Ada yang mengongsi terus keadaan jalan di kawasan rumah mereka yang sebelum ini berlubang sudah mula ditar. Ada yang menganggap saya sarkastik apabila menyertakan pertanyaan pada status, “Apa khabar jalan di tempat anda sekarang ini ye? Agak-agaknya dah cantik dan tak berlubang...maklumlah ‘raya’ dah dekat”. Tidak kurang juga yang menasihatkan saya agar berhati-hati kerana mungkin ada pihak yang kurang senang dengan status tersebut.

Terus-terang saya tidak rasa salah apabila mengemukakan soalan yang mungkin dianggap oleh sesetengah pihak sebagai sarkastik atau memerli pihak berkuasa. Memang pun saya berharap pihak berkuasa terasa dengan tulisan ini dan mengambil serius dalam soal menjaga kualiti jalan raya di negara kita. Lebih baik jika ada respon atau maklum balas yang positif dan proaktif di pihak berkuasa memperbaiki segera keadaan sesetengah jalan raya yang kadang kala tidak layak ‘memakai’ taraf jalan Persekutuan dan negeri.

Kalau jalan kampung, boleh lagi diterima. Sebaliknya jalan-jalan ini terletak di tengah ibukota dan ibu negeri yang ada antaranya berstatus bandar raya.

Malanglah jika ada yang menganggap penulis sengaja mencetuskan isu ini untuk ‘mengenakan’ Kerajaan Barisan Nasional (BN) apatah lagi menjelang pilihan raya umum yang semakin hampir.

Hal ini kerana, tulisan ini tidak ditujukan kepada jalan-jalan di kawasan yang dikuasai BN semata-mata, bahkan yang berada di bawah pemerintahan kerajaan negeri pembangkang juga.

Jika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau ‘buta warna’ apabila menyentuh soal pendidikan dan kebajikan rakyat, penulis pula ‘buta warna’ dalam soal menjaga kualiti jalan raya di negara kita.

Bagi penulis, pihak berkuasa daripada Kerajaan Pusat, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan malah wakil rakyat dan pemimpin setempat, kesemuanya bertanggungjawab dalam hal ini.

Janganlah hanya kerana membangkitkan masalah jalan berlubang, tidak rata dan berbonggol-bonggol sehingga membahayakan pengguna, maka kita dikatakan cuba ‘menyerang’ kerajaan. Jauh lebih malang jika ada puak-puak yang mendakwa tindakan itu sebagai cubaan ‘menyerang’ kepemimpinan Perdana Menteri.

Yang dibangkitkan masalah kualiti jalan di kawasan tertentu, jadi yang patut bertanggungjawab ialah pihak berkuasa dan wakil rakyat di kawasan terbabit. Apa pula kena-mengena dengan Perdana Menteri?

Jika yang dibangkitkan soal kualiti jalan di Kuala Lumpur, tentulah yang patut bertanggungjawab ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Begitu juga apabila penulis membangkitkan kualiti Jalan Universiti di Shah Alam, tentulah yang patut terasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan wakil rakyatnya.

Malangnya trend yang berlaku kebelakangan ini, jika ada sahaja masalah yang dibangkitkan di satu-satu kawasan, atau membabitkan satu-satu isu, dengan pantas dan tanpa belas ‘orang yang bersuara’ itu akan dihentam kiri kanan seolah-olah mahu menjatuhkan kerajaan atau pemimpin tertinggi negara dengan teguran yang dibuat.

Pihak berkuasa yang bermasalah, wakil rakyat yang tidak kompeten dan tidak prihatin dengan tugas dan tanggungjawabnya tetapi Perdana Menteri pula yang diheret sama dalam permasalahan yang dicipta mereka. Trend ini semakin menjadi-jadi sehingga menimbulkan keresahan kepada rakyat seolah-olah mereka langsung tidak boleh bersuara, menyampaikan masalah. Bermula dengan isu kecil, jika dibiarkan berlarutan lama-kelamaan sudah tentu sahaja membukit.

Penulis percaya Perdana Menteri pun jika mengetahui duduk sebenar perkara, akan ‘berang’ dengan pihak berkuasa dan wakil rakyat yang tidak membuat kerja dengan betul menjaga kebajikan pengundi di kawasan mereka. Hal ini kerana kesannya beliau yang terkena, imej kerajaan yang terjejas. Malangnya puak-puak ini dengan tanpa silu menunggang nama Perdana Menteri untuk menutup kelemahan mereka.

Kita biasa mendengar orang berkata, “apabila VVIP datang melawat barulah tar jalan hitam berkilat” atau “tunggulah nanti dekat pilihan raya nescaya berturap cantiklah jalan raya sampai ke depan tangga”.

Kenapa ini berlaku? Tidakkah kerana ada penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan peruntukan di sini sana?

Ambil sahaja contoh projek pembinaan jalan pesisir pantai di Selangor terutama dari Sungai Besar ke Sabak Bernam yang berlubang-lubang, berkerikil dan bersimpang-siur sejak sebelum PRU-13 lagi, sekian lama terbiar sehinggakan tanah yang dikorek dan ditimbun di bahu jalan pun sudah ditumbuhi lalang setinggi dada. Alih-alih menghampiri PRU-14, projek ini kembali ‘bernyawa’ dengan jentera-jentera bergerak semula dan para pekerja sibuk bekerja seolah-olah tidak mengira masa.

Itu belum dikira jalan-jalan di sekitar pekan dan bandar yang sebelum ini bertompok-tompok tampalan tarnya manakala yang elok sedikit sekata warnanya tidak lagi hitam tetapi sudah lama bertukar kelabu cair, garisannya pudar bahkan menipis sehingga tayar kenderaan hilang cengkaman ketika melaluinya.

Apakah pengguna jalan raya, rakyat dan pengundi di kawasan berkenaan tidak layak merungut dan mengadu tentang keadaan jalan sebegini, yang membahayakan mereka?

Jika pengguna jalan raya, rakyat dan pengundi di kawasan berkenaan diberi kuasa untuk menanda ‘report card’ wakil rakyat di kawasan berkenaan, agak-agaknya adakah mereka layak diberi markah tinggi atau bak kata orang putih ‘flying colours’?

Fikir-fikirkan, jangan hanya tahu mengecam sahaja.