Pelbagai 'cerita' sudah timbul termasuk kononnya ada usaha untuk menidakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

Bagi mengupas sedikit sebanyak tentang isu-isu yang timbul dalam pemilihan parti itu, wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI menemu bual calon yang bertanding Majlis Pimpinan Pusat (MPP ), PKR , DATUK KAMARUDIN JAFFAR .

Dalam pertemuan kira-kira sejam di pejabat Timbalan Menteri Pengangkutan di Putrajaya, Kamarudin meminta semua calon dan penyokong mereka supaya tidak mengeluarkan tuduhan yang boleh merosakkan imej parti.

Dalam pertemuan tersebut, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu turut mengulas tentang pelbagai isu lain termasuk cabaran ketika mahu membentuk Kabinet.
 

MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat peralihan kuasa yang berlaku antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?

KAMARUDIN: Secara umumnya tidak dapat dinafikan peralihan kerajaan Malaysia hari ini adalah satu titik tolak atau detik bersejarah yang amat besar dalam negara ini. Mungkin tidak keterlaluan kalau saya katakan seperti juga disebutkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ini seolah-olah kemerdekaan kali kedua.

Saya pun bukanlah hendak 100 peratus menggunakan istilah itu tetapi jika kemerdekaan itu dianggap satu detik bersejarah yang penting, peralihan kerajaan ini juga detik bersejarah.

Saya boleh kata begini dari sudut positif kepada kepada semua pihak. Yang menang menerima kemenangan manakala yang kalah menerima kekalahan tanpa keganasan dan demonstrasi. Umumnya, peralihan politik berlaku aman dan agak lincir.

Bagi saya, ini adalah satu perubahan besar, detik bersejarah yang penting dan pengalaman dilalui oleh semua pihak adalah pengalaman yang sebenar.

Dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan PH, bagaimana Datuk melihat cabaran dan perubahan yang berlaku?

KAMARUDIN: Mungkin sekali lagi Dr. Mahathir agak terbuka sekali mengatakan kita buat manifesto hanya untuk pilihan raya dan tidak terlalu yakin kita boleh menang. Oleh itu terpaksa berhadapan dengan manifesto yang kita buat itu. Itu satu pengakuan yang menarik.

Apabila sudah jadi kerajaan dan tubuhkan Kabinet, itupun kita mesti akui tidak semudah kalau parti yang sama menang. Saya sebagai ahli PKR dan anggota PH, dapat melihat bahawa Dr. Mahathir berhadapan dengan cabaran yang besar untuk mewujudkan satu Kabinet yang boleh mengambil kira empat parti ini dan tambah dari Sabah dan Sarawak.

Saya fikir beliau terpaksa menerima kritikan atau perasaan tidak puas hati daripada parti-parti ini. Tetapi Dr. Mahathir ada jawapan standard, beliau kata, “Kalau semua tak puas hati, maknanya apa yang saya buat itu betullah.”

Tetapi itu adalah satu cabaran yang besar dan Dr. Mahathir telah mendepani dan akhirnya wujudlah Kabinet. Jadi sudah tentu kita mesti akui ini sebagai satu pergolakan baharu yang beliau telah hadapi.

Saya juga boleh katakan hanya Dr. Mahathir boleh melakukannya. Saya tak rasa pemimpin lain akan dapat lakukan. Beliau lakukan ini dalam suasana ada tuduhan atau tanggapan bahawa kalau pakatan menjadi kerajaan, Perdana Menteri adalah Melayu tetapi Timbalan Perdana Menteri mungkin seorang daripada DAP dan seorang lagi dari Sabah dan Sarawak.

Tetapi nampaknya Dr. Mahathir boleh melaksanakan dan mewujudkan Kabinet yang tak berbeza dari segi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menterinya. Yang berbeza mungkin Timbalan Perdana Menteri seorang wanita dan ini adalah satu pembaharuan dan pengiktirafan terhadap peranan besar PKR untuk memenangkan kerajaan dengan jumlah kerusi Parlimen terbesar.

Kemudian dalam pembentukan Kabinet itu juga, saya sendiri mengiktiraf pendirian kenegaraan oleh Lim Kit Siang yang tidak menuntut diberikan jawatan Kabinet. Pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan juga satu keputusan yang berani selepas puluhan tahun jawatan itu dipegang oleh orang Melayu setelah Tun Tan Siew Sin dahulu.

Pelantikan seorang menteri yang berusia 25 tahun juga adalah satu perubahan besar yang Dr. Mahathir lakukan. Jadi, saya rasa ini adalah perubahan-perubahan besar dalam tempoh 100 hari yang Dr. Mahathir dan PH telah lakukan.

Mengapa Datuk memilih bertanding di Bandar Tun Razak selepas empat penggal menjadi Ahli Parlimen Tumpat?

KAMARUDIN: Sebahagian besarnya ini pilihan saya sendiri. Saya menyertai PKR pada penghujung 2015. Saya memberi bayangan kepada pimpinan PKR bahawa kalau diberikan tempat untuk bertanding, saya berminat untuk mencuba di Bandar Tun Razak.

Pada dasarnya, pimpinan PKR pada masa itu bersetuju untuk memberi tempat kepada saya bertanding di Bandar Tun Razak dan melantik saya sebagai penyelaras Parlimen Bandar Tun Razak.

Dalam tahun-tahun akhir sebelum PRU-14, saya ada perasaan kalau saya hendak jadi wakil rakyat, tak kisah sama ada saya menjadi wakil rakyat di Kelantan atau Kuala Lumpur, selagi kita menjadi pembangkang, tidak ada apa yang boleh kita lakukan sangat.

Tetapi kalau kita jadi kerajaan, menang atau kalah di mana pun, kita boleh membantu rakyat. Saya tidak semestinya perlu menjadi Ahli Parlimen Tumpat untuk membantu Tumpat. Ini pendirian saya hari ini pun.

Walaupun saya tinggal di Kuala Lumpur sejak 1975 tapi saya tinggal dalam kawasan perumahan tapi di Bandar Tun Razak saya dapat pengalaman melihat kemiskinan bandar, baik dalam kalangan orang Melayu, Cina atau India. Mereka tinggal di rumah flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kemiskinan bandar amat kritikal.

Kalau kita pergi ke kawasan miskin luar bandar, kita tengok kawasan itu lengang, tak ada kereta sangat. Tapi kalau kawasan miskin bandar, kita tengok banyak kereta. Tapi itu rupanya bentuk kemiskinan bandar. Ini adalah cabaran baharu dan saya beritahu kawan-kawan, saya hendak bantu Bandar Tun Razak dan kemiskinan kota.

Apakah Datuk berasa kecewa apabila PH gagal menang di Kelantan dan Terengganu dalam PRU-14?

KAMARUDIN: Saya rasa keputusan pilihan raya baru-baru ini secara umumnya menunjukkan pengundi di seluruh negara sudah membuat keputusan yang pokok iaitu mereka ingin menukar kerajaan dan menolak kerajaan dan parti sebelum itu.

Tinggal lagi, implikasi kepada pemikiran begini berbeza. Di kebanyakan negeri lain menolak UMNO atau BN bererti mengundi PH. Tapi dalam kes di Kelantan, Terengganu dan beberapa tempat di Kedah dan Perlis, menolak BN dan UMNO boleh juga bererti mengundi Pas.

Oleh sebab itu, yang berjaya di Kelantan dan Terengganu adalah Pas dan bukan PKR atau Parti Amanah Negara (Amanah) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Saya lama terlibat di Kelantan dan saya fikir orang yang memerhatikannya mengetahui bahawa Kelantan, Terengganu serta sedikit sebanyak di Kedah dan Perlis, keberadaan Pas dan UMNO adalah amat mendalam.

Oleh sebab itu, tidak dapat dinafikan, tidak sebegitu mudah untuk parti ketiga mengambil peranan dominan pada pandangan atau dalam perkiraan pengundi. Ini bukan berlaku baru-baru ini.

Kita harus ingat dalam 1978 dahulu, kerajaan Pas Kelantan kalah bukan kerana parti UMNO dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) terlalu kuat. Tapi kerana UMNO dan Berjasa yang baru ditubuhkan bergabung untuk berhadapan Pas dan tidak membentuk parti baharu atau bertanding tiga penjuru.

Maknanya masyarakat dan pengundi di Kelantan dan Terengganu bersedia untuk menukar daripada UMNO kepada Pas atau daripada Pas kepada parti lain. Tetapi ia mestilah dilakukan melalui pertandingan dua penjuru dan bukan tiga penjuru.

 

Bercakap tentang pemilihan PKR, kenapa Datuk yang sudah lama dalam politik sekadar bertanding jawatan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP)?

KAMARUDIN: Saya tidak memberi tumpuan yang terlalu tinggi sangat sebab saya rasa banyak pilihan untuk ahli memilih. Saya akan berperanan untuk membantu pemimpin-pemimpin parti yang bertanding.

Saya juga menganggap saya sebagai muka baharu dalam PKR. Jadi tidak sesuai untuk saya cuba menonjolkan diri dalam jawatan-jawatan kanan. Saya beri penghormatan kepada orang yang mendahului saya dalam parti untuk mencuba nasib mereka dalam jawatan-jawatan yang tinggi.

Saya harap pemilihan ini berlangsung dengan baik dan positif serta tidak akan menghala kepada cara-cara kempen yang boleh melemahkan parti dan PH.

Bagaimana Datuk melihat pertembungan antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Mohd. Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden PKR?

KAMARUDIN: Saya pun sangat memandang berat akan pertandingan ini. Saya secara peribadi berasakan Mohamed Azmin telah membuktikan penglibatan dari awal malah sebelumnya lagi sebagai pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim di beberapa kementerian untuk beberapa tahun. Apabila berlaku reformasi pada 1998 dan 1999, Mohamed Azmin juga kekal sebagai penyokong dan pembantu setia Anwar.

Apabila kita menang dan menjadi kerajaan (Selangor), setelah beberapa tahun di bawah menteri besar lain, beliau diberi peluang menjadi Menteri Besar Selangor dan membuktikan khidmat beliau sebagai pemimpin parti dan sebuah kerajaan negeri yang besar dalam negara ini.

Saya antara orang yang menganggap bahawa Mohamed Azmin perlu diberikan peluang berkhidmat sebagai Timbalan Presiden.

Memandangkan PKR sekarang sebahagian daripada kerajaan, pemilihan kali ini pasti sengit dan mungkin ada implikasi kepada parti?

KAMARUDIN: Itu betul. Saya sarankan calon-calon yang bertandingnya khususnya bagi jawatan tinggi iaitu Timbalan Presiden dan Naib Presiden, serta para penyokong mereka sentiasa mengambil kira bahawa kita sekarang adalah komponen kerajaan, malah PKR komponen terpenting kerajaan baharu ini.

Oleh itu, tanggungjawab kita untuk mempamerkan dan benar-benar bertindak sebagai parti kerajaan mesti disedari.

Oleh sebab itu, kita tidak boleh mengeluarkan ungkapan-ungkapan terutama sekali tuduhan liar yang akan merosakkan imej parti walaupun niat kita mungkin untuk merosakkan imej tokoh yang kita tidak setuju itu. Tetapi ia mungkin akan merosakkan imej parti sendiri kalau tuduhan itu tidak berasas.

Kalau tuduhan itu berasas, ada proses dan saluran lain yang boleh dilakukan. Tetapi kalau tuduhan itu tidak berasas kepada mana-mana pemimpin dan calon, ia akan merosakkan imej parti, malah imej Pakatan Harapan itu sendiri terutama kalau tuduhan itu melibatkan pemimpin di luar PKR.

Sebagai orang lama dalam politik, pada pandangan Datuk, kenapa Anwar perlu menjadi Perdana Menteri kelapan?

KAMARUDIN: Saya berpegang kepada kepemimpinan Pakatan Harapan sebelum pilihan raya lagi. Saya hormat, akur dan saya rasa kita ikut apa yang diputuskan bahawa jika kita menang, Perdana Menteri adalah Dr. Mahathir dan beliau dan kerajaan baharu akan berusaha mendapatkan pembebasan dan pengampunan untuk Anwar. Itu telah dilakukan.

Dalam persefahaman itu juga, Anwar akan diusahakan untuk menjadi Perdana Menteri selepas itu. Setahu saya, tempoh tidak disebut tetapi secepat mungkin. Jadi saya berpegang kepada itu.Dr. Mahathir juga beberapa kali terpaksa menjelaskan beliau akur kepada keputusan tersebut.

Oleh sebab itu, saya secara peribadi beranggapan perkara ini tidak perlu diperbesar-besarkan lagi kerana ia tidak membawa keuntungan kepada mana-mana pihak, malah ia mungkin disalah faham atau dianggap tidak yakin kepada pimpinan-pimpinan parti dan negara kita.

Kedua, ada juga pandangan seolah-olah Anwar ini kalau dalam parti ada yang tidak menyokong beliau sebagai Perdana Menteri atau apabila Anwar menjadi Perdana Menteri, akan ada yang cuba menikam dari belakang dan sebagainya.

Inipun saya fikir anggapan atau tuduhan yang tidak betul, tidak tepat dan dinyatakan untuk tujuan kempen bagi calon-calon tertentu yang tidak perlu dilakukan. Saya yakin Anwar adalah pemimpin dengan ketokohan besar.

Oleh sebab ketokohannya itu, apabila beliau akhirnya menjadi Perdana Menteri, beliau tidak perlu bimbang dan risau akan tokoh-tokoh lain dalam parti yang cuba untuk menjatuhkan beliau.

Dengan sebab itu, tidak perlu kita mendabik dada dan menganggap kita adalah penyokong tulen dan akan taat setia kepada Anwar. Itupun tidak diperlukan oleh Anwar sebagai pemimpin yang tulen.

Beliau memerlukan tokoh-tokoh yang ada pandangan berbeza untuk dia tengok dan pertimbangkan pandangan tersebut. Kita tidak mahu PKR diisi oleh yes men (pak turut). Kita mahu tokoh-tokoh yang ada pandangan dan ketokohan sendiri.

Mereka boleh memberi pandangan dalam parti untuk membantu mewujudkan dasar dan tindakan parti serta kerajaan yang diputuskan hasil daripada pelbagai pandangan, cadangan dan personaliti yang ada di peringkat kepimpinan itu.

Wujud kebimbangan dalam kalangan masyarakat bumiputera ekoran beberapa dasar dan polisi kerajaan sekarang. Bagaimana Datuk melihat keadaan itu?

KAMARUDIN: Saya pun baca dan dapat rasa begitu. Sebab itu, saya rasa pemimpin-pemimpin kanan keempat-empat parti mestilah lebih kerap sama ada berbincang atau memberi keutamaan untuk merumuskan silap faham atau persepsi yang melihat bahawa kerajaan baharu ini tidak memberi sokongan atau mengutamakan kepentingan masyarakat bumiputera.

Saya difahamkan salah satu sebab mengapa Dr. Mahathir mengarahkan Mohamed Azmin selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi menganjurkan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN 2018) adalah untuk menunjukkan bahawa pemimpin sekarang tidak mengetepikan kepentingan masyarakat Melayu dan bumiputera dan bab ekonomi telah diberikan tumpuan.

Saya juga yakin Dr. Mahathir bukan sahaja berminat dan memberikan tumpuan kepada masa depan ekonomi, malah masa depan politik bumiputera.

Jadi, saya yakin itulah dalam pemikiran Perdana Menteri dan tokoh-tokoh Melayu lain dalam kerajaan hari ini iaitu hendak membantu dalam hal ekonomi.

Saya juga fikir mereka hendak membantu dalam hal politik supaya masyarakat Melayu dan bumiputera kekal diberikan keutamaan serta kedudukan yang adil tanpa mengetepikan kaum-kaum lain dan Sabah dan Sarawak.

Ini disebut Dr. Mahathir dalam ucapan beliau di KBN 2018, bahawa orang Melayu mesti bekerja untuk memperkuatkan diri mereka dan wilayah Sabah dan Sarawak tidak lagi akan dianak tirikan.