiranan dapat membantu sedikit sebanyak dalam menangani kes-kes penderaan. Jika daripada 10 kes dera, lima kes dapat diselamatkan oleh jiran, itu sudah cukup bermakna kerana dalam banyak kes membabitkan kese­lamatan di negara ini, jiran turut menjadi penyumbang terbesar memberi bantuan.

Tidak dapat dinafikan bahawa ikatan kejiranan yang longgar selalunya mendatangkan masalah kepada institusi masyarakat di sesuatu kawasan. Kita ambil contoh, jika wujud sikap mementingkan diri dan tidak ambil kisah masyarakat sekeliling terutamanya jiran sebelah rumah, pelbagai kejadian buruk boleh berlaku.

Jika rumah jiran sentiasa bising dengan tangisan dan pekikan kanak-kanak atau suara orang perempuan menjerit dalam kesakitan tidak mustahil ada sesuatu yang tidak kena dan kita seharusnya tidak terus ‘bersangka baik’ dalam hal-hal sebegini.

Bayangkan jika ada sesuatu yang tidak baik berlaku, tidak rasa bersalahkah kita apabila tiba-tiba berlakunya kes dera, pecah rumah dan lebih teruk lagi membabitkan pembunuhan sedangkan kita mendengarnya.

Tegasnya, selain kesedaran individu, institusi ma­sya­rakat turut memainkan peranan menangani segala permasalahan yang berlaku di sekeliling mereka termasuk jenayah dera.