Selain faktor alam semula jadi, boleh dikatakan kebanyakan kejadian tanah runtuh di negara ini berpunca daripada sikap pemaju atau kontraktor yang gagal mengamalkan kejuruteraan cerun untuk pembangunan.

Lihat sahaja berlakunya pergerakan aliran air bawah tanah yang mengakibatkan salah satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers setinggi 12 tingkat runtuh pada 1993. Tragedi pangsapuri runtuh itu adalah yang pertama berlaku di negara kita, mengorbankan 48 nyawa.

Selepas tujuh tahun tragedi Highland Towers berlaku, pada 15 Mei 1999, negara sekali lagi digemparkan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang. Kira-kira 10,000 penduduk di tujuh kawasan perumahan terperangkap.

Tidak cukup dengan malapetaka itu, insiden tanah runtuh yang mengorbankan 16 orang di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa, Hulu Langat pada 21 Mei 2011, pukul 2.20 petang pula berlaku. Kejadian menyayat hati itu meninggalkan catatan perit di negara ini. Ketika kejadian, anak-anak yatim dikhabarkan sedang melakukan latihan nasyid bagi satu program di rumah tersebut.

Bercerita tentang misi mencari dan menyelamat (SAR) kejadian tanah runtuh, pastinya akan dikaitkan dengan kecekapan anggota penyelamat yang menjalankan tugas bagi menguruskan mangsa dan memastikan kawasan insiden selamat.

Wartawan S2 berpeluang menemui wira penyelamat bencana negara dalam beberapa insiden tanah runtuh, antaranya Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil, M. Kannan. Katanya, peristiwa menyelamatkan mangsa ketika kejadian kondominium Highland Towers 1993 masih terpahat dalam memorinya kerana ketika kejadian dia ditugaskan di situ.

“Walaupun sudah 24 tahun berlalu, setiap kali insiden tanah atau bangunan runtuh berlaku, saya pasti akan teringatkan peristiwa Highland Towers. Ketika kejadian itu, saya bekerja syif malam dan mendapat panggilan kecemasan daripada pembesar suara mengatakan ada kejadian ‘muncup merah’, bermaksud kemalangan skala besar dan saya terus bersiap sedia untuk ke lokasi kejadian.

“Apabila sampai di tempat kejadian, saya lihat bangunan tersebut tumbang, bukannya runtuh keseluruhannya. Tugas dan misi mencari dan menyelamat dimulakan segera. Pada masa itu, saya dan pasukan dapat menyelamat tiga mangsa iaitu seorang warga Indonesia, seorang bayi dan seorang warganegara Jepun. Namun warganegara Jepun itu meninggal dunia tidak lama kemudian di tempat kejadian,” katanya.

Dia yang pertama kali melihat bangunan runtuh seperti itu memberitahu, jika ada kejadian melibatkan bangunan runtuh, dia pasti akan terkenangkan insiden tersebut.

“Apabila mendapat berita mengenai kejadian bangunan runtuh akibat pergerakan tanah, saya pasti akan terfikir tentang keselamatan nyawa mangsa di tempat tersebut,” katanya.

Penyelia dan Pegawai Operasi, Suhaimi Shukor, 55, yang turut sama mengikuti operasi mencari dan menyelamat mangsa semasa runtuhan Highland Towers, berkata, dia terpaku melihat kejadian itu di hadapan mata.

“Seingat saya, belum pernah lagi kejadian seperti ini berlaku di negara kita. Jadi, saya terperanjat dan tidak sangka kondominium 12 tingkat boleh tumbang,” katanya yang bekerjasama dengan pasukan SAR dari Jepun dan Perancis.

Sementara itu, Pegawai Operasi dan Penyelamat Balai Bomba Pantai, Salmi Abdul Mukti, 51, memberitahu, semasa kejadian, dia sedang bercuti dan menawarkan diri untuk bertugas.

“Saya anggap kejadian runtuhan tersebut jarang berlaku dan mahu timba pengalaman baharu. Mungkin pada masa itu, semangat berkobar-kobar untuk menyelamatkan mangsa. Jadi, saya menawarkan diri untuk membantu pasukan SAR yang terlibat dalam operasi.

“Walaupun saya hanya bertugas di pos kawalan namun, saya turut melakukan tugasan seperti menyediakan laporan dari semasa ke semasa serta berinteraksi dengan keluarga mangsa,” katanya.

Tambah Salmi, pengalaman bertugas semasa insiden tersebut memberi peluang kepadanya untuk mengetuai operasi penyelamat membabitkan bangunan runtuh.

“Tindakan pantas anggota penyelamat memberi pertolongan membantu mengurangkan risiko mangsa dan secara peribadi, kita bertanggungjawab memastikan mangsa selamat dengan memberi bantuan segera,” katanya.