Secara umum, pelaburan dibuat bertujuan mendapatkan pulangan pada masa hadapan. Pelaburan boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti melabur dalam aset seperti hartanah, pasaran saham dan pasaran bon. Me­labur bukan boleh dilakukan dengan semberono.

Melabur memerlukan strategi melibatkan kemahiran, pengalaman dan analisis secara mendalam. Misalnya, seseorang yang melabur dalam hartanah, mereka ini perlu mengetahui sejauh manakah nilai hartanah di sesuatu kawasan itu bernilai tinggi.

Jika mereka ingin melabur dalam sesebuah perniagaan, mereka perlu mengetahui sejauh manakah ­model perniagaan tersebut berjalan dengan baik. Prospek produk yang ingin ditawarkan kepada bakal pelanggan juga perlu diteliti terutamanya dari segi memenuhi permintaan dan keupayaan kewangan bakal pembeli.

Bagi mereka yang memilih untuk melabur dengan menyimpan wang dalam institusi pelaburan yang diyakini, cara sebegini lebih mudah kerana wang disimpan akan dilaburkan semula oleh institusi berkenaan ke atas pelaburan yang boleh memberi pulangan terbaik buat penyimpan.

Malangnya, ada yang sanggup mengambil risiko ­melabur dalam pelbagai jenis pelaburan yang mencurigakan. Pelbagai skim pelaburan yang mana sebahagiannya berunsur penipuan yang ak­hirnya merugikan pelabur. Ada yang ditipu sehingga terpaksa berhutang keliling pinggang dek kerana tidak memiliki wang simpanan lagi bagi meneruskan kehidupan seharian.

Dalam hal ini, sebenarnya pe­la­buran juga perlu dilakukan dengan berhati-hati dan teliti di samping mengetahui isu-isu tempatan dan dunia yang boleh memberi kesan terhadap sebarang pelaburan.

Begitu juga b­agi pelabur insti­tusi seperti KWSP, mereka ini terdiri daripada pakar yang cukup mahir dalam pelaburan. Mana mungkin KWSP melabur semberono tanpa memikirkan risiko.

Dengan jumlah wang yang dicarum oleh para pekerja cukup besar, maka wang tersebut perlu dilaburkan de­ngan sebaik mungkin agar dapat memberi pulangan terbaik buat pencarum. Sehingga kini, pulangan setiap tahun yang diumumkan cukup kompetitif buat pencarum.

Dengan kata mudah, KWSP mampu mengisytiharkan pulangan yang tinggi kerana strategi pelaburan mereka yang ampuh dan pada masa sama mendapat hasil sebagaimana yang diinginkan.

Mengikut rekod, sejumlah 28 sehingga 29 peratus atau AS$50 bilion daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP berjumlah AS$180 bilion dilaburkan di luar negara. Kenapakah KWSP perlu melabur di luar negara?

KWSP perlu membuat pelaburan menguntungkan pencarum. Itu bukan bermakna pelaburan domestik tidak menguntungkan. Pelaburan domestik tetap dilakukan dengan menjadi pemegang saham syarikat-syarikat terkemuka Malaysia disenaraikan di Bursa Malaysia, mi­salnya, namun melabur dalam pasaran domestik semata-mata tidak mencukupi.

KWSP juga perlu membuat pelaburan luar negara memandangkan strategi pelaburan tidak boleh hanya tertumpu dalam negara semata-mata kerana ini boleh mendatangkan risiko kepada pelaburan tersebut.

Contoh mudah, seseorang tidak akan melabur dalam satu jenis pelaburan semata-mata kerana akhirnya jika berlaku masalah besar terhadap pelaburan tersebut,­­ ­keseluruhan wang yang digunakan untuk melabur akan hilang kesemuanya.

Sebab itulah pelabur yang baik perlu melabur dalam pelbagai jenis pelaburan tidak kira dalam dan luar negara. Dalam konteks ini, KWSP mempelbagaikan pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap, ekuiti, hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang.

Bahkan pelaburan luar negara tidak tertumpu pada sesebuah negara. Misalnya, KWSP hanya membuat pelaburan sebanyak 17 peratus atau AS$8.5 bilion di Amerika Syarikat (AS) daripada keseluruhan pelaburan luar negaranya sebanyak AS$50 bilion. Ini bermaksud, pelaburan yang dibuat di AS tidaklah begitu berisiko kerana hanya 4.72 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP berjumlah AS$180 bilion.

Bahkan, pastinya KWSP telah melakukan analisis mendalam sebelum membuat keputusan pelaburan. Tidak cukup dengan itu, setiap pelaburan luar negara memerlukan kelulusan pelbagai peringkat. Memandangkan KWSP amat mahir dan teliti dalam membuat pelaburan, maka pelaburan luar negara telah memberi sumbangan yang bermakna terhadap pendapatannya.

Misalnya tahun lalu sahaja, aset pelaburan luar negara adalah sebanyak 29 peratus yang memberi pulangan kepada pendapatannya sebanyak 39 peratus. Jika tidak memiliki keupayaan dan kemahiran melabur, maka mustahil KWSP mampu melakukan strategi pelaburan yang menguntungkan para pencarum.

Institusi ini telah merekodkan peningkatan pendapatan pelaburan sebanyak RM11.51 bilion dalam suku kedua tahun ini berbanding hanya RM8.44 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Jadi, ini jelas membuktikan bahawa strategi pelaburan KWSP cukup ampuh dalam memberi pulangan terbaik buat para pencarumnya.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan

Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).