Bukan sahaja di kawasan perkampungan dan pedalaman, kawasan bilik air dan tempat wuduk di rumah Allah SWT itu dilihat kurang diselenggara dengan baik walaupun di lokasi tumpuan orang ramai.

Kini sudah 2018. Rasanya senario tersebut masih tidak banyak berubah. Hinggakan ramai yang lebih rela menahan sakit perut untuk mencari hentian Rehat dan Rawat atau tandas di stesen minyak daripada melepaskan hajat di tandas masjid dan surau.

Perkara yang dilihat semakin kurang diambil perhatian itu turut menjejaskan identiti dan imej Islam kepada orang bukan Islam.

Entah di mana silapnya. Walhal kita maklum pen­tingnya menjaga kebersihan. Sejak kecil kita sudah diajar tentang bersuci dalam bab fikah. Menjaga kebersihan juga bertepatan mentaati perintah Allah SWT.

Allah tidak menyukai sesuatu yang kotor ataupun najis. Sebab itu, kita disuruh bersuci sebelum solat dan membaca al-Quran. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT itu suci yang menyukai hal-hal yang suci, Dia Maha Bersih yang menyukai kebersihan, Dia Maha Mulia yang menyukai kemuliaan, Dia Maha Indah yang menyukai keindahan, kerana itu bersihkanlah tempat-tempatmu. (Riwayat Tirmidzi)

Bagaimanapun, meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada siak masjid juga tidak adil. Sering berlaku tandas dibersihkan waktu pagi tetapi petangnya kotor lagi. Pintu yang paginya dalam keadaan baik, sebelah petangnya sudah pecah atau selaknya hilang. Pendek kata, kini vandalisme tidak kenal tempat. Masjid dan surau turut jadi mangsa.

Namun, kesimpulan mudah yang dapat dibuat terhadap sesuatu agama adalah berdasarkan rumah ibadat mereka. Ini kerana, secara umumnya segala penilaian dapat dibuat dan menggambarkan penganut agama tersebut dengan melihat rumah ibadat mereka.

Naluri manusia sukakan yang bersih. Tandas walaupun tempat membuang benda kotor tetapi kita tidak tergamak menggunakan tandas yang busuk, lantainya berlumut, tersumbat dan kotor.

Kita mempunyai masjid yang infrastrukturnya bertaraf lima bintang tetapi tandasnya tidak terjaga. Ia mengingatkan kita kepada kenyataan ulama besar Islam, Syeikh Muhamad Abduh. Sekembalinya daripada melawat Eropah, beliau berkata: “Aku pergi ke Barat dan melihat Islam, tetapi tidak berjumpa Muslim; aku pulang ke Timur berjumpa ramai Muslim, tetapi tidak melihat Islam”.

Memang kita patut malu dengan orang Jepun, Korea dan mereka yang tinggal di London misalnya. Bukan sahaja tandas awam mereka bersih tetapi dalam banyak hal lain pun mereka lebih ‘Islam’ daripada kita. Mereka tidak buang sampah merata-rata, mereka tidak berebut-rebut menaiki bas atau kereta api laju malah mereka bercakap pun lebih sopan berbanding kita.

Kita tidak menafikan kehebatan Mesir sebagai pusat peradaban dunia sehingga negara itu digelar Ummu al-Dunia (ibu dunia). Di situ jugalah letaknya Universiti al-Azhar, pusat pengajian tinggi tertua di dunia - lahirnya gerakan tajdid Ikhwan Muslimin - yang tersebar seruan pembaharuan mereka ke seluruh dunia. Di situ juga ramai ulama. Di situlah syurga beli-belah buku agama dan dunia dengan harga yang murah.

Malangnya, di situ jugalah tempat yang sinonim de­ngan akhlak mazmumah. Kebersihan kurang dijaga. Ja­nganlah bersandar di dinding, kerana kebanyakannya telah ‘dijirus’ urin. Kalau dalam bab menipu, merekalah juaranya. Berapa ramai peniaga atau pelancong Malaysia yang ditipu.

Antara usaha yang diambil adalah penganjuran Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan setiap tahun mulai 2001. Tujuannya, sifar tandas kotor di Malaysia menjelang 2020, kurang dua tahun dari sekarang. Bagi mencapainya, semua pihak mesti peka dan bertanggungjawab. Jadikan tandas awam termasuk tandas masjid ibarat tandas di rumah sendiri.