MINGGUAN: Kenapa bank dan institusi kewangan menggunakan khidmat agensi pengutip hutang di Malaysia?

MOHD. KHAIRUL AZAM: Apabila seseorang itu berhutang, pihak penuntut seperti bank atau institusi kewangan ada masa enam tahun sahaja untuk buat apa-apa tuntutan sivil melalui proses mahkamah, bermula dari tarikh hutang tidak dibayar. Selepas tempoh enam tahun itu, mereka tidak boleh lagi tuntut melalui mahkamah dan dikira sebagai hutang lapuk yang dikawal bawah Akta Perbatasan.

Memandangkan ada banyak hutang tak dibayar menyebabkan institusi kewangan menggunakan khidmat agensi pengutip hutang yang dibayar komisen mengikut jumlah hutang berjaya dikutip. Bilangan agensi ini semakin bercambah tetapi masalahnya adalah kaedah digunakan khususnya untuk menakutkan, mengugut dan menipu menggunakan ‘bahasa perundangan’.

Orang ramai ditakut-takutkan agensi pengutip hutang ini dengan proses undang-undang yang sebenarnya tidak boleh dikuatkuasakan ke atas mereka selepas tempoh enam tahun tersebut, khususnya prosedur sita dan diisytihar muflis.

Jadi, proses penyitaan dan isytihar muflis mengikut prosedur mahkamah?

MOHD. KHAIRUL AZAM: Pertama sekali, institusi kewangan perlu dapatkan penghakiman mahkamah. Contohnya ada hutang RM25,000 yang tidak dibayar, maka mahkamah akan keluar perintah untuk bayar jumlah itu. Peguam akan sampaikan penghakiman ini kepada penghutang yang diberikan tempoh 14 hari untuk membayarnya.

Jika gagal, pihak penuntut perlu pergi semula ke mahkamah untuk tindakan kedua iaitu dapatkan writ penyitaan dan penjualan. Ini satu penghakiman atau perintah baharu dari mahkamah yang membenarkan bailif mahkamah, bukannya peguam atau pihak lain, laksanakan proses penyitaan.

Bailif perlu hadir ke premis orang berhutang mengikut notis rasmi memaklumkan satu tarikh khusus untuk memulakan proses menyita. Peguam hanya boleh mengiringi bailif dan proses ini bukannya dengan pecah masuk rumah penghutang. Bailif akan membuat penilaian barang yang boleh disita.

Hanya barang di ruang tamu dan dapur boleh disita, kecuali peti ais, malah bilik tidur juga tidak boleh masuk langsung. Barang yang disita akan dilelong pada tarikh berbeza.

Katakan lelongan barang disita mengutip RM5,000, maka baki RM20,000 boleh diusahakan melalui kaedah lain pula.

Mana-mana pihak sekalipun tidak boleh tampal notis atau pita kuning penyitaan dan lelong pada pagar rumah orang lain mahupun tiba-tiba menghantar lori untuk merampas harta benda penghutang, semuanya dilakukan bailif mengikut prosedur mahkamah menggunakan dokumen rasmi.

Kerajaan juga telah meminda Akta Kebankrapan 1967 dengan meningkatkan kadar hutang dari RM30,000 kepada RM50,000 untuk membolehkan seseorang diisytihar muflis. Maka, orang ramai perlu berhati-hati jika ada panggilan telefon dari agensi pengutip hutang ini kerana mahkamah, polis, Pejabat Peguam Negara mahupun Bank Negara tidak pernah dan tidak akan menghubungi anda melalui telefon. Sebarang urusan rasmi mesti melalui dokumen dan surat rasmi.

Boleh kongsikan kes-kes yang pernah dilaporkan berkaitan agensi pengutip hutang ini?

MOHD. KHAIRUL AZAM: Ramai yang bertanya melalui Facebook sama ada betul rumah mereka boleh disita dengan pelbagai amaran dan notis ‘palsu’ kerana agensi pengutip hutang menggunakan bahasa perundangan malah dokumen mahkamah pun boleh diperoleh melalui Internet.

Ada yang ditampal gambar mereka di tempat awam seperti dilakukan ah long, kebanyakan kes di Lembah Klang. Ada juga pengguna yang takut dan bayar tetapi hutang tidak berkurangan dan masih disenarai hitam Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS).

Ada mengadu hutang kad kredit baru RM3,000 sudah diugut muflis, bakal hilang kerja. Ada beli telefon bimbit harga RM3,000, gagal bayar bayaran bulanan dan diugut muflis, hilang pekerjaan dan bakal dihadap ke mahkamah.

Selain ugutan berterusan, ada juga yang tunggu di depan rumah seperti gangster minta bayar hutang. Tujuan kutip hutang itu betul tetapi ugutan itu tetap satu bentuk jenayah.

Jika umum mempunyai ilmu asas had perundangan sita dan muflis, tidak perlu rasa takut tetapi ada yang percaya hutang suami boleh menyebabkan isteri turut muflis serta hilang pekerjaan.

Trend terbaharu, ada agensi pengutip hutang ini ‘curi’ talian telefon mahkamah, ibu pejabat polis malah ada yang menggunakan talian rasmi Bank Negara dan Pejabat Peguam Negara. Jika dihubungi semula nombor tersebut akan masuk ke pejabat berkaitan tetapi pegawai yang menelefon tadi ‘tidak wujud’.

Apakah yang boleh dilakukan orang ramai jika dihubungi agensi pengutip hutang?

MOHD. KHAIRUL AZAM: Pertama sekali jangan takut. Apaila takut akan hilang pertimbangan dan bertindak secara tidak rasional. Jangan mudah percaya dengan ‘dokumen mahkamah’. Jumpalah peguam terdekat untuk pastikan dokumen itu sah atau palsu serta tanya langkah yang boleh diambil.

Jika terbukti penipuan atau ada unsur ugutan dan cuba mendatangkan ketakutan, mangsa boleh buat laporan polis. Sekiranya tindakan agensi tersebut boleh cetuskan klausa fitnah, contohnya adik berhutang guna alamat rumah abang tetapi abang pula diugut dan diserang sehingga jiran tetangga pun tahu.

Maka boleh kemukakan saman sivil terhadap agensi pengutip hutang kerana memalukan, mencederakan mahupun merosakkan harta persendirian.Saya bukan mengatakan ‘tidak perlu bayar hutang’, hutang kecil atau besar perlu dibayar sekalipun sudah melebihi tempoh enam tahun untuk proses perundangan tersebut.

Kita perlu menjadi manusia bertanggungjawab, sekalipun tidak mampu bayar banyak bayar sedikit-sedikit tetapi pihak bank dan agensi pengutip hutang juga perlu guna cara betul, bukannya ugutan.

Kenapa agensi pengutip hutang semakin bercambah sedangkan operasi mereka seolah-olah mencabar undang-undang negara?

SHAHARUDIN: Jika mengikut proses perundangan mahkamah tiada masalah tetapi agensi pengutip hutang menggunakan beberapa teknik yang tidak sah dan tidak betul.

Ini seperti menakut-nakutkan penghutang dengan kerap dan berterusan, menggunakan dokumen palsu, menggunakan nombor telefon palsu dan mengenalkan diri secara palsu termasuk menyamar sebagai pegawai mahkamah, bank mahupun pejabat peguam.

Agensi sebegini kelihatan bercambah dan menular kerana sekarang semakin sukar untuk dapatkan perintah muflis terhadap mana-mana individu berbanding dahulu. Bila susah untuk gunakan teknik muflis dan langkau had masa enam tahun proses perundangan, maka bank atau agensi kewangan guna agensi pengutip hutang dengan kadar komisen tertentu ikut jumlah hutang berjaya dikutip.

Kontrak bank dan agensi tersebut sah kerana mereka entiti yang berdaftar, cuma kaedah digunakan pengutip hutang tidak dinyatakan dalam perjanjian dengan bank.

Melihatkan ‘keghairahan’ agensi pengutip hutang, saya sarankan kerajaan arah bank dan institusi kewangan dedah jumlah komisen yang diberikan. Di kebanyakan negara lain, kontrak ini ditentukan mahkamah dan tidak boleh dibuat sebarangan, ada kod etika dan macam-macam peraturan yang boleh dan tidak boleh buat.

Di negara kita belum ada pemantauan dan kawal selia aktiviti agensi pengutip hutang. Pindaan Akta Profesion Undang-undang 1976 menjadikan satu kesalahan bagi pihak lain melakukan kerja-kerja lazim dilakukan seorang peguam tetapi pengutip hutang dikatakan berada ‘atas sempadan’ sedangkan mereka berani menghantar ‘surat tuntutan’ yang lazimnya kerja seorang peguam.

Adakah masalah penyalahgunaan undang-undang hutang lapuk ini dapat diselesaikan?

SHAHARUDIN: Malaysia adalah antara negara yang mempunyai hutang isi rumah tertinggi di dunia maka masalah pengutip hutang ini nampaknya akan berpanjangan dengan pelbagai kaedah ‘licik’ mereka.

Masalah CTOS dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) tidak begitu diperbesarkan orang ramai kini tetapi hutang lapuk masih juga dilayan sedangkan sudah tidak sah dituntut di mahkamah.

Saya minta kerajaan dan Bank Negara lihat kembali amalan Bank Negara menyenarai hitam orang disebabkan hutang-hutang lapuk ini yang tidak boleh diiktiraf undang-undang lagi. Hutang ‘luput masa’ ini tidak patut dibenarkan disenaraikan dalam CTOS atau CCRIS lagi.

Hutang memang perlu dibayar tetapi pantau juga penularan kumpulan-kumpulan yang berani menangguk di air keruh.