Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tahniah! LFC tawar kontrak

� WAKTU: 9 pagi. Tempat: Lobi hotelHati berdebar-debar. Buka zip beg. Periksa untuk kesekian kalinya. Ada sepasang but, baju ganti, biskut dan stokin. Tutup zip beg.

Pagi yang dingin di langit kota Liverpool. Mendung. Bagi penduduk tempatan, cuaca sebegini adalah ‘biasa’. Bagi pengunjung sekali-sekala, langit mendung dibimbangi membawa hujan.

Seketika kemudian, wakil kelab Liverpool, Alexandra Simpsons muncul memperkenalkan diri.

Turut bersama ialah Editor Pengurusan majalah FourFourTwo Malaysia, Lee Seng Foo. Baharu keluar pintu lobi, saya memohon maaf kepada Alexandra. Kena lari naik bilik semula. Terlupa jaket. Terkejut dihembus udara dingin pagi, baharu insaf ini bukan 9 pagi di Kuala Lumpur, yang lazimnya panas, kadang-kadang berjerebu. Suhu 16 darjah Celsius masih asing bagi orang Tropika.

Di dalam van, saya teringat semula kejadian malam tadi.

» Waktu: 3 pagi. Tempat: bilik hotel.

Secara tiba-tiba, diri terjaga. Walaupun mata mengantuk tetapi badan seakan-akan tidak mengizinkan. Sahlah menderita jetlag. Telefon bimbit menunjukkan baru 3 pagi.

Bermakna dicampur tujuh jam, waktu di Kuala Lumpur ialah 10 pagi. Patutlah terjaga. Letih terbang tujuh jam dari KLIA ke Abu Dhabi, kemudian transit selama empat jam sebelum menyambung lagi tujuh jam penerbangan ke Manchester. Dari situ, kena meredah kesesakan lalu lintas di lebuh raya M62 iaitu kira-kira 57.1 kilometer.

Walaupun tidak dinafikan hati tidak tenteram kerana cuak untuk menjalani sesi penilaian di Akademi LFC tetapi ia bukan faktor utama tidak dapat tidur. Walhal, baru sahaja melelapkan mata kira-kira dua jam.

Saya tahu ini akan menimbulkan masalah besar. Bila badan tidak mantap, sesi penilaian akan terganggu. Tidak mengapa. Subuh-subuh begini ada pula filem Frank Sinatra. Layan sahajalah.

» Waktu: 5 pagi.

Tempat: masih bilik hotel.

Mata sudah mengantuk tetapi fikiran pula melayang jauh. Apakah sesi penilaian di Akademi LFC akan membuahkan hasil? Perjalanan bukan main jauh dan lama untuk sampai ke sini. Banyak pelaburan telah dibuat. Standard Chartered Bank menaja keseluruhan perjalanan. Media massa di Malaysia pun sudah menemu bual saya dan berita yang tersiar begitu hebat. "Pemain Malaysia pertama mencuba nasib di Liverpool;" "Anda tidak berjalan berseorangan;" "Pertaruhan penting pemain negara di kelab ternama England."

Bukan senang hendak mendapat tawaran kontrak sebagai pemain LFC. Apa lagi hendak mendaftar sebagai pelatih di Akademi LFC. Harapan menggunung negara ini saya tidak rasa beban. Saya yakin boleh lakukannya. Tapi halangan pertama ialah meyakinkan jurulatih LFC bahawa saya memiliki ciri-ciri yang mereka cari.

Tiba-tiba saya tersentak. Rupa-rupanya termimpi lagi.

» Waktu: 10 pagi.

Tempat: Akademi

LFC, Kirkby

Kami disambut seorang daripada jurulatih Akademi LFC, Anthony Owens. Seketika kemudian, muncul Alan Kennedy dalam kereta Mercedes-Benz. Secara spontan saya mengisyaratkannya agar masuk ke petak di hadapan saya. Beliau ketawa sambil menunjukkan papan tanda di situ - ‘Pengurus Pasukan Utama’ iaitu Brendan Rodgers. Mana boleh letak sembarangan, walaupun Rodgers sibuk mempersiapkan pasukannya bagi menghadapi jiran tetangga, Everton pada perlawanan semalam.

Kennedy yang berusia 60 tahun, sangat peramah. Beliau sebenarnya ialah bekas pemain LFC dan legenda kelab. Beliau merupakan anggota pasukan bimbingan pengurus legenda, Bob Paisley yang memenangi kejuaraan Liga Inggeris pada 1979, 1980, 1982, 1983 dan 1984 serta Piala Liga dari 1981 hingga 1984.

Selain itu, pasukan tersebut yang turut dianggotai ikon kelab Kenny Dalglish dan Ian Rush digeruni lawan dengan memenangi dua kali Piala Eropah iaitu 1981 dan 1984.

Kennedy bermain di posisi pertahanan kiri (left back) dalam 359 perlawanan dan 20 jaringan keseluruhannya.

» Waktu: 10.30 pagi. Tempat: sama

Anthony memimpin sesi memanaskan badan di padang terbuka tetapi baharu sahaja merenggangkan sendi leher, hujan turun. Hujan tidak kisah lagi tetapi yang tidak tahan, angin dingin. Maka, kami berpindah ke padang berbumbung. Fasiliti serba canggih itu dibina pada pertengahan tahun 1996.

Anthony dan Kennedy silih berganti memimpin sesi memanaskan badan. Kennedy mengimbau zaman kegemilangannya. Pasukan yang dianggotainya hanya mula memanaskan badan kira-kira 10 minit sebelum wisel ditiup. Berbeza dengan sekarang, sesuatu pasukan akan memanaskan badan kira-kira 30 minit dan berhenti selama 15 minit sebelum waktu perlawanan.

Kennedy hanya ketawa bila ditanya apakah benar ada pemain yang minum wiski sebelum bermain.

» Waktu: 11 pagi. Tempat: sama

Anthony secara ringkas memberi tunjuk ajar kaedah melatih yang diamalkan di LFC. Beliau mengakui segala metodologi dan falsafah permainan Brendan Rodgers diamalkan di setiap peringkat skuad dalam kelab seperti bawah 16 tahun hingga bawah 23 tahun.

Sesi menarik adalah bagaimana penyerang berfungsi sebagai pembekal bola kepada pemain tengah yang meluru dan mengaut bola ke dalam petak penalti dan merembatnya. Kennedy sukarela menjadi penjaga gol. Daripada enam percubaan saya terhadapnya, beliau berjaya menyekat lima. Ini legenda berusia 60 tahun!

Dan paling mengagumkan, Kennedy masih mampu merembat menggunakan kaki kirinya. Dan saya hanya tahu beliau berusia 60 tahun semasa membelek biodatanya dalam Internet.

» Waktu: 12 tengah hari

Tempat: Depan Akademi

Semasa menukar but untuk pulang, baharu perasan kedua-dua lutut saya ada calar. Terlalu galak menyepak, beberapa kali saya tergelincir. Rumput palsu di situ rupa-rupanya keras!

» Waktu: 1 tengah hari .

Tempat: bilik hotel

Hasrat untuk makan tengah hari ditunda. Penat yang teramat.

Beberapa ketika kemudian, telefon bilik berbunyi. Suara Kennedy. "Tahniah! Kami gembira dengan prestasi anda. LFC mahu mengikat kontrak dengan anda. Bagaimana gaji £60,000 seminggu? Setuju?"

Saya tidak menjawab apa-apa. Saya tahu ia hanya mimpi lagi. Penat yang parah, sampai Kennedy pun masuk mimpi!

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain