Penulis difahamkan ada yang mengalami kerugian berpuluh-puluh ribu ringgit angkara peni­puan sebegini. Ini tidak kira golongan. Mereka yang berpendidikan tinggi pun boleh terjebak dan terpedaya dengan modus operandi penipuan sebegini. Meskipun banyak kali diingatkan oleh pihak berkuasa melalui media massa, namun masih terdapat mereka yang terpedaya dengan penipuan sebegini.

Sesuatu yang cukup menyedih­kan kerana ada antara mereka yang diperdaya oleh modus ope­randi sebegini pun bukanlah terdiri daripada golongan yang berpendapatan tinggi. Wang yang dikumpul daripada gaji mereka setiap bulan hilang begitu sahaja. Dikumpul begitu lama dan hilang sekelip mata.

Sudah tentu mereka yang terjebak dengan perangkap penipuan sebegini akan berasa tertekan. Wang yang telah hilang sukar untuk dijumpai semula. Dalam keadaan suasana kehidupan masa kini yang memerlukan wang, sebarang kehilangan wang dengan sekelip mata sudah tentulah amat menyedihkan.

Dalam hal ini, tidak kira siapa kita, sebaik mungkin perlu mengelak diri daripada menjadi mangsa kepada modus operandi penipuan sebegini. Berhati-hatilah dengan apa jua panggilan te­lefon terutamanya jika kita sendiri pun tidak mengetahui siapakah pemanggilnya. Usah sama sekali mendedahkan maklumat peri­badi terutamanya melibatkan kewangan seperti nombor pin kad kredit mahupun kad debit serta kata laluan yang lain.

Yakinilah tiada sebab pihak-pihak tertentu perlu menelefon seseorang sehingga memerlukan maklumat peribadi kewangan yang begitu sulit untuk diketahui oleh orang lain. Maklumat sulit kewangan seseorang perlu dirahsiakan dan tidak perlu diketahui oleh mereka yang tidak dikenali. Kita tidak boleh hanya mengharapkan pihak berkuasa untuk menangani isu penipuan ini ke­rana menanganinya perlu bermula daripada kita sendiri. Sedikit kealpaan boleh menyebabkan kerugian dan tekanan yang berpanjangan.

Dalam konteks ini, mereka yang terlibat dengan penipuan sebegini mengambil peluang yang ada untuk menjalankan kegiatan penipuan mereka. Mangsa penipuan akan berasa tertekan dan akhirnya boleh mendatang­kan masalah yang lebih besar lagi jika tidak ditangani dengan baik. Hal ini berlaku sedemikian kerana penangan tekanan kewa­ngan terhadap manusia boleh menyebabkan implikasi yang besar.

Misalnya, tekanan kewangan boleh menjadi punca pergaduhan sesama manusia dan tidak mustahil boleh mengeruhkan hubu­ngan kekeluargaan. Perceraian antara kesan daripada tekanan kewangan yang tidak mampu dikawal oleh seseorang. Tekanan kewangan juga boleh menyebabkan seseorang itu terjebak de­ngan pelbagai kegiatan jenayah yang akhirnya mendatangkan masalah kepada diri sendiri dan orang lain.

Namun, dalam soal ini, me­ng­ha­dapi tekanan kewangan dengan menanganinya dengan bijak akan mengurangkan tekanan tersebut. Misalnya, dalam konteks kos sara hidup yang tinggi, sebaik mungkin sentiasa berusaha untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Mungkin mudah untuk bercakap tentangnya dan sukar untuk melaksanakannya, namun itulah antara langkah terbaik untuk mengurangkan tekanan kewangan.

Berusaha untuk mendapatkan sumber pendapatan yang baharu dengan menggunakan peluang dan kemahiran yang sedia ada. Pada masa yang sama, tidak membelanjakan wang sewenang-wenangnya sehinggakan di ak­hir bulan tidak mengetahui di manakah wang tersebut dibelanjakannya.

Selain daripada diri sendiri yang perlu menghadapi tekanan kewangan dengan sebaik mungkin, ekosistem kebajikan dalam masyarakat juga perlu diperkasakan. Misalnya, bantuan yang sewajarnya perlu disalurkan kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan. Tujuannya untuk meringankan beban mereka dan pada masa yang sama memudahkan kehidupan golongan tersebut.

Bantuan boleh dalam bentuk jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Pelbagai mekanisme bantuan boleh dilaksanakan bergantung kepada golongan yang disasarkan. Apa yang penting manfaatnya dalam jangka masa panjang boleh me­ngurangkan tekanan kewangan mereka dan seterusnya membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

Misalnya, bantuan berbentuk pendidikan sewajarnya diberikan kepada golongan yang amat memerlukan. Bagi golo­ngan sebegini, pendidikan adalah prospek untuk keluarga mereka keluar daripada kepompong kemiskinan. Maka, sebarang bantuan pendidikan kepada golo­ngan yang amat memerlukan akan memberi manfaat jangka masa panjang jika golongan tersebut menggunakan peluang tersebut dengan sebaik mungkin.

Dengan itu, bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan mahupun desakan hidup yang tinggi yang dialami oleh golo­ngan sebegini tetapi juga mampu mencegah kebarangkalian mereka terjebak dengan kegiatan yang kurang baik. Justeru di sini, amatlah penting bagi kita semua menangani penipuan dan tekanan kewangan agar dapat merealisasikan kehidupan masyarakat de­ngan lebih baik dan sejahtera.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Profesor Madya Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).