Terbaru, satu kejadian tanah runtuh pula berlaku di Batu 51, Kuala Terla menyebabkan jalan utama dari Kampung Raja ke Cameron Highlands terpaksa ditutup.

Sememangnya kita tidak pernah belajar daripada sejarah. Kalau dulu sewaktu kejadian Highland Tower tahun 1993 dan tanah runtuh di Bukit Antrarabangsa tahun 2008, pelbagai akta baru untuk menangani masalah ini diperdebat dan diluluskan.

Awang hairan apa jadi dengan akta-akta ini? Apa tindakan penguatkuasaan dalam isu ini? Bilakah kita akan belajar daripada sejarah?

Kalau di Cameron Highland, aktiviti menarah bukit untuk membangunkan ladang sayuran antara menjadi punca hakisan tanah berlaku tetapi tiada pihak yang diambil tindakan atau disiasat.

Sama juga banjir besar di Pulau Pinang yang berlaku kerana kerakusan pembangunah tanah tinggi di Pulau Pinang. Juga tiada pihak yang disabitkan kesalahan atau dipertanggungjawabkan.

Awang mendapat maklumat lebih daripada 10 kejadian tanah runtuh dan banjir berlaku di Pulau Pinang akibat daripada topografi dan pemotongan bukit diratakan sejak tahun 2016 hingga kini. Namun Awang kesal kerana kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri tidak menjadikan ia keutamaan untuk diselesaikan sehingga hari ini.

Awang ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berjanji tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku rasuah dan salah guna kuasa di tanah tinggi, Cameron Highlands.

Sememangnya isu penyalahgunaan kuasa ini amat serius kerana meluluskan permit bagi penerokaan tanah untuk tujuan pembangunan serta pertanian tanpa adanya perancangan teliti. Salah guna kuasa inilah yang telah menyebabkan bencana tanah runtuh berulang kali berlaku.

Awang juga merafak sembah titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang menitahkan supaya kelulusan untuk semua aktiviti pembangunan dan pertanian di kawasan tanah tinggi berhampiran sempadan Perak dihentikan segera dan pemberhentian permit ini turut dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pahang.

Penguatkuasaan perlulah dilakukan berterusan dan jangan hanya tunggu berlaku bencana baru hendak bertindak. Semoga kes tanah runtuh ini memberi pengajaran kepada semua pihak untuk memainkan peranan yang lebih baik dan tidak salah guna amanah yang diberi.

PEMUDA UMNO - HISHAMMUDDIN HUSSEIN

AWANG tidak terkejut dengan kenyataan akhbar Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang menggesa Presiden, Zahid Hamidi untuk bercuti dan berehat seketika daripada menggalas tugas sebagai Presiden parti kerana berhadapan dengan 45 kes tuduhan.

Ia merupakan perkara yang amat biasa dilakukan oleh Pergerakan Pemuda UMNO. Kebiasaannya Pemuda UMNO sentiasa menjadi kumpulan pendesak terutamanya apabila berlaku krisis kepimpinan dalam parti.

Untuk Zahid, sejarah berulang kembali. Dua puluh tahun dahulu, Hishammuddin Hussein yang merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia juga membuat desakan sama meminta Zahid yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk meletakkan jawatan selepas ditahan di bawah ISA kerana terlibat dengan gerakan Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Mahathir sebagai Presiden parti.

Dunia tahu ia dilakukan oleh Hishammuddin bagi menunjukkan taat setianya kepada Mahathir sebagai Presiden parti walaupun isu sebenarnya waktu itu yang perlu diperjuangkan ialah penyalahgunaan kuasa Mahathir sebagai Perdana Menteri yang menggunakan ISA untuk memenjarakan seteru politik beliau.

Namun seperti biasa, isu penyalahgunaan itu bukan menjadi isu kepada Pemuda UMNO waktu itu kerana Pemuda UMNO lebih berminat untuk menunjukkan taat setia mereka kepada Presiden.

PEMUDA UMNO - KHAIRY JAMALUDDIN

AWANG juga teringat dengan keberanian seketika Khairy Jamaluddin dan Pemuda UMNO sewaktu menyuarakan kebimbangan mereka kepada cara Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia menguruskan Syarikat 1MDB.

Khairy yang dilihat bersama-sama dengan kumpulan Muhyiddin Yasin iaitu Timbalan Presiden UMNO dan Shafie Afdal, Naib Presiden UMNO membuat desakan agar Najib menjelaskan isu ini dan harus bercuti sekiranya gagal meyakini pimpinan UMNO bahawa tidak ada penyelewengan dalam pengurusan 1MDB.

Namun gerakan itu terhenti apabila Muhyiddin dan Shafie dipecat daripada UMNO dan Kabinet. Pemuda UMNO pula berubah haluan dengan menyokong pimpinan Najib sebagai Presiden dan menjadi alat untuk menentang habis-habisan gerakan Muhyiddin dan Shafie. Sekali lagi Pemuda UMNO terlepas pandang isu sebenar iaitu untuk mendedahkan penyelewengan dalam pengurusan 1MDB dan menentang penyalahgunaan kuasa Najib sebagai Perdana Menteri yang bukan sahaja memecat Muhyiddin dan Shafie malahan turut menukar Peguam Negara, Gabenor Bank Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa mengikut prosuder sebenar.

Hanyalah setelah isu 1MDB ini berjaya digunakan oleh Pakatan Harapan untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional, barulah Khairy dan Pemuda UMNO menyesal kerana tidak berani untuk bercakap benar dan berterus terang kepada Najib dahulu.

PEMUDA UMNO - ASYRAF WAJDI

AWANG rasa apa yang dibuat oleh Asyraf Wajdi untuk mendesak Presiden berehat memanglah perkara biasa walaupun hari ini UMNO berada dalam persekitaran yang luar biasa.

UMNO bukan lagi parti yang menjadi tulang belakang kerajaan dan Presidennya bukan lagi Perdana Menteri. Walaupun Awang merasakan bahawa itulah cara biasa reaksi Pemuda UMNO ketika berdepan krisis kepimpinan parti, tetapi Awang hairan dengan kebijaksanaan Asyraf sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia dalam soal menguruskan pengumuman keputusan Pemuda UMNO.

Alangkah manisnya jika Pemuda UMNO dapat mengikut tatacara budaya orang Melayu dengan membawa keputusan ini untuk berbincang secara langsung kepada Presiden tanpa perlu mengadakan kenyataan akhbar secara terbuka.

Tindakan Pemuda UMNO ini menimbul kesangsian sama ada mereka benar-benar mahu mendesak Presiden berehat atau hanya menjadi suara tangan ghaib yang sebenarnya mahu memaksa Presiden berundur? Bagi Awang soal mana-mana pemimpin untuk berundur bergantung kepada keputusan mereka sendiri.

Awang teringat kisah Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas hanya lapan bulan menerajui kerajaan kerana gagal menunaikan aku janji dalam kempen pilihan raya. Awang juga teringat kisah Perdana Menteri New South Wales, Barry O’farrell yang meletakkan jawatannya kerana tidak memaklumkan kepada kabinet yang beliau menerima sumbangan sebotol wain berharga lebih RM9,000.

Persoalannya apakah Mahathir sebagai Perdana Menteri sanggup mengikut jejak langkah Perdana Menteri Jepun, atau Zahid sebagai Presiden parti mahu mengikut tindakan yang diambil Perdana Menteri New South Wales, bergantung kepada gerak hati dan budi bicara kedua-dua mereka.

Kenyataan akhbar Pemuda UMNO juga membuatkan ramai ahli akar umbi mempertikaikan motif sebenar Pemuda UMNO. Sekali lagi seperti biasanya Pemuda UMNO lebih berminat untuk membuktikan kesetiaan mereka kepada pemimpin tertentu dan lari daripada memperjuangkan isu sebenar.

Awang tertanya-tanya di manakah Pemuda UMNO ketika Mahathir sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengajak pemimpin-pemimpin UMNO dan ahlinya meninggalkan UMNO dan menyertai PPBM? Tidakkah ini memberi gambaran tentang penyelewengan kuasa seorang Perdana Menteri yang menggunakan undang-undang untuk melemahkan UMNO sebagai parti pembangkang?

Sejarah berulang kembali namun Pemuda UMNO tetap tidak berubah.

AWANG SELAMAT