Keadaan yang telah membawa kita untuk sama-sama berada di sini adalah amat tragik sekali, tetapi menjadi harapan saya bahawa perhimpunan ini akan mencari jalan untuk menghilangkan penderitaan saudara kita, minoriti Islam Rohingya di Myanmar.

Ini adalah satu daripada mesyuarat penting kita yang julung kali diadakan di bawah panji-panji OIC sejak pelantikan Dr. Yousef Ahmed Al-Othaimeen sebagai Setiausaha Agung.

Saya amat berbesar hati kerana beliau dapat turut serta bersama-sama hari ini dan saya yakin bahawa, di bawah kepimpinan beliau, pertubuhan murni ini akan terus mencapai tahap lebih tinggi dalam memperjuangkan Islam dan ummah.

Malaysia sentiasa menjadi antara penyokong tegar OIC, iaitu sejak ia diasaskan, apabila Perdana Menteri pertama kami, Tunku Abdul Rahman, dipilih sebagai Setiausaha Agung yang pertama pertubuhan ini.

Krisis kemanusiaan di negeri Rakhine, Myanmar adalah sesuatu yang memerlukan keprihatinan segera kita semua. Kehilangan nyawa tidak boleh dipertikaikan. Dalam Islam “Hak untuk Hidup’ adalah hak asasi yang paling asas dan penting seperti dinyatakan dalam Ayat 32, Surah Al Maidah: “... sesiapa yang membunuh seorang manusia...seolah-olah ia telah membunuh manusia semuanya. Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia - maka seolah-olah ia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya....”

Telah terlalu banyak orang yang kehilangan nyawa di Myanmar. Banyak yang dibunuh dalam keadaan dahsyat, dan mereka yang terselamat daripada kekejaman itu telah menyaksikan atau menderitai kekejaman yang tidak dapat dibayangkan. Keadaan itu sendiri antara sebab kenapa kita tidak lagi boleh berdiam diri.

Pada masa sama, kalangan kita yang tinggal di rantau ini telah belajar daripada sejarah. Dan saya percaya, saya bercakap bagi pihak semua negara berjiran apabila saya katakan bahawa kita mahu mengelakkan berulangnya krisis “orang hanyut” 2015.

Ini bukan sahaja mengakibatkan penderitaan yang tidak dapat dibayangkan terhadap mereka yang dipaksa melarikan diri dari tanah air mereka, tetapi turut berpotensi memberi kesan terhadap keselamatan dan kestabilan di sekitar rantau ini.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Malaysia telah berada di barisan hadapan dari segi pergerakan luar biasa manusia. Sehubungan itu, kita kini menjadi hos kepada 56,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya yang telah melarikan diri dari negeri Rakhine.

Kerajaan, dan malah rakyat Malaysia bersedia untuk menanggung tanggungjawab kewangan dan sosial dalam menyediakan tempat berteduh dan keperluan asas saudara sesama Islam Rohingya. Dari segi moral, ini perkara yang patut dilakukan. Bagaimanapun, hakikat bahawa mereka telah dipaksa melarikan diri adalah petunjuk keburukan akan keadaan tragik yang mereka hadapi di tanah air.

Lebih memburukkan lagi keadaan, masyarakat Rohingya telah menjadi sasaran mudah bagi rangkaian pemerdagangan manusia. Dalam banyak kes, mereka ditahan berminggu-minggu manakala penyeludup memeras ugut lebih banyak wang daripada keluarga mereka di tanah air. Sepanjang perjalanan mereka yang penuh bahaya, mereka berisiko didera oleh penyeludup, dan lebih buruk lagi, mati akibat lemas.

Kami bimbang jika situasi minoriti Islam Rohingya di negeri Rakhine tidak ditangani dengan betul, elemen militan boleh meresap masuk dan kemungkinan komuniti yang ditindas ini diradikalisasikan.

Negara anggota OIC sedar bahawa organisasi pengganas seperti Daesh mungkin akan mengambil kesempatan daripada situasi ini. Ini sepatutnya menjadi kebimbangan masyarakat antarabangsa secara keseluruhannya, kerana ancaman bagi kewujudan tempat baharu untuk kumpulan pengganas mempunyai potensi mengakibatkan kematian dan kemusnahan yang melangkaui rantau ini.

Malaysia sentiasa menjadi rakan akrab Myanmar. Kami menyokong jiran-jiran terdekat kami apabila mereka bersendirian dan tiada kawan. Kami perjuangkan bagi kemasukan Myanmar ke dalam ASEAN. Kami menolak usaha untuk menghukum dan memencilkannya.

Kami berbuat demikian kerana kami mengiktiraf bahawa Myanmar terlalu besar, terlalu penting dan terlalu signifikan untuk dipinggirkan. Ini adalah sebahagian daripada rantau kita dan sebahagian komuniti negara kita.

Kita mengiktiraf ciri-ciri unik yang dimilikinya - rakyatnya, sumber aslinya, dan sudah tentu lokasinya yang strategik. Dalam kalangan negara anggota ASEAN, ia satu-satunya negara yang berkongsi sempadan dengan China dan India.

Sama pentingnya, kami juga mengiktiraf dan terus mengiktiraf akan daya tahan dan komitmen rakyat Myanmar yang telah membolehkan mereka keluar daripada belenggu pemerintahan diktator secara aman, sederhana dan matang.

Kemajuan dari segi politik yang dicapai mereka sejak itu menjadi testimoni akan kepercayaan kita terhadap Myanmar, kerajaan dan rakyatnya. Ia sumber kebanggaan dan harapan semua yang percaya bahawa keamanan mengatasi keganasan, dan malah, demokrasi mengatasi diktator.

Jadi sebagai rakan karib sejak sekian lama dengan Myanmar, saya katakan ikhlas dari sudut hati saya: Kini masanya untuk menamatkan krisis ini.

Bagaimana ia patut diselesaikan?

Buat permulaan, pembunuhan mesti dihentikan.

Membakar rumah mesti dihentikan.

Pencabulan terhadap wanita dan kanak-kanak mesti dihentikan.

Penyeksaan terhadap lelaki dan wanita rakyat senegara anda, hanya disebabkan mereka ini orang Islam, mesti dihentikan.

Penafian hak asasi manusia terhadap rakyat senegara anda mesti dihentikan.

Saya meminta sahabat kita di Myanmar: Sekali lagi buktikan diri anda adalah sama dengan keagungan tradisi dan sejarah anda. Kotakan kata-kata bapa kemerdekaan anda Jeneral Aung San, yang diucapkan pada 1946:

“Kini, di seluruh dunia, kita tidak boleh mengehadkan definisi kewarganegaraan kepada makna sempit yang mengikat bangsa, agama dan lain-lain. Negara-negara memperluaskan hak mereka kepada komuniti masing-masing malah kepada orang lain yang mungkin bukan terdiri daripada golongan mereka, tetapi dari segi keberadaan mereka dalam kalangan mereka ini, dan kesungguhan mereka untuk berada dan hidup bersama-sama...”

Walaupun kita terpaksa mengambil pendirian terbuka mengenai situasi di Myanmar, saya ingin menjelaskan bahawa tiada yang lebih tegar dalam menyokong prinsip tiada campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara-negara berdaulat, berbanding Malaysia.

Dengan menyatakan demikian, saya ingin menekankan bahawa jika hal ehwal domestik di sesebuah negara itu akan menyebabkan ketidakstabilan yang menjejaskan negara-negara lain di rantau ini, mereka tidak boleh dijangkakan terus berdiam diri, atau hanya mengharapkan yang terbaik dan mendoakan ia tidak bertambah buruk.

Pastinya mereka perlu diberikan ruang untuk menyuarakan kebimbangan mereka secara efektif dan menerusi cara yang dapat membantu menangani situasi kemanusiaan yang mendesak itu. Sudah sepatutnya adalah menjadi hak bagi negara-negara yang terjejas untuk menggerakkan sokongan daripada masyarakat antarabangsa bagi tujuan murni ini.

ASEAN mempunyai hak untuk membangkitkan isu ini, dan saya dengan ini berasa gembira bahawa perkara ini telah diperakukan pada Mesyuarat Menteri Luar di Yangon bulan lepas.

Pada mesyuarat itu, Menteri Luar kami, Datuk Seri Anifah Aman, menggesa bagi penubuhan kumpulan tokoh terkemuka ASEAN yang bebas untuk menyelesaikan krisis itu, dan sudah semestinya betul untuk menyatakan ini bahawa kami - selaku ASEAN - perlu lakukannya secara kolektif.

Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN adalah jelas. Ia menetapkan bahawa setiap orang mempunyai hak mutlak terhadap kehidupan yang dilindungi undang-undang. Hak kepada kebebasan dan keselamatan peribadi. Hak bagi kebebasan beragama. Hak untuk tidak dilayan secara kejam, tidak berperikemanusiaan atau dihina.

Tiada siapa boleh katakan bahawa hak-hak ini dipertahankan secara adil di negeri Rakhine pada ketika ini. Ia bukan sekadar mengenai masyarakat Rohingya sebagai orang Islam. Kami mahu mereka hidup, sebagai seorang Islam sebagaimana dituntut oleh agama, sebagai masyarakat minoriti bertanggungjawab, menghormati dan mematuhi sepenuhnya undang-undang negara, di sebuah negara bukan Islam.

Kita di ASEAN mesti menepati pendirian komuniti - kalau tidak ia hanya komuniti pada nama sahaja, sesuatu yang memalukan bagi pemimpin-pemimpin berwawasan yang bersama-sama mengasaskan ASEAN 50 tahun lalu.

Kita mengecewakan mereka jika kita tidak berusaha sedaya-upaya untuk mengelakkan malapetaka yang menimpa etnik Rohingya.

Dalam semangat keterbukaan yang sama, amat penting untuk diambil maklum bahawa ada perkembangan positif dan usaha oleh kerajaan Myanmar untuk menangani isu ini.

Kami gembira dengan penubuhan Kementerian Hal Ehwal Etnik, Jawatankuasa Pusat bagi Pelaksanaan Keamanan, Kestabilan dan Pembangunan di Negeri Rakhine, serta Suruhanjaya Penasihat Negeri Rakhine.

Bagaimanapun, kami percaya banyak lagi yang boleh dan perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah di negeri Rakhine.

Kami menggesa kerajaan Myanmar untuk menyediakan akses tanpa halangan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan-kawasan terjejas. Pada masa sama, kami menggesa kerajaan Myanmar membenarkan pelarian-pelarian kembali ke rumah dan komuniti mereka dalam suasana selamat dan bermaruah.

Punca masalah ini mesti ditangani segera secara keseluruhannya, dengan hasrat mencari penyelesaian-penyelesaian jangka panjang secara menyeluruh yang diterima oleh semua pihak terlibat.

Kami menggesa kerajaan Myanmar untuk menghentikan de­ngan segera semua perbuatan diskriminasi dan serangan terhadap Rohingya dan pelaku-pelakunya dihadapkan ke muka pengadilan.

Ini mesti berlaku sekarang. Bukan dalam masa beberapa bulan, apabila tiba masa jawatankuasa yang diterajui Kofi Annan menghantar laporan. Tidak ada orang yang ditindas, harus terus menanggung derita selama jawatankuasa bermesyuarat berbulan-bulan sebelum mereka diberi perlindungan.

Kerajaan Myanmar mempertikaikan istilah “genosid” dan “pembersihan etnik”. Namun, apa juga terminologi, kaum Rohingya tidak boleh tunggu.

Tidak apabila mereka dan keluarga mereka berisiko dibakar hidup-hidup di dalam rumah mereka sendiri.

Tidak apabila isteri dan anak perempuan mereka dicabul.

Tidak apabila komuniti mereka dimusnahkan, rakyat hidup melarat dan berselerak.

Tidak apabila masa depan generasi muda mereka - pendidikan mereka, yang sepatutnya menjadi sinar untuk menerangi kehidupan mereka apabila dewasa - dimusnahkan di depan mata mereka.

Malaysia secara konsisten menyuarakan kebimbangannya terhadap penderitaan etnik Rohingya. Di samping itu, kami telah dan akan terus menyediakan bantuan kemanusiaan menerusi NGO kami, serta perlin­dungan sementara bagi pelarian Rohingya yang ada di Malaysia sekarang, sementara menunggu penempatan semula mereka oleh UNHCR atau kembali semula ke Myanmar.

Dan bantuan kami di Myanmar bukan sahaja untuk golongan Muslim tetapi juga bagi semua yang memerlukannya di kawasan terjejas.

Pada masa ini, MERCY Malaysia berjaya menubuhkan klinik-klinik statik dan bergerak di Sittwe, negeri Rakhine, dengan kerjasama NGO tempatan, sebagai sebahagian daripada usaha yang sedang diambil untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada Orang Pelarian Dalaman di Myanmar.

Saya juga gembira dapat mengumumkan yang Malaysia akan menyumbang sejumlah RM10 juta bagi membantu usaha-usaha kemanusiaan dan projek-projek pemulihan sosial di negeri Rakhine. Dana ini akan diguna untuk membina infrastruktur seperti institusi pendidikan dan perubatan yang akan menyumbang kepada pembangunan di sana dan menambah baik kualiti kehidupan rakyatnya.

Malaysia juga akan terus menghulurkan sokongan kami kepada pembangunan sumber manusia menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). Pada masa ini Myanmar adalah penerima terbesar MTCP dalam kalangan negara ASEAN dan inisiatif-inisiatif pembinaan keupayaan yang ditawarkannya adalah bahagian penting dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang berdaya maju.

Saya menggalakkan dan meng­alu-alukan sebarang ikrar bantuan dari negara-negara anggota.

Sesungguhnya, saya menyeru OIC, atas nama dan semangat persaudaraan Islam, untuk mengiktiraf bahawa menjadi tanggungjawab bersama kita untuk membantu saudara dan saudari seagama kita di negeri Rakhine.

Adalah penting untuk kita melakukan segala yang terdaya bagi menyelamatkan mereka daripada tragedi kemanusiaan yang ditanggung mereka; dan untuk membantu menyediakan mereka akan masa depan yang selamat, mampan, serta berciri maruah yang sepatutnya menjadi hak setiap manusia.

Malaysia sentiasa berpegang pada konsep wasatiyah, atau kesederhanaan, yang mendukung nilai-nilai saling menghormati, persefahaman dan toleransi. Seiring dengan ini, kami percaya sebarang konflik harus diselesaikan secara aman, seiring dengan prinsip-prinsip ajaran Islam.

Sebagai sebuah negara pelbagai kaum dan pelbagai agama, kami sangat berpegang pada nilai-nilai ini, seperti mana yang kami lakukan sepanjang perjalanan kenegaraan kami. Kami percaya wasatiyah boleh dan sepatutnya menyumbang ke arah pembentukan dunia yang lebih aman, selamat dan saksama.

Seiring itu juga, kami menggesa kerajaan Myanmar menggalakkan dialog antara agama dan antara budaya bagi mengekang penyebaran diskriminasi dan prejudis terhadap orang Islam dan anggota kelompok etnik, agama dan bahasa minoriti di seluruh negara itu.

Saya harap, menerusi perbincangan kita di dalam dewan ini, kita akan secara kolektif dapat mengusulkan tindakan serta langkah bagi menangani situasi minoriti Islam Rohingya di Myanmar.

Menjadi tugas OIC untuk memastikan masyarakat antarabangsa menumpukan perhatian kepada penderitaan etnik Ro­hingya, dan saya berterima kasih kepada anda semua kerana me­nerima undangan Malaysia untuk membincangkan perkara ini pada kadar segera hari ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, Kita memperjuangkan hak Rohingya, seperti mana kita terus berbuat demikian untuk saudara dan saudari kita di Palestin. Penerimaan Resolusi 2334 yang diketengahkan dan ditaja bersama oleh Malaysia pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, bergema di seluruh dunia.

Walaupun penggal Malaysia sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan telah tamat, Malaysia akan terus memainkan pe­ranan aktif sebagai negara anggota PBB dalam usaha ke arah mencari penyelesaian aman kepada kon­flik Palestin-Israel.

Kami akan terus menyokong hak-hak sah rakyat Palestin untuk sebuah negara merdeka menerusi pewujudan dua buah negara, Palestin dan Israel, terletak se­belah-menyebelah, berdasarkan sempadan 1967, dengan timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Hari ini kita ada perjuangan baharu yang mesti kita sokong secara bersama - untuk Rohingya dan juga pengakhiran kepada kesengsaraan, penindasan dan kematian yang ditanggung mereka sejak sekian lama.

Kita tidak boleh sekadar melihat dan tidak melakukan apa-apa. Kita mewakili 57 negara dan populasi digabungkan melebihi 1.6 bilion.

Piagam kita menyuruh kita, terutamanya “membantu mino­riti Islam dan masyarakat selain negara anggota untuk memelihara maruah, budaya dan identiti agama mereka”.

Kita mesti sama dalam cabaran ini. Kita mesti menunjukkan pertubuhan ini benar-benar sahabat dan penjamin Islam di mana sahaja. Kita mesti tunjukkan walaupun kita mungkin mempunyai perbezaan, ummah akan bersatu dalam mempertahankan saudara dan saudari kita semasa mereka memerlukan.

Marilah kita berdoa agar Allah merahmati usaha mulia kita - demi Rohingya, demi ummah, dan demi semua umat manusia.

Terima kasih.