Isu melibatkan tragedi lemas yang meragut beberapa nyawa sejak kebelakangan ini telah lama menghantui kita.

Pada pandangan penulis, ini bukanlah hanya tanggungjawab pihak kerajaan. Usaha mendidik masyarakat perlu dilakukan untuk memastikan persekitaran yang ada sentiasa selamat sama ada secara fizikal mahu pun kesejahteraan bersama dengan menghargai nyawa dan memahami erti kehilangan.

Bukan sahaja dalam isu keselamatan di air tetapi juga persekitaran lainnya. Memperkasa kemahiran, jiwa dan raga termasuk kesihatan mental adalah tanggungjawab semua pihak, bersikap berhati-hati dan mendidik semua pihak seawal mungkin untuk memahami makna kesejahteraan.

Dalam kes kejadian lemas sama ada di tempat perkelahan, rekreasi malah juga kolam renang di hotel-hotel perlu sentiasa dilihat secara holistik, Keselamatan di tempat-tempat awam ini perlu dipantau secara berterusan, tanpa pilihan oleh mereka yang diamanahkan menjaganya termasuk pihak berkuasa tempatan mahu pun mereka yang diamanahkan menjaganya.

Aspek keselamatan tidak boleh dikompromi dan di­ambil mudah. Daripada ranting pohon tua, persekitaran atau keadaan yang berbahaya, paras air yang ada dan mengingatkan tentang pentingnya membuat pertimba­ngan tentang risiko yang ada, tatkala menggunakan kemudahan atau tempat yang akan diterokai.

Kaedah yang jelas dalam menyampaikan mesej bahaya yang ada perlu dipaparkan sepanjang masa atau jika ter­nyata risikonya amat tinggi, tutup sahaja kawasan ber­kenaan kepada orang ramai kecuali para profesional atau mereka yang terbukti berupaya mengendalikan situasi dengan sewajarnya.

Ibu bapa dan masyarakat juga perlu sentiasa peka terhadap bahaya dan risiko dalam persekitaran, di kampung malah juga kawasan perumahan seperti longkang besar, kolam atau telaga lama yang sudah tidak digunakan, malah apa jua yang menimbulkan risiko kepada nyawa dan keselamatan masyarakat perlu sentiasa dipantau.

Pemimpin setempat dan pihak-pihak berkuasa tempatan, pertubuhan sukarela dan pihak-pihak yang berupaya menggembleng usaha memantau dan mengambil tindakan dengan meminta tindakan segera mereka yang terlibat. Ini termasuk pihak swasta seperti pemaju dan kontraktor dalam pembangunan setempat mesti memainkan peranan dengan sewajarnya dan peka dengan keperluan ini.

Ibu bapa malah setiap individu termasuk anak-anak dan anak-anak muda perlu sedar tentang kemampuan diri, sama ada berupaya menghadapi risiko yang ada, kemahiran dalam menghadapi cabaran seperti keadaan air dan keselamatan persekitaran tatkala menggunakan tempat rekreasi atau cuba mengambil risiko ketika bermain dan berseronok.

Agama dan nilai kita yang dipegang bersama sentiasa mengingatkan bahawa berpada-pada dalam apa jua yang dilakukan termasuk berseronok, berekreasi dan me­nerokai apa jua yang dibuat di mana jua tempatnya. Kita boleh terus menerokai apa saja yang diinginkan, namun sikap berhati-hati perlu sentiasa disemat dan dipegang.

Setiap usaha dalam menangani tragedi lemas harus dipuji namun kita dan semua pihak tidak boleh lepas ta­ngan dalam hal ini. Sama juga dalam isu-isu lain termasuk kemalangan jalan raya yang meragut banyak nyawa, sebahagian besarnya akibat kecuaian dan sikap tidak endah pengguna dan orang ramai dalam mematuhi segala peraturan yang ada (yang sentiasa ditambah).

Isu ini juga memerlukan didikan yang berterusan dan proses pendidikan dalam kalangan semua pihak seawal usia.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM).