Tahun ini dijangkakan tiada perubahan ketara akan berlaku kepada kedudukan ekonomi rakyat berbanding 2018. Malah dengan ketidaktentuan ekonomi global masa kini dan dasar-dasar semasa kerajaan ke atas pasaran, wujud kecenderungan kedudukan ekonomi rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 akan bertambah teruk.

Kos sara hidup merujuk kepada sejumlah wang yang diperlukan oleh isi rumah untuk berbelanja ke atas barangan dan perkhidmatan bagi mengekalkan taraf hidup. Kos sara hidup adalah lebih tepat diukur dengan melihat perbandingan di antara tingkat harga dan pertumbuhan pendapatan.

Setakat ini, belum ada indeks kos sara hidup rasmi yang digunakan oleh mana-mana agensi. Penganalisis dan penggubal dasar cenderung untuk menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia sebagai petunjuk kepada kos sara hidup. Walaubagaimanapun, IHP bukanlah pengukur kos sara hidup yang tepat kerana ia hanya mengukur pergerakan harga manakala komponen pendapatan tidak termasuk di dalam pengiraan IHP.

Kos sara hidup tidak menjadi masalah di Malaysia jika kadar pertumbuhan pendapatan lebih tinggi berbanding dengan peningkatan harga. Contohnya, pertumbuhan pendapatan adalah 10 peratus manakala harga meningkat sebanyak 7 peratus, jadi kuasa beli isi rumah meningkat.

Sebaliknya di Malaysia kadar pertumbuhan pendapatan lebih rendah berbanding dengan peningkatan harga. Pendapatan yang tidak setara ini menyumbang kepada masalah kos sara hidup di Malaysia. Kuasa beli isi rumah yang menurun seterusnya meningkatkan lagi beban kos sara hidup.

Peningkatan kos perbelanjaan rakyat sebahagian besarnya akibat daripada peningkatan di dalam harga barangan berbentuk keperluan terutamanya makanan, perumahan dan bahan api.

Mampukah pelaksanaan SST menurunkan harga? Jawapannya tidak. Cukai SST hanya menyumbang sekitar 0.7 peratus kepada keseluruhan kos pengeluaran di dalam ekonomi. Di antara Mei dan Ogos 2018, iaitu tempoh yang tiada cukai, rakyat dapat merasai bahawa peratusan penurunan harga barangan dan perkhidmatan adalah kecil. Dalam tempoh tersebut, harga barangan dan perkhidmatan keseluruhan ekonomi hanya turun 1.1 peratus manakala harga makanan hanya turun 1.0 peratus.

Apakah faktor kenaikan harga?

Impak cukai SST hanya minimum kerana pengeluar masih terbeban oleh peningkatan kos pengeluaran akibat daripada faktor-faktor berikut:

Kesan amalan GST

Secara prinsipnya, kos cukai GST yang dibayar oleh firma lebih rendah berbanding SST kerana ia adalah cukai yang dikenakan ke atas nilai ditambah yang dijana pada setiap rantaian bekalan. Apabila kos pengeluaran lebih rendah, harga barangan cenderung untuk menurun. Tetapi ini tidak berlaku selepas tiga tahun selepas pelaksanaan GST. Kesan peningkatan harga akibat GST ini masih mempengaruhi pasaran sehingga kini.

Terdapat beberapa faktor mengapa harga terus meningkat selepas pelaksanaan GST. Pertama, kadar kepatuhan firma kepada sistem GST masih rendah. Kedua, kadar pemahaman kepada sistem GST oleh firma, pengguna dan pihak berwajib masih rendah. Banyak peniaga mengenakan cukai GST ke atas nilai harga barangan dan bukannya ke atas nilai ditambah.

Penyusutan nilai Ringgit

Bahan mentah yang digunakan di dalam proses pengeluaran sebahagiannya besarnya diimport. Susutan nilai ringgit bermakna kos import menjadi lebih mahal dan seterusnya menyebabkan harga barangan di pasaran menjadi lebih tinggi. Contohnya, setiap Ringgit keluaran makanan yang diproses, RM0.13 mengandungi bahan mentah yang diimport.

Struktur pasaran bermonopoli

Sifat pasaran bermonopoli juga menekan firma kecil dan sederhana untuk bersaing dengan lebih kompetitif. Bagi pengeluaran makanan, kajian mendapati bekalan bahan mentah di sepanjang rantaian nilai pengeluaran makanan dipengaruhi secara langsung atau tidak langsung oleh beberapa firma bersaiz besar. Begitu juga dengan perumahan yang mana pembinaan perumahan hanya dilakukan oleh beberapa syarikat sahaja.

Apa yang perlu dilakukan?

Sejak Belanjawan 2016 sehinggalah Belanjawan 2019, strategi untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat menjadi agenda utama kerajaan. Tetapi strategi-strategi yang dirangka sebelum ini dilihat kurang berkesan kerana tidak terarah kepada penyelesaian sebenar. Berikut beberapa cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.

Pelan jangka pendek – Kedai Bajet

Pertama, mewujudkan kedai bajet yang menjual barangan keperluan pada harga yang lebih murah. Kedudukan kedai perlulah berdekatan dengan kediaman kumpulan sasar dan memastikan hanya golongan yang layak sahaja mendapat harga murah. Penjenamaan semula KR1M melalui memperbaiki tadbir urus operasinya boleh dipertimbangkan.

Kedua, menukar Bantuan Sara Hidup (BSH) daripada tunai kepada bentuk barangan melalui sistem kupon atau kad. Ini membolehkan mereka mendapat barangan keperluan dengan harga lebih murah dan memastikan BSH hanya digunakan untuk keperluan hidup.

Ketiga, penangguhan sementara pelaksanaan dasar-dasar yang boleh meningkatkan harga secara langsung dan tak langsung di dalam pasaran. Rasionalisasi subsidi ke atas produk petroleum dan elektrik umpamanya akan memberi kesan kepada harga dan seterusnya kos hidup rakyat.

Pelan jangka panjang

Pertama, strategi menangani herotan pasaran dengan menggalakkan lebih banyak persaingan yang mewujudkan lebih banyak ruang penawaran barangan dan perkhidmatan pada harga yang berpatutan dan kompetitif. Strategi ini penting kerana struktur pasaran yang berbentuk monopoli mempengaruhi penetapan harga pasaran terutamanya segmen makanan dan perumahan.

Kedua, meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan kepada rakyat melalui pembangunan dan pengembangan aktiviti-aktiviti ekonomi di luar bandar.

Ketiga, tangani kelemahan nilai Ringgit di pasaran. Perlu diingatkan, import bahan mentah menyumbang sekitar 24 peratus daripada keseluruhan bahan mentah yang digunakan di dalam proses pengeluaran. Jadi, susutan nilai Ringgit bermakna kos import menjadi lebih mahal dan seterusnya menyebabkan harga barangan di pasaran menjadi lebih tinggi.

DR. MOHD. YUSOF SAARI ialah Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pemegang ijazah PhD dari University of Groningen, the Netherlands.