Penularan wabak penyakit itu amat menggusarkan masyarakat setempat. Disebabkan penyebarannya begitu cepat dan mudah, maka langkah pencegahan dan pengawalan perlulah dilaksanakan secara holistik.

Persatuan Sedunia untuk Kesihatan Haiwan (World Association for Animal Health) pada 2012 mengiktiraf Malaysia sebagai bebas rabies apabila kes terakhir pada 1999 hanya melibatkan anjing berlaku sehinggalah kejadian wabak rabies membabitkan anjing pada 2015. Mutakhir ini, beberapa tempat di Sarawak dan Semenanjung pula diisytiharkan kawasan wabak rabies dan telah pun membabitkan kematian manusia.

Demam denggi pula bukanlah isu baharu di Malaysia. Malah, kesnya semakin meningkat. Menurut statistik Kementerian Kesihatan sehingga 20 Ogos 2017, sebanyak 63,246 kes dicatat. Pa­ling menggerunkan, terdapat juga kes membabitkan kematian iaitu sebanyak 141 kes dicatat sehingga 12 Ogos lalu. Mungkin disebabkan demam denggi bukanlah suatu penyakit baharu malah sering didengari berlaku, maka masyarakat mengambil mu­dah dengan segala jenis bentuk pencegahan yang disarankan.

Penyakit leptospirosis pula dikaitkan dengan persekitaran kotor, penempatan yang sesak dan padat, juga kekerapan Malaysia dilanda banjir kilat disebabkan sistem perparitan yang kurang memuaskan. Malah, penularan wabak tersebut lebih serius apabila berlakunya bencana banjir. Begitu juga dengan penyakit-penyakit wabak lain yang keba­nyakannya berpunca daripada haiwan yang menjadi vektor dan akhirnya boleh menjangkiti manusia dengan menunjukkan simptom-simptom penyakit, seterusnya boleh meragut nyawa.

Bagaimanapun, serangan wabak ini masih boleh dikawal dengan langkah pencegahan dan pengawalan berkesan untuk mem­­bendung jangkitan penyakit ter­sebut. Sekiranya langkah itu dilaksanakan secara menyeluruh dan melibatkan segenap lapisan masyarakat, maka pengurangan kes, seterusnya pembasmian pe­nyakit akan dapat dicapai.

Untuk tujuan tersebut, ma­syarakat perlu dididik. Perlu ada kesedaran bersama walau apapun jenis wabak yang melanda. Kesedaran masyarakat terhadap wabak yang boleh merebak de­ngan cepat tersebut menjadi tun­jang utama dalam langkah pe­ncegahan dan pengawalan. Bukan sekadar melihatnya sebagai wabak penyakit tetapi harus dipandang sebagai tanggungjawab untuk menjaga persekitaran, ahli keluarga dan masyarakat supaya bebas daripada sebarang jangkitan berbahaya.

Setiap individu perlu tahu dan peka terhadap perkembangan ser­ta kewujudan vaksin terbaharu daripada pihak berkuasa kesihatan terutamanya apabila melibatkan penyakit cegahan vaksin. Kerajaan juga mengadakan banyak kempen pencegahan wabak dan turun ke padang dalam me­laksanakan program pencegahan dan pengawalan. Ini adalah peluang untuk masyarakat ambil tahu dan mengikuti nasihat yang disarankan oleh pihak berkuasa.

Jika kita kembali kepada ajaran Islam, kebersihan amat dititikberatkan. Ia adalah salah satu langkah pencegahan dan perlu bermula daripada diri sendiri. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Bersihkanlah halaman rumah kalian, jangan samakan diri kalian dengan bangsa Yahudi.”

Menjaga kebersihan persekitaran menjadi perkara penting selain kesihatan jasmani dan rohani. Untuk hidup sihat, tempat kediaman dan persekitaran juga perlu sihat dan bersih. Rumah perlu bebas daripada tempat takungan air, pembuangan sampah sarap yang tidak terurus, bau busuk dan udara yang kotor. Ini kerana faktor-faktor itu akan menggalakkan pembiakan lebih banyak haiwan yang dijangkiti virus dan bakteria, seterusnya akan menjangkiti manusia.

Dalam Islam, pencegahan men­­jadi asas utama penjagaan ke­­sihatan yang baik di sam­ping mengamalkan gaya hidup secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan. Sementara itu, bidang kesihatan moden yang berasaskan kaedah penyelidikan dan pembuktian saintifik turut memberi penekanan terhadap pencegahan dan rawatan dalam menghadapi sesuatu wabak pe­nyakit. Dan ia menjadi asas dalam disiplin kesihatan awam.

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu mende­ngar penyakit taun berjangkit di sesuatu negeri, maka janganlah kamu memasuki negeri itu. Demikian juga jika berjangkit di nege­ri tempat kamu tinggal, maka janganlah kamu keluar dari nege­rimu kerana melarikan diri dari penyakit itu.”

Dalam konteks perubatan pe­ncegahan dan rawatan pada hari ini, kuarantin dikenakan ke atas pesakit yang terkena ja­ngkitan yang mudah berjangkit. Kekhuatiran ini disebabkan berkemungkinan kita sebagai pembawa yang terlibat menjangkitkannya pula kepada orang lain. Dan dilarang untuk seseorang melawat kawasan yang terkena wabak supaya tidak menjangkiti diri.

Bentuk pencegahan ini juga dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang mewartakan larangan ke negara-negara yang dilanda wabak ataupun mengambil langkah pencegahan awal dengan me­ngenakan suntikan vaksin sebelum melawat ke luar negara atau kembali dari negara tertentu.

Islam menegah umatnya daripada terlibat dengan sebarang perkara yang menjerumuskan kepada kemudaratan dan kerosakan. Maka, dalam konteks menangani pelbagai wabak yang kian menular dalam masyarakat kita, langkah pencegahan dan pengawalan perlu bermula daripada diri sendiri, keluarga, seterusnya komuniti setempat. Selain kesedaran, ilmu dan maklumat yang tepat dapat menjamin keberkesanan langkah pencegahan dan rawatan penyakit.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains 
dan Alam Sekitar IKIM.