Apabila kereta kami melepasi laluan masuk ke Genting Highlands yang cukup sendat dengan kenderaan mengengsot-engsot, tiba-tiba saja dia berubah `angin’, masuk ke topik yang agak berat. Menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

Rakan saya itu yang juga seorang peguam berkata, dia cukup tidak berkenan mendengar ada pemimpin negara yang masih bercakap tentang orang Melayu malas. Sama ada mahu mencabar atau memperlekeh, katanya, sudah-sudahlah. Sikap malas adalah isu sejagat bukan mutlak kepada sesuatu kaum.

“Malas dari segi apa? Malas kerjakah? Pagi-pagi buta yang buat jalan sesak hendak pergi kerja itu, orang Cina atau orang India sajakah? Orang Melayu pakat-pakat duduk dalam selimut lagikah?

Dia yang adakalanya menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja kerana tidak sanggup meredah kesesakan memberitahu, yang berhimpit-himpit di dalam tren LRT itu pun ramai yang berwajah Melayu. Semua mahu pergi kerja bukan pergi makan angin.

Sebelum sampai ke penginapan yang kami tuju, iaitu beberapa minit menghampiri jam 12 tengah malam, kenderaan kami berhenti di pintu masuk yang jaraknya agak jauh juga dari lokasi hotel. Seorang pekerja sahaja berada di situ. Dengan loghat Kelantan yang pekat, anak muda itu menanyakan kami sama ada mahu bermalam di situ atau sekadar berjalan-jalan. Jika tidak bermalam, bayaran masuk akan dikenakan.

Selepas melepasi lelaki itu, kawan saya berkata: “Tengok budak Kelantan itu. Kalau pemalas, dia pasti tidak sanggup bekerja di kaunter tiket itu seorang diri dalam keadaan sunyi dan sejuk tengah-tengah malam begini. Lebih baik dia tidur saja di rumah. Itu malaskah?

Ya, hakikatnya, tidak kira apa pun keturunan kita. Kita semua `bergelut’ untuk hidup. Malas bukan menjadi isu kepada satu-satu kaum. Kalau dah malas, malas jugalah, tak mengira bangsa, agama, usia dan gender.

Begitu juga bijaksana. Mana boleh kita mengukur kebijaksanaan orang dengan melihat kepada bangsa atau keturunannya. Sikap adalah bergantung kepada individu.

Sampai bila terus dicap malas? Kalau pemimpin negara sendiri berterusan memanggil orang Melayu pemalas, sampai bila-bila punlah gelaran malas itu ditujukan pada orang Melayu sehinggakan menjadi satu kepercayaan pula. Kepercayaan itu bukan sahaja kepada bangsa sendiri tetapi kepada bangsa lain.

Sedangkan, pemimpin sepatutnya melihat kepada aspek yang lebih luas. Jangan cerita pasal orang Melayu hadap pada bantuan sahaja. Jangan buat andaian yang bertahun-tahun. Orang Melayu kini sudah ramai yang membantu, menjadi dermawan, usahawan dan jutawan.

Banyak kawasan kediaman elit di negara ini dihuni oleh orang Melayu seperti di Shah Alam, Taman Tun Dr. Ismail, Bangsar, Damansara, Subang Jaya, dan Bangi. Jika mereka pemalas, mereka tidak mampu hidup dalam rumah yang harganya berjuta-juta ringgit!

Berapa puluh ribu pula usahawan online Melayu yang ada di negara ini? Ada yang membuat kerja itu secara sambilan kerana kerja hakiki tidak dapat menampung kos sara hidup yang tinggi ketika ini. Siapa punya kerja yang jaga hal-hal kos sara hidup rakyat ini? Bukan pemimpinkah? Jadi berhentilah bercakap mengenai hal kemalasan rakyat. Rakyat buat kerja rakyat, pemimpin pun kena buat kerja pemimpin juga. Cakap-cakap saja tak akan buat kita semua kenyang.

Kelmarin saya terserempak dengan seorang kawan lama di pusat bandar raya Kuala Lumpur - penyajak yang disenangi ramai, Pyanhabib Rahman dan ramai yang masih memanggilnya `Osman Tikus’. Watak yang begitu menghidupkan filem Kembara Seniman Jalanan.

Saya mengajaknya minum. Dia tanya di mana? Saya tunjuk ke arah sebuah kedai kopi premium. “Huh, kedai kopi Yahudi. Boleh. Gua pun selalu apa lepak sana,’’katanya selamba.

Saya pun berbual mengenai isu ini dengan Pyan. Katanya, Melayu tidak malas. Melayu hidup senang lenang sebenarnya. Di ceruk kampung, mereka tetap ada tanah, cukup makan dan pakai. Malas dibabitkan kepada Melayu kerana mereka asyik dicop sebegitu termasuk oleh orang Melayu sendiri.

“Maka ke hulu ke hilir Melayu heret status ‘malas’ itu sejak dahulu kala sampai abadi.

“Gua ini, kalau malas, gua tak akan dapat makan nasi lauk sedap atau bermalas-malas di kafe, minum kopi Yahudi ini,’’ katanya dan saya pun tersengih-sengih mendengar cakapnya.