Ramai dalam kalangan kita masih beranggapan tanggungjawab ini dipikul oleh ahli politik sahaja kerana kita telah me­ngundi dan memilih mereka untuk menjadi wakil kita. Persoalannya, menuju era baharu sistem demokrasi dan politik negara apakah pemikiran seperti ini masih wajar dan relevan?

Dan apakah orang politik mampu melakukan perubahan yang rakyat dan negara mahukan tanpa sokongan dan penglibatan setiap anggota masyarakat? Jawapan tuntas kepada persoalan ini adalah tidak mungkin perkara tersebut akan berlaku. Ahli politik ter­utamanya pihak pemerintah dan rakyat adalah umpama aur de­ngan tebing yang mana perlu saling bantu-membantu demi kejayaan negara dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Dalam hal ini ahli politik perlu sedaya upaya memenuhi keperluan dan tuntutan rakyat. Hakikatnya kehidupan rakyat masih dibelenggu dengan pelbagai masalah baik dari segi ekonomi mahupun sosial. Misalnya, kehidupan kelompok berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40) masih umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Daya beli golongan ini masih rendah. Ini ditambah pula de­ngan gaji yang sedikit dan tidak setimpal dengan kenaikan kos sara hidup serta peluang pekerjaan yang secara relatifnya masih terhad. Maka besarlah harapan golongan ini agar wakil rakyat yang mereka pilih mampu me­rungkai permasalahan ini kerana ia membabitkan survival kehidupan seharian mereka.

Namun tatkala kita bagi ruang untuk wakil rakyat memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik untuk kesemua masalah, apa pula peranan dan tanggungjawab kita? Apakah kita sekadar berpeluk tubuh dan menunggu bantuan kerajaan semata-mata atau bersedia untuk turut berikhtiar mencari jalan penyelesaian?

Rezeki tidak akan datang bergolek begitu saja, sebaliknya kita perlu berusaha mendapatkan apa yang dimahukan. Paling mudah pada ketika ekonomi tidak begitu stabil ini janganlah terlalu memilih pekerjaan, sedarlah betapa pekerja asing mampu hidup mewah di negara ini berbanding kita sendiri kerana mereka tidak memilih dan berkira-kira tentang gaji yang diperoleh. Juga di saat getir ini kita juga wajar mengawal perbelanjaan agar tidak boros, ukurlah baju di badan sendiri.

Pada masa sama kita terus berharap agar pihak kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merancakkan ekonomi rakyat. Di samping memberi bantuan dan subsidi tersasar, program-program yang boleh memberi kesan positif jangka panjang wajar diberi tumpuan. Maksud­nya, di sini kita tidak mahu melahirkan masyarakat yang bergantung harap kepada tongkat dan bantuan subsidi semata-mata.

Mentaliti hidup bertongkat dan bersubsidi ini perlu dibuang kerana ia tidak akan kekal selama-lamanya. Ringkasnya, kita mahukan pancing dan bukannya ikan yang akan habis juga nanti. Masyarakat perlu memahami konsep ini dan wajar bersedia untuk berkorban pada jangka masa pendek demi kejayaan berterusan pada jangka masa panjang kelak. Apakah kita sanggup berkorban?

Baru-baru ini hasil lawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Jepun pihak kerajaan dilihat bakal menjenamakan semula Dasar Pandang Ke Timur yang telah diperkenalkan pada tahun 80-an. Banyak yang kita boleh pelajari dari orang Jepun ter­utamanya dari aspek membangunkan negara dan rakyat selepas pe­perangan dan keruntuhan sehingga berdiri begitu gagah pada hari ini.

Pokok pangkalnya kita perlu mengambil aura positif orang Jepun seperti tidak mudah putus asa, bersemangat kental, cukup tinggi semangat patriotisme dan sayangkan negara, disiplin dan etika kerja yang terpuji serta memiliki integriti yang tinggi.

Jadi kalau kita juga mahu berjaya seperti mereka sudah tiba masanya setiap seorang daripada kita baik rakyat mahupun pemimpin me­ngubah sikap dan mentaliti negatif yang ada dengan segera dan digantikan dengan nilai-nilai positif seperti masyarakat Jepun. Perkara ini cukup penting kerana perca­yalah kita tidak mampu mengorak langkah menuju kejayaan andai masyarakat terus bergelumang dengan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa serta tahap disiplin, etika dan integriti yang sangat rendah.

Pembangunan negara dan masyarakat tidak boleh diukur berdasarkan pembangunan fizikal mahupun pengukuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya nilai jati diri juga wajar dijadikan pelengkap dalam membina sebuah bangsa Malaysia yang berjaya dalam segenap aspek.

Dalam konteks ini semangat untuk mempertahankan perpaduan nasional dan kemerdekaan negara perlu diletakkan pada kedudukan yang tinggi. Misalnya, berapa ramai yang berani ke hadapan dan sanggup mengangkat senjata untuk mempertahankan kedaulatan negara jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini?

Kalau masih ramai yang beranggapan itu adalah tugas tentera dan polis maka sedarlah masih banyak yang kita perlu belajar dari orang Jepun.

Begitu juga halnya dengan perpaduan dalam kalangan rakyat, kalau betul sayangkan negara kenapa masih ramai yang sanggup mencetuskan pelbagai provokasi sehingga mengganggu gugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Sekali lagi sikap mementingkan diri segelintir rakyat kita mencerminkan betapa kita masih bersikap individualistik dan tidak mampu bersatu hati membangunkan masyarakat.

Jadi jika kita mahu memba­ngunkan rakyat dan negara, ke­tepikan segala perbezaan, buang jauh-jauh sikap negatif dan perlu memikul tanggungjawab secara bersama sebagai sebuah negara bangsa. Akhirnya, jangan tanya apa sumbangan negara kepada kita sebaliknya tanyalah apa sumbangan kita kepada negara tercinta ini.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).