Empat hari selepas menang, Prabakaran yang cuma berumur 22 tahun menyertai PKR.

Prabakaran mengalahkan tiga pencabarnya yang lain dari Barisan Nasional (BN), Dominic Lau Hoe Chai, Azhar Yahya (Pas) dan VM Panjamothy (Bebas).

Kerusi Batu sebelum itu disandang Naib Presiden PKR Tian Chua dari PKR sejak 2008. Namun pada PRU itu pencalonan Tian Chua ditolak pegawai pengurus pilihan raya atas alasan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mac (2018) mengenakan denda RM2,000 ke atas beliau kerana mengeluarkan perkataan kesat yang mengaibkan seorang pegawai polis. Meletakkan Prabakaran sebagai calon mesra PKR strategi bijak dalam politik.

Dan benar rumusan Sun Tzu, seorang ahli falsafah, jeneral dan ahli strategi peperangan terkenal dari China dalam bukunya The Art Of War - senjata paling ampuh dalam sebuah peperangan adalah strategi.

Perang ala gerila misalnya suatu perang secara sembunyi-sembunyi dan menyerang musuh sewaktu lengah. Gerila sendiri berasal dari bahasa Sepanyol, Guerrilla bererti perang kecil. Strategi ini juga yang diterapkan oleh bangsa Indonesia untuk melawan penjajahan.

Kamikaze

Kamikaze pula strategi perang yang didefinisikan menggunakan pesawat untuk dihempaskan ke pihak lawan. Pencetus strategi ini adalah Laksamana Takijiro Ohnishi, Komandan Armada Udara I di Filipina. Tradisi Bushido yang sudah mendarah daging bangsa Jepun memastikan mereka rela berkorban demi maharaja atau negaranya. Bahkan tradisi ini sudah dilakukan dari zaman samurai.

Begitulah, strategi parti mana yang paling berkesan dan licik akan menjadi kunci kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands 24 Januari ini. Walaupun beban kelihatan kepada BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu, namun pemberatnya masih di bahu Pakatan Harapan (PH). Ini berikutan PRK kali kelima selepas PRU-14 itu buat pertama kali menyaksikan kerusi BN dipertandingkan. Semua PRK sebelum ini - Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson - disandang PH, yang kemudian berjaya dipertahankan. Maka, sudah pasti PH akan berhempas pulas menguasai Cameron Highlands untuk ‘memuktamadkan’ siri kemenangan mereka dari empat PKR pasca PRU-14 berkenaan.

Sehingga semalam sudah tular di media sosial seorang bekas pegawai polis, Ramli Mohd. Noor, suku Semai dari Pos Mensoon dikatakan akan menjadi calon mesra BN di Cameron Highlands. Andai benar nama Ramli dimuktamadkan hari ini, ia bermakna percaturan BN lebih realistik dalam menempuh asakan politik era Malaysia Baharu.

Lebih penting lagi, BN perlu berani menongkah arus cabaran politik hari ini dengan mengetepikan persoalan kerusi tradisi, asalkan sahaja boleh mencapai kemenangan.

Dan realitinya, kerajaan terdahulu memberi layanan yang baik kepada Orang Asli. Selama ini masyarakat Orang Asli memberi sokongan padu kepada BN kerana percaya hanya parti berkenaan mampu membela nasib Orang Asli.

Undi Orang Asli penentu

Di Cameron Highlands, antara kawasan paling ramai pengundi Orang Asli adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, selain Parlimen Rompin, Gua Musang, Sungai Siput dan Gerik.

Dikatakan undi penentu di Cameron Highlands kelak bergantung di tangan 6,964 pengundi Orang Asli. Mereka meliputi lebih 21% pengundi di situ.

MIC yang menang tipis 462 dan 597 undi masing-masing dalam PRU-13 dan PRU-14 pun faktornya kerana sokongan Orang Asli.

Komposisi pengundi di Cameron Highlands merangkumi Melayu sebanyak 10,820 (34%), Cina 9,524 (30%) dan India 4,798 (15%).

Pada 9 Mei tahun lepas, lebih 60% daripada pengundi Melayu menyokong BN. Sebahagian pengundi Melayu pula berpihak Pas iaitu seramai lebih 3,500 orang.

Dari dulu, undi Melayu di Cameron Highlands tidak menyeberangi PKR atau DAP.

Pengundi Cina? Sudah terang lagi bersuluh, momentum mereka sama pasti kesemuanya mengundi DAP kali ini.

Undi India pula akan berpecah empat untuk BN, DAP, MyPPP dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Dan penentu kemenangannya nanti, pengundi Orang Asli kah?

Isu yang terus 
jadi polemik:

1Waytha Moorthy

WAYTHA MOORTHY
WAYTHA MOORTHY 

Petisyen mendesak Senator P. Waytha Moorthy meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ditandatangani lebih ratusan ribu orang Disember tahun lepas.

Petisyen menerusi tandatangan dalam talian Change.org itu dilancarkan sejak November 2018 dan digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS).

Antara lain ia berikutan tindakan Waytha Moorthy yang memburukkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa dengan menyebarkan fitnah kononnya rakyat negara ini yang beragama Hindu ditindas.

Dia yang berkeras mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) didakwa gagal mengawal ketegangan kaum yang agak memuncak kebelakangan ini walaupun diberikan mandat untuk berbuat demikian sebagai menteri serta mempunyai latar belakang yang agak kontroversi.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin turut menyifatkan Waytha Moorthy telah hilang kelayakan sebagai menteri malah telah menjadi watak yang memecahbelahkan (divisive).

Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu, katanya, perlu meletakkan jawatan daripada terus membebankan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

2 Kematian 
Muhammad Adib

ALLAHYARHAM MUHAMMAD ADIB MOHD KASSIM
ALLAHYARHAM MUHAMMAD ADIB MOHD KASSIM 

Sehingga hari ini desakan demi desakan masih kedengaran supaya mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim dibawa ke muka pengadilan serta dihukum sekeras-kerasnya.

Banyak pihak menggesa polis dan Jabatan Peguam Negara segera menyempurnakan siasatan terhadap kes anggota bomba itu.

Kerajaan sebelum ini menyerahkan kepada Peguam Negara untuk mengarahkan Majistret membuat inkues menentukan sebab kematian.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam prosiding inkues itu, Majistret akan mempunyai kuasa luas mengikut Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian. Sebelum ini, empat lelaki dipercayai terbabit dalam insiden Allahyarham parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dibebaskan daripada tahanan reman, pada 10 Disember lalu.

Dua suspek dibebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM2,000 manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Semua mereka yang berusia antara 21 hingga 24 tahun sebelum ini telah direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Muhammad Adib, 24, disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam pada 17 Disember lalu selepas tiga minggu bertarung nyawa dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di kuil berkenaan, 27 November lalu.