MINGGUAN: Persepsi masyarakat terhadap agensi atau badan Kerajaan seperti EAIC, SPRM, SUHAKAM yang mana setiap aduan akan melalui proses birokrasi atau red tape yang tidak berkesudahan. Apa pandangan Datuk mengenai persepsi ini?

A. AZIZ A. RAHIM: Memang terdapat anggapan dan persepsi negatif terhadap agensi-agensi kerajaan berkenaan proses birokrasi tetapi persepsi ini tidaklah begitu tepat kerana sejak penubuhan EAIC, polisi No Wrong Door Policy menjadi amalan di EAIC. Tetapi mungkin EAIC belum cukup dikenali dan oleh sebab itulah kita merancang berbagai program untuk merakyatkan EAIC. Bagi merubah persepsi masyarakat, beberapa program telah dilaksanakan dan dirancang seperti Sembang Santai, EAIC dan belia serta mahasiswa, EAIC dan anda, EAIC dan Parlimen dan yang terkini pula Jejak Mesra EAIC.

EAIC kini sedang meneliti dan mengenal pasti mekanisme terbaik untuk memendekkan tempoh masa penyelesaian aduan dari tarikh diterima tanpa menjejaskan tahap kompetensi dan efisiensi suruhanjaya. Setiap keputusan aduan yang telah diputuskan di peringkat suruhanjaya, yang terdiri daripada barisan pesuruhjaya yang mempunyai pelbagai latar belakang dan pengalaman daripada sektor awam,swasta, perundangan, pengurusan, pentadbiran dan polisi.

Apa pandangan Datuk terhadap usaha-usaha pemurnian nilai dan intipati integriti penjawat awam terutama dalam kalangan penguat kuasa. Contohnya penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN)?

A. AZIZ A. RAHIM: EAIC menyambut baik penubuhan ini memandangkan ia adalah satu inisiatif baik bukan sahaja untuk mengekang isu salah laku integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan malah untuk memantapkan tahap integriti di penjawat awam. Maka kita haruslah berhati-hati agar tiada pertindihan fungsi kerana ia akan menyebabkan pembaziran sumber iaitu wang dan sumber tenaga.

Penubuhan JITN adalah selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang bertujuan memperkasa pembinaan minda positif ke arah budaya berintegriti dalam kalangan penjawat awam. Tumpuan khusus JITN adalah tertumpu kepada aspek penguatkuasaan, undang-undang dan sistem perkhidmatan penyampaian kerajaan. Namun penumpuan EAIC adalah lebih pada penyalahgunaan kuasa dan perlanggaran SOP oleh penguat kuasa dan agensi pengutkuasaan. EAIC mengamalkan konsep Less Talk More Work.

Isu kelemahan kawalan sempadan longgar pernah dilaporkan secara eksklusif oleh akhbar ini pada Oktober lalu dan telah pun menerima respon daripada kementerian yang menyatakan perkara tersebut akan dibincangkan di peringkat Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara. Komen Datuk?

A. AZIZ A. RAHIM: Isu kawalan sempadan telah ada agensi khusus yang ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyelia dan memastikan kawalan sempadan yang efektif. Namun begitu, tindakan EAIC adalah untuk melihat SOP sedia ada oleh agensi seliaan yang berkenaan untuk ditambah baik dari semasa ke semasa. Antara agensi yang terlibat adalah PDRM, Jabatan Imegresen Malaysia (JIM), RELA dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

EAIC juga menyiasat aduan salah laku berkenaan isu-isu ketirisan kawalan di sempadan. Persoalan-persoalan ini sepatutnya ditujukan kepada JIM. Walau bagaimanapun, isu ini telah diambil perhatian dan ditangani dengan baik oleh kepimpinan agensi itu. EAIC mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mustafar Ali yang bertindak segera untuk menangani isu ini. Kita semua ambil maklum bahawa beliau melalui laporan akhbar baru-baru ini mengumumkan tindakan tegas telah pun diambil pihak JIM terhadap anggota penguat kuasa yang terlibat dalam sindiket penyeludupan migran tersebut.

Beliau juga telah membuat penambahbaikan sewajarnya bagi mencegah ketirisan seumpama ini supaya tidak berulang. Untuk menangani masalah seperti ini, memerlukan satu perubahan sikap yang positif anggota-anggota penguat kuasa dan juga langkah-langkah yang komprehensif daripada segi penguatkuasaan, pentadbiran dan nilai-nilai integriti di setiap peringkat pegawai agensi penguatkuasaan. Apa-apa langkah yang hendak diambil antaranya seperti penubuhan pasukan petugas khas untuk mengatasi masalah sebegini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa JIM.

Secara keseluruhannya tidak ada masalah dari segi integriti. Tetapi adalah lumrah dalam tiap-tiap organisasi akan terdapat segelintir anggota penguat kuasa yang menimbulkan masalah, tetapi bilangan adalah kecil. Namun begitu, lumrah hendaklah tidak menjadi kebiasaan. Kita perlu menanganinya dari awal.

Isu penyeludupan migran yang sepatutnya disekat melalui KLIA amat memalukan negara. Pada pandangan Datuk apakah tindakan sepatutnya diambil JIM dan kerajaan bagi mengelak masalah sama berulang?

A. AZIZ A. RAHIM : Biasalah di mana-mana pun ada ‘kambing hitam’ tetapi itu hanya segelintir sahaja. Bagi saya, isu itu mampu ditangani dengan baik oleh kerajaan. Saya difahamkan JIM telah mengambil tindakan untuk mengemas kini peraturan-peraturan yang ada. Mana-mana organisasi memang akan ada segelintir anggotanya yang melanggar peraturan atau mengambil kesempatan. Itu adalah keadaan yang mana jabatan berkenaan perlu sentiasa pantau.

Dari semasa ke semasa juga mereka perlu menambah baik setiap prosedur yang ada. Itu hal dalaman di Jabatan Imigresen tetapi daripada sudut integriti kita lihat pada tahun 2016 aduan yang diterima berhubung masalah-masalah integriti dilihat bertambah baik yang mana kes-kes salah laku telah menurun sebanyak 35 peratus. Ini menunjukkan ada perkembangan positif daripada segi penguatkuasaan. Daripada segi aduan diterima pula, kami akan kumpul dan buat kajian.

Kerajaan telah meminda Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran dengan mengenakan hukuman lebih berat. Kita juga boleh memasang pelbagai teknologi canggih di KLIA. Isu penyeludupan migran melalui KLIA ini juga bukan baharu dan masalah sebenarnya adalah integriti segelintir pegawai JIM yang telah diberikan amanah itu. Pandangan Datuk?

A. AZIZ A. RAHIM: Undang-undang memang kena dikuatkuasakan. Di sinilah perlunya peranan agensi-agensi penguat kuasa itu. Kalau berintegriti, maka penguat kuasa itu akan kuatkuasakan undang-undang itu mengikut seperti mana yang dikehendaki. Akta-akta yang ada itu pun masih baharu. Kita pun belum tahu sejauh mana ia berkesan, jadi biarkanlah ia dikuatkuasakan dahulu, nanti kita akan dapat dilihat kesannya.

Berapa lama kesannya boleh dilihat susah untuk dijawab kerana kita belum ada kajian mengenainya. Biasalah kita manusia sifatnya tidak sempurna. Kita kenalah sentiasa perbaiki keadaan itu sebaik mungkin. Insya-Allah kalau ada usaha yang berterusan maka masalah-masalah berkaitan integriti boleh dikurangkan.