Terbaharu kelmarin daripada seorang rakan sebuah akhbar dengan syor-syornya. Malah ada yang tweet Tumpang merumuskan untuk orang Melayu bersatu semula, bangsa itu mesti diletakkan di bawah sebuah parti Melayu yang berkuasa.

Tidak kurang juga mendakwa orang Melayu kini berpecah kerana parti Melayu bekas pemerintah itu kalah.Tapi bagi Tumpang setelah mengamati syor-syor tadi, cuma satu saja nak tambah.

Yakni, ‘penyakit’ ini yang kalau dibuang, nescaya orang Melayu dan parti-parti politik Melayu boleh bersatu iaitu talam dua muka atau gunting dalam lipatan.

Dalam peribahasa Melayu sering didengar tiga perkataan ini dipadankan dengan ‘musuh dalam selimut’ dan ‘duri dalam daging’. Semua ini membawa pengertian sama - musuh yang muncul dari orang dalam kita sendiri.

Tak perlu pergi jauh. Baca sejarah kisah pembelotan Si Kitol yang sering diperdengarkan dari satu generasi ke satu generasi.

Catatan ketua panglima Portugis, Alfonso di Alburqueque sendiri menyebut, setelah Kota Melaka dikalahkan, Portugis merampas 3,000 pucuk meriam. Katanya, itu baru separuh daripada meriam milik Melaka.

Maknanya kota itu sudah ada 6,000 pucuk meriam ketika itu dan ini adalah cerita 500 tahun dahulu. Ada cerita menyebut, orang Portugis terjumpa satu benda ajaib di istana Melaka.

Bila dipandang objek tersebut, muncullah muka manusia di dalamnya.Apabila diteliti balik, muka manusia itu adalah muka orang yang memandang.

Rupa-rupanya objek itu adalah cermin. Tetapi orang Portugis baru kali pertama melihatnya.

Jadi, siapakah yang kuno dan siapakah yang lebih bertamadun? Kalau orang Melaka sudah bertamadun lebih tinggi daripada Portugis, kenapa pula boleh jatuh ke tangan Barat?

Kerajaan yang begini hebat di Nusantara hanya boleh ditewaskan gabungan tentera-tentera Portugis, kerajaan-kerajaan kecil di Sumatera dan Jawa, askar-askar upahan dari Goa, Jawa dan Siam.

Ini ditambah dengan pembelot dan pengkhianat daripada para pedagang asing dan dalam kalangan orang Melayu sendiri. Melaka jatuh bukan kerana orang Melayu kuno, malas.

Dari dahulu lagi Melaka sudah memiliki meriam-meriam besar, pemuras, istinggar dan lain-lain senjata api. Melayu juga sudah mengenal apa itu baju besi dan sudah mahir menempa baju besi untuk kegunaan ketenteraan.

Mereka yang memilih untuk berlawan dengan keris, tombak dan lembing pula bukan calang-calang orang.

Ada cerita lama orang tua-tua Melayu menyebut kebanyakan kapal yang menyerang Kota Melaka sebenarnya bukan milik Portugis tetapi Melayu, kapal angkatan laut Melaka juga.

Satu laporan Portugis pula menyebut mereka ada ternampak sebuah angkatan laut yang dikenalpasti milik orang Melayu sedang disediakan untuk menyerang dari satu tempat di perairan Melaka.

Mungkin benar Tun Mutahir sedang bersiap-sedia untuk merampas takhta atau ada pihak lain bertanggungjawab tetapi menuduh bendahara pula yang ingin berlaku khianat?

Yang pasti, ada pihak yang membelot. Si Kitol dan Raja Mendeliar sudah pasti. Apakah masih ada pembelot lain yang terlepas daripada catatan sejarah?

Kisah talam dua muka dalam politik bukanlah baharu. Tamadun Islam sejak dari dulu sering dihantui pengkhianat dalaman.

Empayar Turki Uthmaniyyah dahulu sangat hebat dan setelah pelbagai kegemilangan dikecapi, para pemimpinnya menjadi makin lalai dan jauh dari Allah.

Akibatnya, si pengkhianat mengambil alih pemerintahan dan terus mengubah wajah Turki 100 peratus.

Banyak ulama dibunuh, wanita dilarang memakai tudung, pekerja tidak boleh keluar sembahyang ketika waktu solat, azan tidak berkumandang, sebaliknya lagu kebangsaan dimainkan bagi menandakan masuk waktu solat.

Tapi Alhamdulillah Turki kini bangkit semula atas platform Islam. Si talam dua muka atau gunting dalam lipatan jika dapat disingkirkan dari parti-parti politik Melayu, Insya-Allah mana-mana parti berteras Melayu berkenaan bisa bangkit semula.

Dan setakat ini ‘mereka terbabit’ dari UMNO telah pun mendedahkan pekung dengan cara lompat keluar sebagai wakil Bebas atau sertai parti lain.

Cuma buat ahli Parlimen UMNO yang masih berbaki 38 orang, jangan pula anda teruja dengan si pelompat parti.

Bak kata pepatah Inggeris One swallow does not make a summer (Takkanlah dek kerana seekor burung lelayang, kita merasakan musim panas sudah tiba?)

Atau peribahasa Melayu menyebut: Janganlah kerana mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan.