Peristiwa itu berlaku pada 1 Oktober apabila Stephen Paddock, 64 tahun, seorang Amerika kulit putih yang hidup senang dan tidak ada rekod jenayah, tidak ada kecenderungan politik atau agama berada di sebuah bilik di tingkat 32, Hotel Mandalay Bay telah menembak secara rambang orang ramai yang sedang menonton konsert Route 91 Harvest di kawasan lapang hingga membunuh 58 orang. Dan mencederakan 489 orang. Beliau menembak dirinya sebelum polis dapat menangkapnya. Pihak berkuasa menemui 23 senjata di biliknya.

Daesh atau IS keluarkan kenyataan bahawa mereka bertang­gungjawab atas kejadian itu dengan Paddock melakukannya bagi pihak mereka. Tetapi pihak keselamatan tidak mempercayainya ke­rana tiada tanda hubungan beliau dengan Daesh. Ternyata Daesh hanya menumpang atas kejahatan orang lain. Tidak lama dulu Daesh pernah mendakwa bertanggungjawab dalam satu serangan di Manila. Tetapi ternyata ia hanyalah suatu rompakan yang tiada kena mengenai dengan mereka. Maka kini kredibiliti kenyataan Daesh sudah terhakis.

Kejadian serangan Las Vegas itu merupakan kejadian mudah – yang banyak pihak tidak berasa pelik kerana peristiwa seumpama itu banyak kali berlaku di Amerika walaupun kali ini, ia dianggap suatu tragedi tembakan paling buruk. Apabila menonton laporan berita televisyen mengenai kejadian itu, dengan latar belakang Las Vegas, kelihatan orang Amerika ditemu bual, dan polis serta anggota Biro Siasatan Persekutuan (FBI) beraksi, maka ia seperti episod filem Hollywood yang menjadikan realiti dan imaginasi sebagai imej serupa.

Namun begitu, oleh sebab ia kejadian sebenar, tragedi itu me­ngerikan. Tidak seperti filem Hollywood yang kengeriannya hanyalah suatu hiburan. Maka ada pengulas Amerika yang menyebut perbuatan itu adalah pure evil atau kejahatan tulen. Tetapi wujudkah “kejahatan tidak tulen?”

Sebenarnya apa yang hendak dinyatakan dengan ungkapan kejahatan tulen itu ialah pelakunya berbuat demikian tidak didorong atas sebab agama atau politik, tetapi atas sebab jiwanya sendiri. Maka perbuatan Paddock adalah tidak berperikemanusiaan. Pakar-pakar psikologi jenayah pasti sedang menyelidik bagaimana seseorang yang kelihatan normal boleh melakukan kejahatan itu tanpa rasa perikemanusiaannya.

Tetapi perbahasan mengenai kejadian itu menjadi sukar kerana ia bukan saja menyentuh psikologi penembak itu. Ia turut melibatkan soal sosial dan politik Amerika sendiri. Malah geopolitik dunia. Ini kerana ia melibatkan soal keganasan dan terorisme dan polisi luar negara di bawah Presiden Donald Trump.

Pengawalan

Situasi kompleks dalam per­ba­hasan mengenai peristiwa ini me­nyentuh mengenai perjuangan pe­ngawalan senjata api di Amerika, dan selanjutnya melibatkan per­sai­ngan antara Parti Republikan dan Parti Demokratik. Perkara ini pula dilanjutkan kepada fahaman li­bera­lisme yang dipegang oleh pihak De­mo­kratik, dan konservatif dari Repu­blikan.

Umumnya, orang Republikan mahu mengekalkan kebebasan pe­milikan senjata api seperti yang di­­tuntut oleh pelobi Persatuan Rai­fel Kebangsaan (NRA) yang menganggap ia merupakan hak war­ganegara de­mo­kratik Amerika. Sementara pi­hak Demokratik me­nuntut supaya senjata api dikawal demi keselamatan masyarakat demokratik.

Parti Republikan yang menguasai Kongres dan kepresidenan memper­tahankan hak pemilikan senjata api warganegara Amerika. Tetapi sebaik-baik saja kejadian ini berlaku, pihak Demokratik tidak teragak-agak menjadikannya sebagai bahan hujah bagi menuntut kawalan senjata api. Walaupun Republikan membalas balik hujah tetapi ada pemimpin kanan daripada parti itu turut mengubah pendirian. Presiden Trump telah menyatakan bahawa pihaknya akan meneliti tuntutan itu.

Selain itu, perbahasan mengenai kejadian itu juga menyentuh soal keganasan dan terorisme. Penembakan massa iaitu perbuatan membunuh secara rambang kepada orang ramai disebut sebagai violence, iaitu keganasan atau kekerasan, tetapi ia tidak dinyatakan sebagai terorisme. Jadi ini bermakna keganasan tidak sama makna dengan terorisme. Dalam perbahasan ini terorisme dikhususkan kepada serangan ganas yang berasaskan politik atau agama. Tetapi dalam zaman ini, umumnya terorisme dihubungkan dengan Islam dengan pelakunya dikaitkan dengan Daesh dan Al-Qaeda serta kumpulan yang bersekutu dengannya. Jadi perbuatan Paddock itu tidak dilabel sebagai terorisme.

Tentu sikap dan definisi menjadi kritikan daripada banyak pihak seluruh dunia. Kalangan orang Islam dengan segera menunjukkan betapa media arus perdana Barat mengamalkan sikap diskriminasi, bigotri, perkauman dan Islamofobia. Turut bersama dengan orang Islam dalam membuat pertikaian itu ialah sebahagiannya daripada golongan kiri.

Mereka menunjukkan betapa Presiden Trump mengharamkan kemasukan rakyat negara-negara Islam tertentu bagi melindungi Amerika daripada serangan teroris Islam. Tetapi serangan seperti yang berlaku di Las Vegas menunjukkan bahawa Amerika terus tidak selamat walaupun dikenakan sekatan terhadap orang Islam dari negara-negara itu. Perkara ini menunjukkan kekerasan, keganasan dan terorisme tidak mengenal agama, kaum atau fahaman. Islamofobia tidak ada asas. Namun pemegang fahaman Islamofobia me­lihat Islam adalah agama berbahaya dan mengandungi inti terorisme.

Tetapi dalam dunia ini, sudah lama ada Amerikafobia. Sejak Perang Dunia Kedua peranan geopolitik Amerika di dunia, baik ber­kaitan sokongannya terhadap Zionisme dan Israel mahupun peng­libatannya dalam Perang Dingin dalam bentuk mendokong diktator-diktator golongan kanan yang kejam, keras dan ganas me­nim­bulkan Amerikafobia.

Walaupun penembak di Las Vegas bertindak bersendirian, te­ta­pi Amerika memiliki gerakan sayap kanan yang kuat, daripada golongan White Supremacists atau Keagungan Kulit Putih kepada ultrakonservatif yang terang-terang menjadi teras para penyokong Presiden Trump.

Amerika mempunyai tradisi koboi dan pihak ketenteraan yang memusnahkan kaum asli Red Indian, hinggalah kepada perhambaan kulit hitam sebelum Perang Saudara. Latar belakang ini akan terus menghantui Amerika walaupun kuasa besar itu mencapai kemajuan dalam tamadun moden melalui sains, tek­nologi, kebudayaan, kapi­talisme dan demokrasi.

Senjata yang digunakan oleh penembak Las Vegas itu adalah kemajuan teknologi. Begitu juga kesenangan hidupnya dan juga kemakmuran Las Vegas adalah kerana kapitalisme dan demokrasi. Tetapi jiwanya yang dibentuk dalam negara Amerika juga telah menghasilkan pure evil atau kejahatan tulen.

Ataupun memang benar kejadian seperti di Las Vegas boleh berla­ku di mana-mana. Las Vegas itu hanya bernasib malang. Selagi ada manusia, mungkin ada antaranya tidak kira anutan agamanya, atau kaumnya, atau fahaman politiknya, tetap akan ada kejahatan tulen.