Sehubungan itu beliau mahu calon yang bakal ditampilkan benarbenar berwibawa, berkredibiliti dan berintegriti agar BN terus mendapat mandat daripada rakyat. Pada masa sama beliau mahu semangat solidariti dalam UMNO terus diperkukuhkan demi kelangsungan parti


UTUSAN MALAYSIA: Bagaimana persiapan Pergerakan Pemuda dalam menghadapi P­RU-14 yang dijangka tahun depan?

KHAIRY: Pemuda kini berada pada peringkat terakhir persiapan PRU-14 dan saya sendiri selepas Perhimpunan Agung UMNO ini akan pergi ke setiap negeri untuk memastikan jentera kita telah bersiap sedia. Untuk PRU-14, jentera kita terbahagi kepada tiga iaitu portfolio yang membantu Pergerakan Wanita di bawah Jalinan Rakyat (JR) Plus; portfolio pe­nerangan yang akan membantu Biro Penerangan UMNO yang diketuai oleh Tan Sri Annuar Musa dan portfolio Briged Gempur.

YB ada menyentuh tentang usaha mendekati pengundi secara bersemuka. Bagaimana kejayaannya setakat ini?

Kita baru sahaja bermula. Fasa pertama adalah penubuhan jentera dan pelantikan petugas. Sebanyak 60,000 petugas telah dilantik untuk menggalas tanggungjawab ini. Mereka perlu mendekati pe­ngundi-pengundi muda khusus­nya pengundi muda kali pertama. Setiap petugas perlu menjaga 30 orang pengundi dan mereka mesti kenal setiap 30 orang pengundi ini. Petugas mesti tahu isu yang berlaku termasuk isu-isu tempatan dan cara untuk memberikan penjelasan. Berdasarkan anggaran kita, terdapat 1.9 juta pengundi lelaki Melayu bawah 40 tahun.

Apa sebenarnya yang menjadi kebimbangan kepada orang muda berdasarkan pemerhatian YB?

Mereka ini sangat bimbang tentang peluang pekerjaan dan kos sara hidup. Justeru, kita perlu beritahu mereka bahawa ba­nyak usaha telah dilakukan oleh kerajaan bagi menangani dua isu tersebut. Antaranya berkaitan dengan usaha kerajaan menjana ekonomi dengan menarik pelaburan ke negara ini termasuk mewujudkan projek-projek besar seperti Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura. Ini adalah usaha kerajaan untuk menjana pertumbuhan bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan. Mereka juga mahu kerajaan membina lebih banyak rumah mampu milik yang berkualiti tinggi.

Jika dilihat PRU-13 yang lalu, saluran orang muda dilihat ba­nyak memihak kepada pembangkang. Untuk PRU-14 kali apakah usaha Pemuda untuk menarik balik semula sokongan orang muda terhadap Barisan Nasional (BN)?

Tidak juga. Pada PRU-13, jumlah undi orang muda Melayu bawah 30 tahun kepada calon BN adalah kira-kira 53 peratus. Kita akan cuba kekalkan angka ini. Apapun sasaran kita lebih 55 peratus dan inilah tugas yang diberikan oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak) kepada kepada saya.

Adakah langkah mengetengahkan calon muda sebagai salah satu cara untuk menarik lebih ramai pengundi muda menyokong BN?

Itu adalah salah satu caranya tetapi saya yakin Perdana Menteri ada formulanya dalam mengete­ngahkan calon-calon yang akan mewakili BN. Apapun jika dapat lebih ramai calon muda, saya kira itu sesuatu yang amat positif. Sungguhpun begitu perlu ada pendekatan seimbang. Kita juga masih memerlukan khidmat mereka yang berpengalaman.

Antara kebimbangan orang muda ialah harga minyak yang tidak stabil. Bagaimana panda­ngan YB dalam hal ini?

Perdana Menteri maklum tentang situasi ini. Sebab itu baru-baru ini Kementerian Kewangan dalam kenyataannya telah menyatakan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan harga minyak melepasi paras tertentu. Maksudnya walaupun kita sudah apungkan harga minyak tetapi apabila jika harganya terlalu mahal, perlu ada subsidi. Saya yakin sebagai Menteri Kewangan, Perdana Menteri memahami tentang paras tertentu yang jika harganya melepas paras berkenaan akan menyusahkan kebanyakan rakyat kita.

Mesej YB sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini?

Mesej saya lebih dikhususkan untuk generasi muda dan pe­ngundi muda bahawa pilihan raya umum akan datang ini yang sangat penting. Dalam lima tahun akan datang kita akan melintasi 2020 yang juga pelaksanaan fasa pertama Transformasi Nasional 2050 (TN50). Jadi keputusan pilihan raya umum ke-14 ini sangat penting buat BN. Oleh itu jika kita salah pilih, kesannya bukan setakat dirasai untuk tempoh lima tahun tetapi akan melibatkan beberapa generasi lagi akan datang.

Adakah pemilihan calon amat penting?

Selain manifesto, calon-calon yang akan dikemukakan dalam pilihan raya umum kali ini tersangat penting. Saya khuatir jika kita kemukakan calon-calon yang tidak boleh diterima rakyat, pe­ngundi-pengundi khususnya pe­ngundi Melayu akan menghukum parti. Sebaliknya jika mereka melihat calon-calon BN adalah dalam kalangan mereka yang berintegriti, mempunyai kredibiliti dan berwibawa, saya percaya mereka akan memberi soko­ngan kepada calon UMNO. Tidak dinafikan kita kadang-kadang ada mendengar mereka berkata, alah... takkan UMNO masih lagi nak calonkan orang yang macam ini. Takkanlah UMNO tiada orang lagi baik daripada orang ini.

Adakah kita boleh katakan pemilihan calon akan menjadi faktor utama dalam menentukan kemenangan BN?

Ya, sememangnya. Soal calon akan menjadi satu faktor. Kita tidak mahu orang Melayu berkata, itu standard calon UMNO? Kalau itulah standardnya, tidak perlulah kita sokong UMNO lagi. Namun sekiranya calon yang dikemukakan itu berwibawa, ada kredibiliti, ada integriti pasti mereka akan sokong UMNO. Orang selalu kata kepada saya yang mereka bukan tidak suka UMNO tetapi tidak suka segelin­tir individu dalam UMNO. Orang Melayu tiada masalah dengan UMNO. Mereka tahu jasa UMNO tetapi mereka ada masalah dengan segelintir orang dalam UMNO, Kalau perkara ini boleh ubah, jika Presiden boleh letakkan calon yang bagus di setiap peringkat, sebahagian besar cabaran ini telah kita atasi.

Bagaimana pula dengan sa­ingan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam PRU-14 kali ini?

Kita perlu berhati-hati de­ngan PPBM sebab tapak soko­ngan mereka sama dengan kita. Lainlah kalau mereka ambil sokongan daripada parti-parti lain. Bagi saya ancaman PPBM ini walaupun kita rasa kita lebih baik daripada PPBM dan mereka juga tiada benda baharu untuk ditawarkan tetapi kita perlu berhati-hati. Pasti orang UMNO yang kecewa antaranya mereka yang tidak terpilih sebagai calon akan menjadi sasaran PPBM. Sebab itu semangat solidariti dalam UMNO sangat penting. Maksudnya kita terima apa sahaja keputusan pucuk pimpinan dan kita tidak akan berpaling tadah. Kalau tidak, kita akan hilang sokongan kepada kumpulan ini.