ISMAIL MOHAMED
ISMAIL MOHAMED

Berdasarkan senarai calon PPBM yang menyertai gabungan pembangkang PKR dan Pas yang memimpin Gagasan Sejahtera yang diumumkan malam kelmarin, hampir pasti kebanyakan daripada 26 kerusi Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

PPBM yang dibubarkan sementara, mengesahkan akan bertanding di 10 kerusi Parlimen dan 18 DUN manakala Pas bakal memberi cabaran di 20 Parlimen dan 41 DUN.

Tumpuan pastinya terarah kepada bekas Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh dan turut bertanding di DUN Gambir.

Justeru, beliau dijangka dicabar oleh calon Barisan Nasional (BN), Ismail Mohamed yang kini dilantik sebagai Pemangku Ke­tua UMNO Bahagian Pagoh selepas Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO dipecat daripada parti keramat orang Melayu berkenaan.

Dipercayai pertembungan antara bekas Timbalan Perdana Menteri dan Ismail yang merupakan anak didik beliau itu pasti menarik perhatian ramai.

Lebih menghangatkan persaingan Muhyiddin dan Ismail yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Serampang (kini dikenali Bukit Kepong) apabila Pas turut meletakkan calonnya di kerusi Parlimen berkenaan.

Andai gagal mempertahankan Parlimen Pagoh, PPBM pada masa sama juga tidak mahu pengaruh Muhyiddin terus ‘berkubur’ apabila turut meletakkan veteran politik berkenaan untuk merampas DUN Gambir daripada BN.

Namun, persaingan di DUN Gambir yang terletak dalam Parlimen Ledang bukan mudah bagi beliau. Ini kerana kerusi tersebut juga bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru kerana akan ditandingi oleh Pas.

Pertembungan di DUN Gambir juga bukan mudah kerana jika di Parlimen Pagoh, Muhyiddin turut ditentang Ahmad Nawfal Mahfodz, di Gambir beliau bakal berdepan bapa pemuda berkenaan iaitu Datuk Dr. Mahfodz Mohamed yang juga Ketua Dewan Ulama Pas.

Andai BN mencalonkan semula Pengerusi MIC negeri, Datuk M. Asojan, maka persaingan di DUN Gambir tetap sengit.

Justeru, laluan Muhyiddin yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor sekiranya gabungan pembangkang PKR berjaya merampas negeri ini daripada BN bukan mudah, tetapi tetap berliku.

Apatah lagi, UMNO Johor di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi BN negeri semakin kukuh dan bermuafakat.

BN negeri bukan sahaja bertekad dan bekerja keras untuk mempertahankan Johor sebagai kubu kuat, malah yakin untuk ‘mencuri’ beberapa kerusi Parlimen dan DUN daripada pembangkang.

Malah, dalam satu majlis baru-baru ini, Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar tanpa berselindung menyatakan BN mampu memenangi 43 daripada 56 kerusi DUN dan 21 atau 22 daripada 26 kerusi Parlimen di negeri ini.

Jika keyakinan itu dijadikan ukuran, gabungan pembangkang PKR dan Gagasan Sejahtera bakal berdepan laluan sukar untuk menakluk Kota Iskandar dan misi mereka merampas negeri ini hanya tinggal mimpi.

Iklim politik di negeri ini dijangka lebih panas apabila BN mengumumkan senarai calonnya dalam masa terdekat.