Sehubungan itu, sebagai pentabdir cukai di negara ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertekad untuk memudahkan pematuhan cukai dan mencegah sebarang tindakan pengelakan cukai. Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, DATUK SABIN SAMITAH berkata, selain daripada operasi besar-besaran yang dilaksanakan secara berkala, lembaga itu turut memberi fokus kepada isu perancangan cukai agresif dan ekonomi bawah tanah.
Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, SOFIAN BAHAROM dan jurugambar, RASHID MAHFOF di  pejabatnya di Cyberjaya baru-baru ini, Sabin berkata, LHDN dalam masa sama terus berusaha mempertingkatkan kesedaran membayar cukai dalam kalangan rakyat negara ini.

 

MINGGUAN: Baru-baru ini LHDN mengumumkan akan memburu golongan profesional yang mengelak cukai, boleh Datuk jelaskan?

SABIN: Ada di antara golongan profesional yang tidak melaporkan pendapatan mereka dengan betul sama ada di peringkat firma, perkongsian atau peringkat individu sendiri.

Jadi, kaedah pengelakan mereka ini lebih kepada cara mereka mengiktiraf pendapatan tersebut kerana mengikut undang-undang cukai, pendapatan yang diterima itu seharusnya dilaporkan kepada LHDN berdasarkan akuan tetapi yang dilakukan sebahagian ahli profesional ini, mereka melaporkan berdasarkan penerimaan tunai.

Ada sebahagian daripada mereka ini meletakkan pendapatan yang diterima daripada pelanggan-pelanggan mereka ini di dalam satu akaun yang disebut client's account.

Bagaimana pula dengan syarikat-syarikat gergasi?

SABIN: Syarikat gergasi ini kebanyakannya melakukan pengelakan cukai secara agresif yang kita panggil perancangan cukai agresif (ATP) dan mereka ada menggunakan entiti di Labuan.

Mereka ini antaranya syarikat kewangan dan insurans serta minyak dan gas. Ada yang membuat perancangan cukai agresif dengan mengurangkan pendapatan mereka menggunakan entiti Labuan.

Berapa banyak syarikat seperti ini terlibat dalam memanipulasi cukai?

SABIN: Sebelum ini terdapat institusi kewangan yang cuba menggunakan Labuan untuk mendapatkan bayaran balik. Ini melibatkan cukai bernilai RM200 juta menerusi tiga buah syarikat.

Terbaru, adalah sebuah syarikat gergasi di Malaysia yang menggunakan entiti Labuan. Kita telah berjaya mengesan dan membangkitkan cukai dan penalti sebanyak RM37 juta melibatkan cukai pegangan.

Syarikat tersebut telah pun membayar semua cukai terlibat. Ini kes yang terbaharu. Kita akan mempertingkatkan aktiviti pengauditan terhadap syarikat-syarikat yang mempunyai transaksi dengan syarikat pesisir pantai di Labuan.

Apa langkah-langkah LHDN dalam menangani gejala memanipulasi cukai ini?

SABIN: Gejala ini lebih kepada ATP jadi LHDN telah mempertingkatkan kompetensi pegawai-pegawai kita dengan menghadiri kursus-kursus berkaitan percukaian antarabangsa di Belanda, Paris, Perancis serta ke Pejabat Percukaian Australia.

Ini adalah untuk mempelajari kaedah pengelakan syarikat-syarikat terlibat dalam industri petroleum dan gas. Kita juga baru-baru ini telah menghantar pegawai ke Indonesia untuk bertukar-tukar pemikiran tentang kaedah pengelakan cukai oleh syarikat berkaitan Internet.

Syarikat ini memindahkan keuntungan mereka ke negara yang mempunyai kadar cukai lebih rendah.

Apakah bentuk cabaran yang dihadapi LHDN sebagai agensi pentadbir cukai?

SABIN: Cabaran yang dihadapi agensi seperti LHDN di Malaysia adalah tahap kesedaran dalam kalangan pembayar cukai. Di negara maju kesedaran untuk membayar cukai itu adalah tinggi.

Syarikat-syarikat dan individu-individu sebagai contoh di Australia, Amerika Syarikat (AS) atau United Kingdom (UK), tahap kesedaran rakyatnya memang terlalu tinggi.

Jadi, mereka tidak menghadapi masalah apabila berhadapan dengan pembayar cukai untuk memberi penerangan tentang kenapa mereka harus membayar cukai. Ini cabaran paling besar di Malaysia dan juga negara-negara membangun.

Apa langkah yang sedang dilakukan LHDN untuk menangani cabaran-cabaran tersebut?

SABIN: LHDN sedang membuat banyak program outreach supaya kita dapat bersama dengan masyarakat mengikut kumpulan masing-masing. Kita ada kumpulan sasar, kita bermula di sekolah iaitu dengan program menulis esei dan pertandingan pidato.

Kita juga ada program di Kidzania yang lebih kepada kesedaran awal terhadap kanak-kanak berhubung tanggungjawab percukaian, sementara bagi sektor perniagaan, kita adakan banyak dialog dengan badan-badan atau pun dewan-dewan perniagaan serta badan-badan profesional.

Kita juga ada program dengan universiti. Dari semasa ke semasa kita akan menghantar pegawai untuk menyampaikan ceramah dan taklimat kepada mana-mana pihak atau persatuan yang memerlukan penerangan tentang cukai.

Kita juga ada pusat panggilan yang membolehkan sesiapa menghubungi pihak kami untuk bertanya tentang isu-isu cukai dan juga laman web LHDN dari semasa ke semasa. Kami akan senantiasa menambah baik informasi dalam laman tersebut supaya lebih interaktif serta memudahkan orang ramai yang hendak mendapatkan maklumat mengenai cukai.

Bagaimana dengan kerjasama agensi-agensi lain dalam negara?

SABIN: LHDN bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan dari semasa ke semasa dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Kementerian Kewangan.

Kita juga bersama Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET) Jabatan Peguam Negara, ini lebih kepada operasi ekonomi bawah tanah.

Kita telah mengadakan beberapa operasi besar untuk menyiasat aktiviti-aktiviti yang disifatkan ekonomi bawah tanah. Hasil siasatan ini kita dapati ada di antara mereka tidak melaporkan pendapatan mereka.

Dalam satu operasi yang kita adakan di Lembah Kelang baru-baru ini melibatkan pusat-pusat karaoke, kita telah membekukan sebanyak RM143 juta daripada 428 akaun yang dipunyai individu dan syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan seperti karaoke, pinjaman wang dan sebagainya.

Jadi, ini adalah salah satu operasi yang agak besar dilakukan dalam bulan ini. Ini akan diteruskan dari semasa ke sesama. Ekonomi bawah tanah ini jika tidak dibendung akan menyebabkan ketidakstabilan dari segi ekonomi dan keselamatan negara kita.

Sebab di depan kita nampak pusat karaoke tetapi di dalamnya ada juga berlaku transaksi dadah, pelacuran, pinjaman wang haram dan sebagainya.

Saranan Datuk kepada rakyat Malaysia tentang tanggungjawab percukaian?

SABIN: Saya nasihatkan agar mereka memberikan ruang yang lebih untuk mengetahui tentang isu percukaian melalui laman web dan pusat panggilan kita.

Kita juga mempunyai satu perkhidmatan kepada peniaga-peniaga kecil yang dipanggil unit sokongan perniagaan bagi membantu peniaga baru memulakan perniagaan tetapi tidak tahu bagaimana implikasi cukai ke atas perniagaan mereka.

Mereka seharusnya mengambil peluang dengan hadir di LHDN untuk bertanya kerana dengan pengetahuan lebih dalam, ia akan mengurangkan kerisauan mereka.

Jika mereka tidak mendapat nasihat yang betul tentang percukaian daripada ejen-ejen cukai, kita khuatiri nanti mereka akan dikenakan denda dan menyebabkan mereka terpaksa membayar cukai lebih tinggi.